Labels

Showing posts with label Profail. Show all posts
Showing posts with label Profail. Show all posts

Tuesday, January 3, 2017

Perjalanan hidup sebagai panduan

Dr Hamid Arshat seorang pakar sakit puan yang popular merupakan antara individu yang kerap melakukan umrah setiap tahun secara DIY atau persendirian. Baca posting beliau yang sangat bermanfaat dan boleh jadi panduan dalam hidup kita:

33 PESANAN DR HAMID ARSHAT KEPADA CUCU-CUCU BELIAU SEMPENA TAHUN BARU 2017

Alhamdulillah capai umor 72 tahun dan 46 tahun kahwin menghasilkan 5 orang anak dan 12 orang cucu . Saya anggap sebagai satu kejayaan dengan izin Allah SWT. Saya juga rasa amat bahagia kerana anak2 dan cucu2 dalam keadaan sihat walafiat.

Saya ingin tinggalkan pesanan kepada anak2 dan cucu2 dan mereka yang melayari ruangan ini beberapa panduan untuk kejayaan dan kebahagian hidup.

Baru2 ini saya dan isteri bawa 3 orang cucu remaja untuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah di Makkah dan Medinah.



1. Tidur awal.

Jadikan amalan dan budaya untuk tidur awal. Bila sudah penat kerja mudah kita tidur. Kalau sukar tidur cuba baca quran tentu mudah tidur.
Jangan lupa baca fatiha, ayat qursi, 3 qul, zikir, istighfar an selawat sebelum lena. Juga jadi amalan baik ambil wuduk sebelum tidur.
Sebaiknya kita tidur 7 jam setiap hari.
Selepas solat zuhur ambil 'power nap' antara 10 - 15 minit. Ia beri tenaga untuk terus kerja hingga petang.

2. Bangun awal.

Saya bangun jam 5 pagi. Loceng jam dan radio alarm akan berbunyi setiap pagi. Sering saya terkejut dulu sebelum bunyi loceng dan radio kerana loceng alarm dalam minda saya sudah tergerak.
Baca doa bangun tidur 'Alhamdulillahi lazi ahyayna ba'da amatana wa alaihinusyur' disamping zikir istighfar dan selawat sebelum ketandas. Saya kejutkan isteri.

Saya solat tahajud 4 rakaat dan witir 3 rakaat. Tahlil arwah2 ibu bapa dan saudara2. Zikir panjang sebelum menuju masjid untuk solat subuh berjemaah.
Sempornakan solat lima waktu dan rukun islam yang lain

3. Sarapan saperti raja.

Amalkan makan sarapan pagi yang sempurna dan mengeyangkan untuk membekalkan tenaga dan kekuatan bila berkerja.

Saya makan buah2 dulu biasanya 3 butir keroma dan seterusnya 2 biji telor rebus setengah masak dicampur kicap manis dimakan dengan 2 keping roti multigrain toasted disapu cheese. Minum nescafe susu satu mug.

Kalau menginap dihotel yang menyediakan sarapan saya pastikan makan sebanyak yang bolih dan saya kurangkan makan tengah hari dan malam. Disamping banyak makan buah2an dan salad.

4. Supplemen vitamins dan lain2.

Selepas sarapan saya makanan supplemen2 vitamin2 dan antioxidants. Saya kongsi makan obimin, calcium dan fish oil dengan isteri; sudah berpuloh tahun saya amalkan. Saya makan lain2 saperti resveraterol dan Q10 yang baik untuk kesihatan jantung dan pil NuFocus untuk tenaga dan anti stress. Vitamin C 500mg dan jika saya dalam perjalanan atau kurang sihat saya makan vit C 1 - 2 gm sehari.
Walau pun saya banyak makan buah2 dan sayur2 saya perlu supplemen2 tersebut.

4. Pilih kerja yang diminati dan memberi keriangan.

Saya berkerja sebagai doktor kerana inilah kerjaya yang saya minati dan gembira melakukannya. Bila rasa boring dan stress ditempat kerja seseorang perlu fikirkan cari yang lain.

Kerja saya sebagai pakar bidan memang teruk dan berat tanggung jawabnya. Latihan yang saya lalui memang sangat getir dan mencabar.

Tapi sebab saya minat dan gembira melakukannya kerja ini akhirnya ia menjadi sumber hasil rezeki yang tinggi dan lumayan.

Disamping itu kerja saya jadikan ibadah untuk bekalan saya diakhirat kelak.

5. Amalkan exercise 30 minit setiap hari.

Tidak kira apa jenis exercise asalkan ia menggerak tubuh dan kuatkan otot2 dan sendi; Berjalan kaki, jogging, kayuh basikal, main golf, berenang atau lain2 saperti basuh kereta atau nencuci rumah.
Saya pileh berkebun (gardening) disekitar kawasan rumah untuk tanam kangkung, pucuk paku, kacang bendir, daun turi dan kesum, halia, bunga kantan; pokok pisang, kelapa, tebu dan buah markisa. 

