Labels

Tuesday, March 26, 2013

Kisah anak istimewa dalam Dilema Wanita

Kenali ciri-ciri Down Syndrome
Hari ini saya tertengok (secara tidak sengaja) kisah yang dipaparkan dalam rancangan "Dilema Wanita" di Astro Oasis. Sudah tentu topik itu amat dekat dengan diri saya. Kisah tentang seorang ibu yang tidak mahu menerima kehadiran anak istimewanya.

Menarik ceritanya, semasa melahirkan, si ibu telah beberapa kali dilanda kemurungan yang teramat. Sehingga menjerit dan meracau tanpa sebab. Ditambah pula dengan ibu kepada si ibu (nenek) yang tidak memberi nasihat yang bernas kepada anak menantunya dalam menghadapi masalah ini.

Anak istimewa itu anak yang kedua, mempunyai seorang kakak yang normal, 3 tahun lebih tua. Walaupun si ibu tidak bekerja, ada pembantu rumah, tapi dalam fikirannya, anak yang istimewa mesti dihantar ke rumah kebajikan saja.

Mujurlah si ayah sangat prihatin, memberi galakan dan menunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap anak istimewanya. Dalam kesibukan kerja, si ayah sempat juga mencarikan guru untuk anak istimewanya belajar di rumah. Guru yang juga seorang doktor telah menunjukkan kesungguhan mengajar tanpa jemu.

Si ibu, yang hampir putus asa dengan keadaan anak istimewanya itu telah mengambil keputusan keluar dari rumah (balik ke rumah ibunya) setelah diberi kata dua oleh suaminya. Suaminya bertegas, walau apapun terjadi, anak istimewanya tetap tinggal di rumah.

Dalam mencari-cari erti sebuah mahligai bahagia, si ibu bersiar-siar di taman permainan. Di situ dia bertemu dengan sepasang suami isteri yang gembira melayan kerenah anak mereka. Pasangan itu sudah 20 tahun berkahwin, namun baru saja  dikurniakan seorang anak. Walaupun anak mereka istimewa, dikategorikan sebagai mengalami Sindrom Down, tetapi mereka masih bersyukur dengan apa yang Tuhan beri.

Barulah si ibu tersedar, betapa dia sudah tersilap langkah. Barulah dia tahu, dia sepatutnya bersyukur dengan dua orang anaknya - tidak kira sama ada normal ataupun istimewa.

Pesanan yg ditinggalkan oleh DMFK di akhir rancangan itu haruslah diberi perhatian oleh semua. Antaranya:
o tidak ada sesiapa pun yang dilahirkan membawa sial,
o jangan malu mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o jangan menghina atau merasa hina mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o kepada ibubapa, jangan kesal mempunyai anak istimewa,
o kepada ibubapa, jangan bezakan kasih sayang and perhatian di antara anak2,
o kepada ahli masyarakat, jangan memandang rendah terhadap anak istimewa,
o layan anak istimewa dan ahli keluarganya se 'normal' yang mungkin,
o kepada orang tua/datuk/nenek, jangan keruhkan keadaan, beri sokongan dan nasihat yang membina.

Anak adalah anugerah yang sangat berharga. Walau apa pun keadaannya, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik, memelihara, membentuk dan mencorakkannya.