Saya OKU mental. Saya juga ibu kepada 6 orang anak. Ada degree, pernah ambil master. Sekarang saya bekerja online sahaja dari rumah.
Pendapatan saya dari jadi admin group telegram, affiliates dan adsense. Jumlahnya tidak besar mana kerana saya bekerja waktu saya sihat sahaja.
Saya tahu keadaan saya tidak boleh dijangka. Suami saya kenal saya sejak saya umur 20 tahun. Perkahwinan kami sudah masuk 19 tahun.
Suami saya tidak pernah kurung saya. Tidak pernah larang saya nak cuba apa-apa. Saya yang lebih selesa berada dan bekerja dari rumah sahaja.
Walaupun dalam rumah, saya kerja online, jadi memang akan terdedah bacaan atau video yang menganggu emosi. Ada juga trigger kerana anak-anak buat perangai, biasalah tu.
Mengamuk dan terbalikkan barang? Ada.
Jerit-jerit dan menyumpah pun ada. Saya rasa jiran-jiran saya dah biasa dengar. Itu waktu sakit saya datang, waktu sihat macam orang normallah.
Pernah sahaja saya buka pintu kereta dan nak terj*n, tarik stereng kereta, jalan kaki jauh-jauh sampai letih. Tapi masa tu memang tak boleh control. Marah, bengang, sedih, semua emosi negatif tu berpusing-pusing.
Saya selalu kaji bila lihat orang OKU fizikal. Mudah orang ramai nak faham. Tapi tak mudah bagi mereka dan penjaga mereka juga. Tapi orang faham, simple. Awak OKU.
Tapi bila OKU mental ni susah. Ujian besar buat pesakit dan juga penjaga. Ada waktu dia sihat, ada waktu dia tak sihat. Nak kurung? Lagi tak sihat jadinya terus duduk dalam dunia sendiri.
Nak ikut selalu? Bukan mudah. Siapa yang nak teman selalu tu? Saya ada suami, dia pun kerja dari rumah juga buat printing. Saya sakit dia kena tutup kedai. Saya nak ke mana-mana dia bawa.
Tapi, saya pun ada cita-cita, saya nak sambung belajar (lagi) nak juga berdikari. Sebenarnya bila ada rasa macam tu jadi lagi sihat. Tapi masalahnya orang tengok kita sihat ingat dah sembuh terus.
Manusia bukan barang, bukan haiwan. Kalau barang sekejap rosak sekejap okay kita simpan dalam stor. Kalau haiwan kita kurung. Ini manusia.
Ada ke sesiapa minta diuji sakit mental ni? Bukan semua orang sakit mental sebab tekanan. Ada sebab kemalangan, sebab buatan orang pun ada.
Suami saya banyak bantu saya uruskan rumahtangga, uruskan anak-anak. Dia mampu buat, dia teruskan. Dia tak mampu, dia rehatlah. Allah melihat usaha kita.
Saya gembira, bahagia Alhamdulillah. Ada waktu saya menangis tiba-tiba dan rasa serabut sangat. Alhamdulillah semuanya ujian Allah bagi. Allah bagi saya rasa lebih dan kurang.
Doakan mereka yang diuji sakit mental ni bertambah sihat. Berikan sokongan dan dorongan. Bantu apa yang boleh. Jaga tutur kata kita, benda ni bukan kelakar pun.
Malu?
Buanglah jauh-jauh perasaan malu tu. Jangan malu ada pasangan OKU mental. Ada anak atau keluarga yang macamni adalah peluang nak buat pahala.
Malu apa Allah yang jadikan, ada hikmah dan ganjaran untuk mereka yang diuji.
Saya selalu mengaku saya sakit mental. Sampai dipesan jangan cakap nanti orang pandang serong. Biarlah, dia pandang serong nanti dia yang jatuh. Kita pandang tegaklah.
Pandanglah semua mereka yang diuji dengan belas ihsan. Jadi OKU mental bukan dapat tiket emas. Waktu galau, dunia ni tiada makna apa-apa.
Bila ia hilang dan kau mula berpijak bumi nyata, kau rasa bahagia tu datang bagai angin bayu yang menghembus lembut ubun-ubun.
Kami diuji, kamu juga diuji. Cuma yang terbuka hatinya akan dapat belajar sesuatu.
Sumber: FB Noor Azlin Mohamad