Ini sebagai hobby sahaja tapi berkebun (mencangkul, cabut rumput rumpai dan tebas dahan pokok) bolih mengeluarkan peluh disamping berbagai hasil untuk dimakan.

6. Exercise paru2, mata dan kaki.

Amalkan deep breathing exercise selama 5 minit. Boleh dibuat dimana2 : sedang duduk di pejabat, sedang berdiri atau lain2 situasi ; sedut nafas panjang2 dan mendalam melalui hidung untuk mengembangkan paru2 dan hembus keluar dari mulut. Ulang beberapa kali untuk meningkatkan kadungan oksijen dalam paru2. 

Ia mengurangkan stress dan hilangkan mengantuk.

Untuk exercise mata ; mula2 padang jauh dan kemudian fokus pandangan pada jari yang didepan muka.

Cuba jalan naik turun tangga daripada naik lift. Ini bolih baikki aliran darah dan kekuatan jantung.

7. Amalkan catit dalam buku jernal dan diary.

Jadikan satu budaya dan amalan hidup untuk mencatit semua idea2, ilham, peristiwa2, cita2, rancangan, tindakan  kewangan dan lain dalam satu buku kecil yang bolih dibawa kemana2 dalam saku baju atau seluar.

Catitan ini sangat berguna untuk mengimbas semula idea2 dan tindakan demi untuk mencapai cita2.
Sampai sekarang berpuluh2 buku2 nota kecil  saya masih saya simpan dan seringkali saya singkap kembali cita2 idea2 dan peristiwa2 lampau. Memang sangat berguna dan bermenfaat. Saya lihat orang2 Jepun dan Korea sentiasa mencatitkan butir2 pertemuan dan perbincangan.

8. Catitkan cita2, azam dan sasaran dimerata2 tempat.

Bahagikan cita2 dan sasaran kepada pecahan2 kecil dan pastikan tempuh serta jangka waktu yang perlu dicapai.

Sasaran kecil mudah dicapai dalam jangka waktu yang pendek dan ini membina serta memperkukuh keyakinan diri untuk capai sasaran lebih besar.

Tuliskan visi dan misi hidup kita bagi jangka panjang dan pendek.
Destinasi kita ada syurga firdous diakhirat dan berkekalan selama2.

9. Amalkan baca dan terus membaca.

Untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran sangat penting membaca. Kitab utama ialah quran dan baca beberapa muka setiap hari serta fahami makna. Insha Allah dapat barkah dan dipermudah urusan dunia.

Timba ilmu sehingga akhir hayat kita dari mana2 sumber khususnya dalam bidang kerjaya  dan  hobby kita.

10. Uruskan masa dengan bijak.

Kerja 40 jam seminggu iaitu 8 jam sehari dan 5 hari seminggu biasanya mencukupi. Bersedia untuk kerja overtime khususnya bila mula berniaga atau berlatih dalam bidang kerjaya masing2.

Pernah saya kerja 72 jam berterusan sebagai doktor pelatih di hospital Melaka.
Ingat tubuh badan kita dan minda ada hak untuk berehat.
Ingat jangan jadi hamba kerja.
Jangan merungut tidak cukup masa untuk menyiapkan sesuatu tugas. Bila bijak mengurus masa masalah kesuntukkan tidak akan timbul.
Jangan membazirkan masa dengan menonton terlalu banyak rancangan talivisyen atau bermain video games.

11. Banyak minum air.

Badan perlu air untuk menghidupkan organ2 penting saperti jantung otak dan buah pinggang. Kekurangan air menyebabkan dehydration yang mengganggu fungsi organ.
Orang lelaki perlu 3 liter dan perempuan perlu 2.2 liter sehari. Minum air mineral , air zam2 atau air masak suam.

Minum juz buahan segar - air kelapa muda, air jambu, air limau nipis/kasturi.
Minum air halia atau cuka apel debgan madu.

12. Bertindak, Berusaha dan Berkerja.
 
Jadi orang yang 'action oriented' yang suka dan gembira buat kerja serta menghasilkan sesuatu. Bila suatu cita2 dan sasaran telah dikenal pasti terus ambil tindakan segera. Jangan tangguh (procrastinate) ; ia menjadi pencuri masa.

Jangan jangan asyik merungut dan mengkritik sahaja.

13. Sangka baik terhadap orang lain. 

Jangan sering buruk sangka terhadap orang lain - kawan2 dan jiran kita, pekerja2 sepejabat atau lain.
Fikirkan mereka ada niat baik.
Fikir positif.

14. Bersyukur kepada Allah dan insan lain.

Sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan - nikmat kesihatan, panca indera normal, rezeki, iman dan kebahagian hidup. Tunaikan hak dan perintah Allah.

15. Cakap lunak dan sedap didengar.  

Cakap2 yang berbentuk pujian dan sanjungan dengan ikhlas kepada mereka berhak menjadi penyejuk dan penawar hati dan merupakan suatu sedakah.

