Labels

Friday, November 25, 2011

Aktiviti cuti sekolah


Tidak ada apa lagi yang lebih menggembirakan Balqis selain dari berada di depan laptop.




Setiap hari, dia akan mencari laptop mana yang tiada pengguna, terus saja masuk "youtube". Setiap laptop di rumah ni, dimestikan ada satu akaun ID Balqis, yang tak perlu masuk password untuk log on.

Memang internet di rumah ni tak boleh berhenti operasinya.



Di "youtube", biasanya Balqis suka "Mr Bean", "Ultraman", "Barney" dan lain-lain watak kartun Disney. Dia akan pilih sendiri mana video klip yang dia suka, dan dia boleh menghabiskan masa berjam-jam di depan laptop.


Sunday, November 20, 2011

Majlis Graduasi Untuk Anak Istimewa

Sekolah Balqis telah mengadakan sambutan Hari Graduasi untuk anak-anak istimewa yang akan berpindah ke sekolah menengah.


Hadiah untuk Balqis

Sambutan sungguh meriah, ramai ibubapa yang menyertai majlis itu. Seronok juga saya dapat berjumpa dan bertukar cerita dengan ibubapa yang lain. Sudah tentulah kecoh, kerana ibubapa sibuk melayan anak masing-masing. Pihak sekolah pula telah menyediakan aturcara yang sangat fleksibel.

Selain makan, pihak sekolah juga memberi hadiah untuk semua murid-muridnya. Ramai ibubapa yang menaja hadiah untuk majlis ini. Cabutan nombor bertuah pun ada.



Apa isinya??



Memang rezeki, saya dapat hadiah cabutan nombor bertuah yang paling besar (sebijik oven!!).Kata cikgu, hadiah yang saya dapat ni, semua orang pun teringin. Alhamdulillah!

Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini.



Bagi Balqis pula, walaupun usianya akan mencecah 13 tahun pada tahun depan, tetapi saya masih berfikir-fikir, adakah dia perlu pindah ke sekolah menengah atau tidak. Kemampuannya sangat terbatas, tak boleh urus diri dan tak boleh ikut arahan.

Jadi, saya tidak tahu samada perlukah dia menyambung persekolahan menengah. Mungkin buat masa ini, dia akan terus menyambung di sekolah rendah sekarang.


Thursday, November 17, 2011

Menanti keputusan

Hari ni result UPSR keluar
Kalau Balqis seorang anak normal
Aku juga pasti berada ke sekolah sekarang
Menantikan keputusannya

Tapi inilah yang telah ditetapkan untukku
Ada 4 anak, tapi 1 tidak perlu ambil UPSR
Malah, apapun tidak boleh dibuat sendiri
Semua perlu dibantu
"everything needs to be prompted"

Walaupun perkara semudah menuang air ke dalam gelas
Masih perlu dibantu
Kesabaranku juga selalu tercabar
Setiap kali mengurus dirinya
Kerisauanku berpanjangan
Tentang masa depannya tanpaku di sisi
Tapi aku terus melatih diri
Untuk redho dan terima anak ini dengan hati terbuka

Cikgu di sekolahnya pun seperti lebih gembira
Kalau dia terusan tidak hadir
Di mana kasih sayang?
Di mana rahman dan rahim?
Di mana empati?
Di mana simpati?
Di mana perhatian?
Untuk anak istimewa sebegini

Aku tiada jawapannya
Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa
Aku tidak berdaya membetulkannya
Kerana aku juga hamba Allah
Yang mahu mengabdikan diri untuk Allah
Dengan apa saja kurniaanNya
Untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik

Friday, November 4, 2011

Diriku dan alam semesta



Saya ke klinik kerana asyik batuk-batuk sepanjang malam. Tidur terganggu dan berasa letih. Apabila diperiksa doktor, dia mengatakan yang tekanan darah saya rendah. Terlalu banyak kahak di dalam paru-paru kecuali bahagian kiri sebelah depan, akibatnya oksigen tidak dapat masuk.

Bagaimana mahu bekerja kalau sakit-sakit?
Bagaimana mahu beribadah kalau sakit-sakit?

Begitulah lemahnya kita yang bernama manusia ini. Hanya sedikit kekurangan, sudah membawa mudarat kepada badan kita. Amat mudah untuk Allah melakukannya.

Dari sudut yang lain, saya sudah lama berminat melihat angkasa lepas, sejak di sekolah menengah lagi. Pada masa itu, saya selalu menonton satu rancangan TV yang dikendalikan oleh Carl Sagan, yang menjadikan saya sangat teruja menikmati keajaiban alam semesta. Semasa di universiti, saya telah membeli beberapa buku berkenaan penerokaan angkasa lepas. Begitu juga bila ke perpustakaan, saya menghabiskan masa di bahagian astronomi. Tapi minatku hanya tinggal di situ, setelah begitu lama bekerja dan berkeluarga.

Baru-baru ini, saya menelusuri www.space.com membuat saya kembali berminat terhadap angkasa lepas. Kali ini, ia lebih bermakna kerana saya dapat merasakan bahawa ini semua ciptaan Allah. Kejadian langit yang luas itu benar-benar membuatkan diri terasa kerdil. Kita tidak lebih dari sebesar habuk halus jika hendak dibandingkan dengan angkasa raya yang luas dan masih mengembang. Cantiknya alam semesta ini, tidak ada cacat celanya. Gabungan gas-gas berupa asap, debu-debu dan entah apa lagi itu menghasilkan imej yang sangat cantik. Semuanya beredar pada orbit yang sudah disusun oleh penciptanya. Ada pula yang masih dalam peringkat berkembang biak menjadi gugusan bintang-bintang baru. Ada juga yang hampir menemui penghujungnya.

Subhanallah. Allahu Akbar.

Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.
Dan bumi itu Kami hamparkan; maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami).

- Al-Quran 51:47 - 48 (Surah Adz-Dzaariyat Ayat 47 dan 48)


Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.
Dan Dia-lah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan, Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.

- Al-Quran 13:2 - 3 (Surah Ar-Ra'du Ayat 2 dan 3)

Ciptaan Allah bukan saja di langit, seisi semesta alam ini, malah dapat dilihat pada tubuh badan manusia dan segala makhluk di dasar laut paling dalam. Dalam masa yang sama, saya tersedar tentang kewujudan makhluk yang bernama "aku" ke dunia ini. "Aku" yang hanyalah sebesar habuk halus jika dibandingkan dengan angkasa raya yang luas terbentang. Tidak kira sekecil manapun ciptaan Allah itu, pasti ada sebabnya. Setiap ciptaan Allah itu ada tujuannya, termasuklah kenapa "aku" dijadikan. Hidup kita ini hanyalah untuk menumpang, diberi waktu yang singkat pula untuk menyediakan bekalan, kemudian pergi ke alam yang seterusnya.

Benarlah firman Allah, semuanya itu adalah tanda-tanda kebesaran Allah bagi yang mahu memikirkan. Kenali ciptaan Allah maka akan dapat pula kita kenali diri kita sendiri.

Apakah waktu yang terluang itu hanya untuk disia-siakan atau untuk menjadi rahmatan lil 'alamin?

Astaghfirullahal 'azim. Fikir-fikirkanlah.