Ahad, 14 Mac 2010 10:44
CHERANG RUKU - Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU) tidak perlu kecewa dengan ketentuan Allah SWT itu, malah mereka perlu bersyukur kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan golongan terbabit. Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, ibu bapa kepada anak-anak terbabit beruntung kerana dipilih Allah untuk hidup bersama OKU.
Menurutnya, keadaan itu membolehkan ibu bapa menyedari kesusahan yang dilalui golongan kurang bernasib baik itu. “Dari sini kita dapat menyelami suka duka mereka yang terpaksa menjalani kehidupan lebih sukar berbanding insan biasa. “Jika kita tidak bersama mereka, kita tidak tahu sejauh mana kesusahan yang terpaksa dilalui mereka lebih-lebih lagi apabila mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan OKU dan Elaun Khas Pelatih PDK di Dewan Penggawa, di sini kelmarin yang turut dihadiri Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Nur Ashiqin Junoh. Dalam majlis tersebut, 27 OKU menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri dan 18 pelatih PDK Semerak menerima elaun khas bulanan. Wan Hassan berkata, sikap positif masyarakat terhadap OKU merupakan ‘ubat’ yang mampu memulihkan golongan berkenaan atau setidak-tidaknya ia membantu mereka tampil lebih berkeyakinan. “Kita perlu ingat segala itu ketentuan Allah, tidak perlu dipertikaikan dan kita harus melaluinya dengan penuh keimanan serta ketakwaan kepada Allah. “Allah mencipta manusia dan sudah semestinya Dia mengetahui apa yang diperlukan manusia, oleh itu segala permasalahan yang timbul mesti dirujuk kepada kitab suci Al Quran dan hadis,” katanya.
Katanya, tidak wajar golongan seperti itu dipinggirkan, mereka juga perlu menikmati keindahan alam sepeti melihat deruan ombak sebagai terapi minda. “Cari masa yang sesuai untuk bawa mereka berjalan-jalan kerana ia mencetuskan ketenangan sekali gus mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.
-"Sinar Harian"-
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.