Jauhkan cakap2  negatif yang bolih matikan initiatif orang lain. Cakap2 positif memberi galakkan.
16. Senyum dan ucap salam selalu. 

Jangan terlalu serious. Senyum dan ketawa bolih kurangkan mental stress.
Beri senyuman dan ucap salam kepada orang lain walau pun tidak dikenali, ia merupakan sedekah. Munkin ini akan membuka pintu perkenalan.

17. Beristighfar ,taubat dan bermaafan. 

Mohon ampun kepada Allah setiap masa dengan istighfar berulang2 kali.
Mohon maaf jika kita buat kesilapan terhadap orang lain. Rendahkan diri.
Jangan buang tenaga membenci orang lain.
Sedia memaafkan orang lain - satu pahala besar dari Allah.

18. Terima teguran dan pendapat orang lain.

Jangan cuba menang dalam semua perbincangan.
Menerima dan menghormati pendapat orang lain bolih menjadikan kita dihormati walau pun mungkin kita tidak setuju.
Jangan buang dan sia-siakan masa bercakap fasal politik.

19. Jangan bersedih terhadap cacian, umpatan dan gosip. 

Lebih baik kita mohon perlindungan Allah daripada cuba memberi penjelasan.

20. Kawal kemarahan.  

Jangan balas kemarahan dengan tindakan buruk. Ucap aauzubillah, istighfar dan ambil wuduk. Sabar dan bertenang.

21.  Bertenang ketika pandu kenderaan dijalan raya. 

Jangan bertindak balas kepada provokasi daripada road bully atas kelakuan buruk mereka. Jangan bunyikan horn .Sabar dan bertenang ; sentiasa berzikir dan berselawat.

22. Biarkan apa orang fikir tentang diri kita. 
 
Jika orang berfikiran baik tentang kita ucapkan 'alhamdulillah'. Tetapi jika mereka fikir buruk , jangan risau atau sedih. Kita tahu diri kita sendiri. Yang penting pandangan Allah terhadap kita.

23. Muasabah diri.  

Cermin diri; tanya diri apa baiknya dan kelemahannya.
Jangan bandingkan diri dengan orang lain khususnya yang lebih kaya, lebih tinggi pangkat dan lebih mewah. Tengok kebawah pada orang2 yang miskin dan daif.

Kita lihat orang lain pada zahirnya sahaja sedangkan ciri2 lain dan dalaman kita tidak ketahui.

24. Kegagalan tangga kepada kejayaan.  

Kegagalan, kerugian niaga dan musibah adalah cubaan hidup. Bersabar, tabah dan terus berusaha. Jangan putus asa. Mohon pertolongan Allah.

25. Masa beredar, sekitaran berubah nasib kita juga akan berubah.  

Segala2 akan berubah; masalah2 akan selesai, yang buruk jadi baik dan kegagalan bertukar kepada kejayaan. Sabar dan solat mohon pertolongan Allah; berusaha dan tawakkal.

26. Jadi seorang pemberi dan pemurah.  

Jadikan satu amalan dan budaya untuk memberi sedekah, beri makan , beri hadiah , beri senyuman, beri galakkan dan seterusnya mengikut kemampuan dan kaedaan.

27. Jangan harap balasan dari orang yang kita tolong.  

Tolong orang dengan wang, barangan atau tenaga kerana Allah. Hati ikhlas dan tidak rasa bangga atau riak.
Allah akan balas jasa dengan cara lain dan lebih besar ganjarannya.

28. Mengetahui had diri.  

Kita hanya manusia. Ada had kemampuan. Jangan terlalu ghairah menempuhi risiko.
Sebelum menceburi sesuatu bidang buat analisa, penilaian dan dapatkan nasihat terlebih dahulu. Mampukah kita dari segi ilmu, kemahiran, tenaga dan kewangan. Ingat dan waspada.

29. Bergaul mesra dengan semua lapisan masyarakat.  

Jadi seorang peramah, mudah bergaul dan sesuaikan diri. 'Reach out' kita ambil initiatif mulakan perbualan. Mulakan dengan senyuman dan ucap salam.
Bila berjabat tangan genggam dengan kuat sambil senyum untuk menandakan kita ikhlas dan mesra.
'
30. Janji mesti ditepati.  

Bila berjanji dengan sesiapa pun untuk sesuatu urusan sama ada hal2 pekerjaan, kewangan, perayaan, pertemuan atau lain2 mestilah ditepati.

Jika janji untuk bertemu eloklah kita datang lebih awal dari waktu yang ditetapkan.

31. Bijak mengurus kewangan.  

Buat simpanan sedikit dari pendapatan bulanan dalam tabungan yang dikunci saperti tabung haji dan ASB.
Jangan percaya skim cepat kaya. Sudah beberapa kali tertipu.
Belanja untuk keperluan penting bukan ikut kemahuan. Hidup cara sederhana dan jangan terlalu mewah dengan membeli barang2 branded.

Waspada bila guna credit card dan perlu selesai bayar sebelum habis tempuh sebulan kerana kadar faedah terlalu tinggi.
Berhutang untuk beli hartanah sahaja kerana ada peningkatan nilai. Jangan berhutang untuk beli barang2 yang susut nilai.

Selesaikan semua hutang sebelum umor 60 tahun.
Waspada jika ada orang yang hendak berhutang dengan kita. Biasanya hutang tidak akan atau sukar dibayar. Ini pengalaman saya sendiri. Beri dia sedikit sebagai hadiah.

32. Dapatkan restu dan doa ibu bapa.  

Dalam segala urusan yang akan diceburi selain dari mendapat panduan Allah melalui solat istiharah doa dan restu ibu bapa sangat penting.
Sentiasa menghubungi dan ziarahi ibu bapa selagi mereka masih hidup.

RUMUSAN  

Untuk capai kejayaan dan kebahagian  hidup:
  • Perlu kuat iman dan taqwa
  • Perlu caragaya hidup sihat tanpa stress.
  • Berilmu dan kemahiran tinggi.
  • Berdisiplin.
  • Bijak dalam pengurusan.
  • Berakhlak mulia.
  • Kuatkan Silaturrahim.


##copy paste FB Dr Hamid Arsyat

Friday, February 19, 2016

Kisah benar membesarkan anak syurga


Ramai yang tersentuh hati bila Zarina Zainuddin memaparkan kasih sayangnya terhadap anak istimewanya. Ramai yang melahirkan simpati terhadap dia dan anak-anaknya, harapnya masyarakat sekarang lebih memahami isi hati ibu dan bapa kepada anak-anak sebegini. 

Apa yang dipaparkan itu hanyalah beberapa minit dari belasan tahun menjaganya. Dari kecil hinggalah dewasa. Hanya sekelumit waktu yang dihebahkan. Di masa  yang lain, hanya yang menjaga yang tahu betapa peritnya menghadapi kerenah anak-anak istimewa.

Rujukan: 



Hanya ibubapa yang punya anak istimewa yang mengerti apa yang dilaluinya.
* dicemuh tatkala keluar makan di restoran,
* dikatakan anak kurang ajar bila anak buat perangai di kenduri kendara saudara mara,
* tidak diterima oleh tadika dan sekolah kerana anak tak boleh urus diri.

Terlalu banyak keluhan. Namun tiada jalan penyelesaian.
Hingga kini anak-anak istimewa seolah-olah terabai, dari pandangan masyarakat.

Tabik hormat untuk ibubapa semua!!
Anda adalah insan terpilih. Tidak semua insan mampu melaluinya dengan tabah.



Thursday, July 23, 2015

Luahan bapa tunggal

Subhanallah!
Amat terkesan dgn luahan ini.



Berat mata memandang, tentulah berat lagi bahu memikul.

Semoga sibapa dikurniakan ketabahan dlm membesarkan dan menjaga anak istimewanya.
Dipermudahkan segala urusan dunia untuk anaknya ini.
Anak yang menjanjikan pahala yang besar untuk bapanya.
Kita doakan!

Friday, March 19, 2010

Membantu Anak Sindrom Down "Ikhlas Dari Hati"

Oleh ZULKIPLE IBRAHIM

MENGAJAR anak yang mengalami masalah genetik Sindrom Down cara bagaimana mengembangkan kebolehan serta kepandaian sosial mereka bukanlah sesuatu yang mudah.

Tetapi bagi pakar terapi dan jurupulih anggota di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat
Nasional (KDSF-NC)di Petaling Jaya, semuanya dilakukan secara 'ikhlas dari jiwa'.
KDSF-NC mempunyai empat juruterapi yang bertugas untuk mengajar dan mengembangkan kebolehan sosial anak-anak Sindrom Down serta perkembangan pertuturan mereka.
Dua daripada juruterapi ini adalah warga Filipina manakala dua lagi dari Malaysia.

Apa yang mendorong mereka memilih untuk bertugas bersama anak-anak istimewa?

MULA DENGAN INGIN AMBIL TAHU

"Ianya bermula dari sikap ingin ambil tahu. Saya mahu belajar bagaimana badan manusia berfungsi luar dan dalam", menurut juruterapi Hazel Joy D. Sablay, 26 tahun. Beliau, yang lebih selesa dikenali sebagai Joy, berasal dari Manila, Filipina.

"Kanak-kanak adalah cantik dan comel. Saya menyayangi kesucian yang ada dalam diri mereka yang membuat mereka jujur dalam segala perbuatan yang dipamerkan dan pada apa perkataan yang mereka tuturkan.

"Tetapi apa yang membuatkan saya amat menyayangi anak keperluan istimewa ialah kekuatan mereka yang memberikan inspirasi kepada kita walaupun mereka berada dalam keadaan yang sukar.

"Sebagai juruterapi, adalah satu hadiah buat saya melihat anak-anak ini membesar dan dapat membantu mereka mengembangkan kebolehan yang mereka ada walaupun dengan keadaan mereka yang sukar dan terhad".

Bagi Joy, bertugas bersama anak-anak istimewa merupakan satu proses mengajar dan diajar.

"Mereka belajar daripada saya dan saya juga belajar daripada mereka. Mereka memberi
inspirasi kepada saya dan saya percaya dalam sebahagian daripada hidup mereka, saya juga merupakan inspirasi bagi mereka", kata beliau.

DARI JIWA

Menurut Joy, adalah penting untuk mengetahui bahawa mengajar anak Sindrom Down bukan sahaja berlandaskan pengalaman dan kepandaian tetapi ianya harus dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.

"Jika kita mempunyai semangat untuk membantu mereka, semuanya akan turut tercatur dengan baik. Mempunyai hati dan perasaan yang jujur adalah kunci untuk menjadi pengajar, penjaga atau juruterapi anak istimewa secara efektif".

Joy percaya terapi fizikal atau fisioterapi adalah pilihan baik bagi pesakit yang mempunyai kekurangan upaya dalam sistem badan seperti otot, tulang, sensori, neurologi, peredaran darah serta pernafasan.

"Saya bersyukur kerana dapat bekerja bersama dengan anak keperluan khas walaupun ada mereka yang bertugas sebagai penjaga kesihatan profesional yang enggan dan turut menjauhi anak-anak ini", kata beliau.

Walaupun dilahirkan di Manila, Joy membesar di Isabela, kawasan utara Filipina. Pada tahun 2005, beliau menerima ijazah Sarjana Muda Terapi Fizikal dan mendapat lesen profesional di bidang tersebut pada tahun yang sama.

Sebelum beliau mula bertugas di KDSF-NC pada Mei 2008, Joy bekerja di sebuah hospital di Filipina selama tiga tahun dan telah melibatkan diri dengan ramai pesakit yang terdiri daripada golongan pediatrik dan geriatrik.

"Pada masa yang sama saya juga merawat pesakit di rumah seperti mereka yang mengalami masalah saraf dan otot serta anak istimewa antaranya Sindrom Down", tambah beliau.

TERAPI CARA KERJA

Kenapa pilih juruterapi sebagai kerjaya? Itulah soalan yang diajukan terhadap Junaleth 'June' Dalupang Chiong.

"Ianya bukanlah pilihan pertama saya. Tetapi ketika saya belajar, saya rasa terpanggil membantu mereka yang memerlukan dan ketika itulah saya mula memperkembangkan kebolehan saya dalam aspek ini", kata June yang berasal dari Makati, Filipina.

"Sebelum datang ke Malaysia, saya mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun sebagai juruterapi cara kerja di Filipina. Saya biasa dengan anak-anak istimewa bukan sahaja Sindrom Down tetapi juga autisme, cerebral palsy, masalah pembelajaran dan cacat akal", kata June yang mempunyai ijazah Sarjana Muda Sains Terapi Cara Kerja.

Beliau juga merupakan juruterapi berlesen.

Bagi anak-anak Sindrom Down, June mempunyai pandangan sebegini:
"Membantu mereka merupakan satu cabaran kerana bukan semua yang dapat menyesuaikan diri bersama anak-anak ini. Anak-anak ini dianggap istimewa bukan kerana masalah yang mereka hadapi tetapi mereka boleh beri kelainan terhadap hidup anda dalam keadaan yang amat
istimewa".

Bagi June, anak-anak istimewa membantu membina sifar pengajar mereka kerana ianya bukan sesuatu yang mudah mengajar anak-anak sebegini dengan penuh kasih sayang, kesabaran serta kefahaman.

"Saya tidak pernah menyesal berkhidmat untuk anak-anak istimewa kerana ianya memberi satu kepuasan bila melihat mereka berupaya mencapai kemajuan", tambah beliau.

ANAK ISTIMEWA JUGA MEMPUNYAI HAK

Bagi Ida Yasmine Ahmad, 27, yang dilahirkan di Kuching, Sarawak, anak-anak istimewa
mempunyai hak sama seperti anak yang lain. Mereka juga mempunyai persamaan dari segi
imaginasi, pemikiran, emosi serta reaksi dan tindakan.

"Disebabkan ciri-ciri istimewa mereka, anak-anak ini telah mencipta dengan sendiri daya mereka yang unik dalam menyatakan sesuatu dan ini memang sesuatu yang amat dan tidak pernah gagal menakjubkan saya.

"Apa yang kita anggap hanya sebagai kebolehan yang agak remeh, tetapi bagi anak istimewa di mana sesuatu itu kelihatan begitu sukar pada mulanya dan bila mereka berjaya melakukannya, ia seperti satu perkara yang amat besar telah dicapai.

"Dan situasi sebegini memang menakjubkan. Walaupun saya mungkin dianggap cuba membesarkan senario ini, tetapi itulah satu fakta dan perkara yang sebenarnya", kata Ida Yasmine yang merupakan graduan Kolej Universiti MAHSA pada tahun 2009.

Bagi beliau, anak-anak istimewa mungkin lain dari anak normal tetapi tetap mempunyai hak yang sama untuk bermain, belajar serta disayangi oleh semua.


"Selamat Hari Sindrom Down Dunia," kata beliau. - BERNAMA

Dipetik dari: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=483310

Sunday, March 14, 2010

Kongsi pengalaman anak istimewa

Ahad, 14 Mac 2010 10:44


CHERANG RUKU - Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU) tidak perlu kecewa dengan ketentuan Allah SWT itu, malah mereka perlu bersyukur kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan golongan terbabit. Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, ibu bapa kepada anak-anak terbabit beruntung kerana dipilih Allah untuk hidup bersama OKU.

Menurutnya, keadaan itu membolehkan ibu bapa menyedari kesusahan yang dilalui golongan kurang bernasib baik itu. “Dari sini kita dapat menyelami suka duka mereka yang terpaksa menjalani kehidupan lebih sukar berbanding insan biasa. “Jika kita tidak bersama mereka, kita tidak tahu sejauh mana kesusahan yang terpaksa dilalui mereka lebih-lebih lagi apabila mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan OKU dan Elaun Khas Pelatih PDK di Dewan Penggawa, di sini kelmarin yang turut dihadiri Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Nur Ashiqin Junoh. Dalam majlis tersebut, 27 OKU menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri dan 18 pelatih PDK Semerak menerima elaun khas bulanan. Wan Hassan berkata, sikap positif masyarakat terhadap OKU merupakan ‘ubat’ yang mampu memulihkan golongan berkenaan atau setidak-tidaknya ia membantu mereka tampil lebih berkeyakinan. “Kita perlu ingat segala itu ketentuan Allah, tidak perlu dipertikaikan dan kita harus melaluinya dengan penuh keimanan serta ketakwaan kepada Allah. “Allah mencipta manusia dan sudah semestinya Dia mengetahui apa yang diperlukan manusia, oleh itu segala permasalahan yang timbul mesti dirujuk kepada kitab suci Al Quran dan hadis,” katanya.

Katanya, tidak wajar golongan seperti itu dipinggirkan, mereka juga perlu menikmati keindahan alam sepeti melihat deruan ombak sebagai terapi minda. “Cari masa yang sesuai untuk bawa mereka berjalan-jalan kerana ia mencetuskan ketenangan sekali gus mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.

-"Sinar Harian"-

Monday, November 16, 2009

Mengurus anak istimewa GDD

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my

KETIKA anak pertamanya yang mesra dengan panggilan Ariff, tidak menunjukkan perkembangan tumbesaran dan minda yang memberangsangkan pada usia empat tahun berbanding anak kedua yang setahun lebih muda, dia mula mengesyaki sesuatu.


Kanak-kanak hidap GDD perlu diajar cara betul uruskan diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain

KETIKA anak pertamanya yang mesra dengan panggilan Ariff, tidak menunjukkan perkembangan tumbesaran dan minda yang memberangsangkan pada usia empat tahun berbanding anak kedua yang setahun lebih muda, dia mula mengesyaki sesuatu.

Revina Junos, 40-an, lantas membawa anaknya itu mendapatkan pemeriksaan lanjut dan pengesahan doktor nyata merubah hidupnya sekelip mata.

Dia yang sebelum itu bekerja dalam bidang perbankan korporat berhenti kerja sekali gus melupakan kerjaya yang dibina selama ini untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kebajikan anaknya yang menghidap Global Developmental Delay (GDD).

Ariff pada awalnya mengalami masalah pertuturan, namun selama 14 tahun ini, Revina mampu menarik nafas lega kerana anaknya itu menunjukkan perkembangan yang cukup memberangsangkan.

Ibu kepada empat anak itu menegaskan, perkara paling penting dalam penjagaan anak yang memiliki masalah pembelajaran sedemikian adalah sentiasa bersikap tegas.

"Jangan terlalu memanjakan anak itu dengan melakukan apa saja kerja harian tanpa memberikan tanggungjawab tertentu kepada dia sendiri untuk berdikari kerana ia mungkin memudaratkan mereka.

"Ajar mereka cara yang betul untuk menguruskan diri sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sepanjang menjaga Ariff, Revina akui, terlalu banyak pengalaman yang tidak dijangka berlaku, tetapi dia seolah-olah turut sama belajar daripada segala apa yang ditempuh.

Menurutnya, anak yang memiliki masalah sebegini tidak dapat memberi tumpuan mereka kepada sesuatu perkara dan tidak boleh berada di suatu tempat untuk jangka masa lama.

Mata mereka tidak boleh memandang tepat ke satu arah sebaliknya akan melilau seperti mencari sesuatu serta mengulang perkara atau soalan yang sama berkali-kali.

"Setiap hari dia akan bercakap serta menceritakan pelbagai perkara yang menarik minatnya dan sebagai ibu, saya perlu memberi perhatian dan melayannya bercakap.

"Kadang-kadang soalan serta penerangan diberikan diulang banyak kali dan kita perlu sabar mendengarnya," katanya.

Ariff juga seorang remaja yang amat mementingkan kesempurnaan dan akan tertekan jika aktiviti hariannya diubah walaupun sedikit.

"Saya memerlukan masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk memberi penerangan kepadanya sekiranya ada perkara yang ingin dilakukan secara berselang dengan aktiviti hariannya.

"Jika tidak diberitahu masalah lain akan timbul seperti sikap memberontak dan tidak memberikan kerjasama kerana dia tidak begitu sukakan perubahan dalam aktiviti yang ditetapkan kepadanya selama ini," katanya.

Selain itu, Ariff akan menekap telinganya dengan jari jika mendengar ada pihak yang cuba bercakap perkara tidak elok mengenainya.

"Sambil menekap telinga, Ariff akan bercakap tanpa henti dan jika kami tidak menghiraukannya, dia akan marah dan menepuk paha atau tangan orang lain untuk menyuruhnya supaya berhenti bercakap dan dengar kepada apa yang ingin diperkatakannya.

"Kadang-kadang adik-adiknya merungut kerana Ariff gemar mengulang ayat serta perkataan sama. Tapi itu adalah kebiasaan anak yang menghidap masalah GDD ini," katanya.

Malah Ariff juga mudah untuk panik jika ada peralatan rumah yang rosak dan akan menjerit sekuat-kuat hati walaupun bukan dia yang melakukannya.

"Pada mulanya agak susah untuk menerangkan perkara itu kepadanya, tetapi lama-kelamaan rasa panik itu dapat dikurangkan.

"Kesabaran adalah kunci utama dalam mendidik anak yang mengalami masalah pembelajaran seperti ini kerana jika tidak, usaha dilakukan tidak akan berhasil," katanya.

Di samping itu, corak pembelajaran yang diterapkan juga berbeza berbanding kanak-kanak seusia kerana mereka perlu belajar bercakap serta menguruskan diri.

Ariff kini bersekolah di Sekolah Islam Adni di Taman Seri Ukay. Sekolah berkenaan adalah sekolah swasta yang mempunyai keupayaan dalam menjaga kanak-kanak sedemikian.

Menempatkan Ariff di sekolah swasta bukan bermakna sekolah harian biasa tidak berkemampuan, tetapi disebabkan faktor penjagaan serta perhatian yang diperlukan lebih daripada kanak-kanak biasa yang sesuai untuk individu seperti Ariff.

Selain rutin harian di sekolah setiap hari, Ariff akan menjalani latihan bersama pakar terapi yang turut mengajarnya di rumah.

"Mereka amat tegas dalam mengajar Ariff dan disebabkan itulah perkembangan pembelajaran Ariff amat menggalakkan.

"Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana banyak membantu bagi memastikan masa depannya terbela," katanya.

Sungguhpun tidak seperti kanak-kanak lain, sekurang-kurangnya Ariff mampu untuk menyumbang mengikut kemampuannya.

Menurutnya, ibu bapa yang memiliki anak yang menghidap masalah sedemikian sememangnya digalakkan untuk mendapatkan rawatan awal dan tidak sesekali menyembunyikan masalah terbabit.

"Pengesanan pada peringkat awal memungkinkan harapan yang tinggi untuk mereka pulih walaupun tidak sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya, anak-anak itu dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik," katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Hati/20091116100501/Article/index_html
2009/11/16

Sunday, November 1, 2009

Kelam-kabut sindrom penyakit

Oleh SHANIKA ABADULLATIB

Dysprexia umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang
sama.

SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.

Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-
rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu
akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.

Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu
sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.

Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh
menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.

Gagal ikat tali kasut

“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti autisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”

“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor
anggota badan dan otak,” jelasnya.

Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat
perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.

Daripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud
terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.

“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.

Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah
untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.

“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa
kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain,
Daily Mail.

Kesukaran kawal pernafasan

Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.

“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-
bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.

Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari
segi perkembangan bahasa.

Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.

Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.

“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan
menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.

Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta
gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah
dysprexia.

“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata
ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.

Tiada rawatan khusus

Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi
penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.

Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan
membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.

“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain
dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.

Dipetik dari:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Friday, February 15, 2008

Profail Anak Istimewa: Haikal

Umur Haikal (bukan nama sebenar) semasa saya menulis ini ialah 10 tahun. Oleh kerana dia selalu sampai awal di sekolah (tempat saya menghantar anak istimewa saya), saya sempat berbual-bual dengannya bertanyakan keadaan hidupnya.

Dia mempunyai seorang abang yang berumur 11 tahun di sekolah yang sama. Di awal pagi, abangnya akan menghantarnya ke kelas khas. Abangnya seorang pengawas sekolah. Abangnyalah yang bersamanya dari rumah ke sekolah.

Haikal tinggal bersama ayahnya yang sudah bercerai di rumah pangsa berdekatan. Dia hanya jumpa ayahnya di hujung minggu, kerana ayahnya bekerja sepanjang hari. Makan tengah hari dan malam pun dibeli di kedai saja oleh abangnya.Kadang-kadang katanya, teman wanita ayahnya tolong basuhkan kasut sekolahnya di hujung minggu itu. Sementara ibunya pula, hanya datang mengambilnya sekali sekala sahaja. Ibunya sudah berkahwin lain dan Haikal juga mempunyai adik tiri perempuan.

Saya perhatikan dia sangat cerdik, walaupun beberapa anggota badannya tidak normal. Yang paling ketara, matanya separuh buta dan sebelah tangannya sedikit merengkok. Pergerakannya sedikit terhad dan dia tidak boleh lasak sangat kerana bidang penglihatannya terbatas. Bila dia melukis gambar yang dikatanya robot, robot itu nampak senget. Mungkin itulah yang dia nampak, jadi begitulah juga lukisannya.

Tetapi dari segi akal dan fikirannya, dia masih boleh digilap untuk berjaya berdikari. Apabila guru-guru perlu pergi bermesyuarat, dialah yang diharapkan untuk memantau murid-murid istimewa yang lain. Dalam hati saya berkata, sayang kalau tidak dimajukan Haikal ini. Cacatnya hanya fizikal, bukan otak. Berbeza dengan anak saya yang tercedera otaknya. Kalaulah penglihatannya dibetulkan, dia pasti boleh membaca dan melukis dengan cantik sekali. Tangannya, mungkin susah nak betulkan, tapi masih ada sebelah tangan lagi yang sempurna.

Di mana silapnya?
Saya rasakan kurang kerjasama dari pihak sekolah dan ibubapanya membuatkan dia tidak berkembang.
Ibubapa merasakan anaknya sudah dihantar ke sekolah. Lepaslah tanggungjawab.
Di pihak guru sekolah merasakan ibubapanya tidak ambil peduli tentang anaknya, kenapa harus kami beria-ia membetulkan keadaan?

Sistem persekolahan sekarang tidak ada satu mekanisme untuk menangani masalah sebegini.

Bagaimana harus kita bermula?

Monday, January 7, 2008

Profail Anak Istimewa: Irwan

Irwan (bukan nama sebenar) berbadan besar kerana usianya sudah meningkat 19 tahun.
Dia anak tunggal. Saya belum pernah bersua dengan ibunya. Bapanya baru saja bersara dari perkhidmatan kerajaan. Dialah yang menghantar dan mengambil Irwan dari sekolah setiap hari.

Khabarnya, dia merupakan anak angkat. Pasangan yang telah lama tidak mempunyai anak itu telah mendapatkan seorang anak dari saudara di kampung. Semasa Irwan diambil dari keluarga asalnya, dia tidak menunjukkan ciri-ciri anak istimewa. Maklumlah, masa itu masih kecil lagi. Setelah dua tiga bulan barulah mereka perasan terdapat kelainan pada Irwan. Nak dipulangkan balik, tidak sampai hati, kerana mereka tahu ibubapanya orang susah. Jadi mereka teruskan niat untuk memelihara Irwan hingga dewasa. Saya kira itu juga satu pengorbanan yang sangat besar terhadap Irwan. Jika dia terus tinggal bersama keluarganya yang susah, tak dapat saya bayangkan bagaimana kehidupannya sekarang. Pasti lebih perit.

Keadaan fizikalnya sangat kuat, mungkin berat badannya mencecah 80kg. Dia boleh berkata-kata dengan jelas, tetapi kurang kefahaman. Fikirannya masih seperti kanak-kanak 10 tahun.

Dia sangat suka pergi ke sekolahnya itu. Pukul 5:30 pagi dia sudah bangun mengejutkan bapanya. Apabila sampai di sekolahnya, dia sangat suka bermain buaian.

Oleh kerana dia tidak pandai melepaskan perasaannya, dia selalu memberontak. Ada masanya dia lari keluar dari kawasan sekolah, kadang-kadang melepaskan marahnya pada sesiapa yang ada berdekatan. Kasut, botol air, topi menjadi permainannya.

Hari ini pula, dia menjatuhkan para-para tempat menyimpan kasut. Habis bertaburan kasut-kasut di lantai.

Irwan juga tidak suka waktu untuk balik ke rumah. Bapanya akan menunggu dengan penuh sabar, sehingga dia puas bermain buaian sebelum dia mahu masuk ke dalam kereta untuk pulang. Kadang-kadang petugas-petugas di sekolah itu akan berbuih mulut memujuk dia. Tidak boleh dimarahi, kena pujuk perlahan-lahan. Saya tak dapat bayangkan bagaimana kalau terpaksa menarik dia masuk ke kereta MyVi, bapanya seorang yang kecil dan kurus, sedangkan si Irwan berbadan besar.

Begitulah kisahnya, bila anak istimewa ini sudah besar, mereka pasti akan menghadapi masalah pergaulan. Tidak tahu menyesuaikan diri dengan keadaan. Memang kesabaranlah yang menjadi harapan.