Punya anak istimewa, bagaimana rasanya?
Topik ini pernah saya paparkan sedikit masa dulu, tetapi kebelakangan ini, semakin ramai kes-kes ibu muda yang dikurniakan anak istimewa membuatkan saya terpanggil untuk menyelami cetusan hati ibubapa yang mempunyai anak istimewa. Saya telah membaca beberapa paparan forum dan laman web berkenaaan isu tersebut. Berikut adalah beberapa pandangan yang dipaparkan.
1. hubungan ahli keluarga yang punya anak istimewa atau OKU
Bagi pasangan hidup, hendaklah saling bantu membantu dalam menjaga anak istimewa ini. Seharusnya kedua-dua ibubapa dapat menerima anak istimewa, dan banyakkan bersabar melayan kerenah anak.
Bagi adik beradik yang punya saudara seorang anak istimewa pula, terimalah dan fahamilah anak istimewa itu. Rasa belas kasihan dan prihatin yang serupa juga perlu disemai terhadap OKU, orang-orang tua dan orang yang sakit.
Tunjukkan layanan yang baik terhadap OKU lain, lebihkan senyuman dan bantu mana yang perlu. Janganlah diajar menghina atau mengaibkan orang lain ('mulut laser').
2. pandangan masyarakat terhadap anak istimewa atau OKU
Bagi anggota masyarakat, sedarlah bahawa anak istimewa atau OKU sudah tentu ahli syurga, kita belum tentu lagi. Tuhan pun tidak memandang jijik, kenapa kita sesama manusia ini yang berbuat begitu?
Saya juga tidak bersetuju penggunaan perkataan yang bersifat negatif. Sekadar memberi contoh, perkataan dalam bahasa Melayu seperti 'cacat', 'terencat', 'kudung' haruslah dielakkan. Kenapa saya berkata negatif? Kerana makna perkataan itu tidak membantu apa-apa untuk perkembangan orang sedemikian. Kadangkala ada rasa menghina dalam perkataan-perkataan itu. Gunakanlah perkataan yang lebih mesra seperti 'istimewa', 'ahli syurga', 'tercabar akal' (mentally challenged), 'kelainan upaya' dan lain-lain.
Bila mahu menegur atau bersembang dengan ibubapa anak istimewa ini, tolonglah jangan menyakitkan hati mereka. Antara soalan-soalan yang 'membengangkan' ibubapa ini adalah seperti berikut:
- "kesiannya..." seelok-eloknya katalah "sabar betul akak ni" atau "kuat betul semangat akak ye"
- "macam mana boleh jadi macam tu?" seelok-eloknya katalah "subhanallah...kuasa tuhan ye"
- "sakit apa tu" seelok-eloknya katalah "apa masalahnya, pendengaran ke, otak ke, penglihatan ke"
Walau apapun pandangan masyarakat, kita harus terus mendedahkan anak istimewa atau OKU kepada masyarakat. Jangan dikurung/asingkan mereka. Daftarkan dengan Jab Kebajikan Masyarakat (JKM), hantarlah ke sekolah yang mempunyai kelas khas.
3.Sifat anak istimewa atau OKU
Sebagai ibubapa, kita dapat melihat betapa istimewanya anak-anak istimewa ini. Sifat-sifat mulia mereka adakalanya melebihi kita yang normal ini.
Secara fizikalnya pula, kulit mereka ini amat halus dan mulus. Tak perlu ditepek losyen pun, sudah cantik dan lembut. Cuba usap tangan atau pipinya, kita akan rasa aman dan tenteram. Saya selalunya menggunakan mata sebagai alat komunikasi dengan anak istimewa saya. Matanya jernih dan penuh mengharap. MasyaAllah!
Cara berfikir juga tidak sama dengan kebanyakan orang yang normal. Ada yang dapat menangkap percakapan kita walau dengan sekali sebut, tetapi ada juga yang tidak faham-faham setelah diulang beribu kali. Mereka sangat jujur, punya hati dan perasaan macam manusia lain juga.
Walaupun begitu, anak istimewa ini biasanya tidak suka menunggu. Setiap urusan mesti cepat dan teratur. Jadi semua aktivitinya mesti diatur, diuruskan dan dipantau oleh seorang penjaga sepenuh masa.
Rata-rata ibubapa yang punya anak istimewa merasakan yang anak istimewa ini adalah satu anugerah yang amat berharga dari Tuhan, yang lain dari yang lain.
4. kebolehan dan potensi anak istimewa
Apa yang boleh saya katakan ialah sabar, sabar dan sabar. Setiap aspek pembesaran anak istimewa memerlukan bantuan dari kita yang berupaya. Dari segi pemakanan, kebersihan diri hinggalah kepada pergaulan seharian. Anak istimewa memerlukan banyak masa untuk memahami sesuatu perkara, jadi setiap perkara yang hendak dicapai perlu diulang beribu kali sebelum dia faham dan boleh melakukannya. Beri masa untuk dia mencuba sendiri, agar dia dapat berbangga dengan usahanya itu. Pada masa yang same, jangan terlalu mengharap pencapaian yang terbaik dalam masa yang singkat, belajarlah untuk bersabar.
Kepada anggota masyarakat, apa yang anak istimewa harapkan adalah empati dan rangsangan untuk mereka berjaya dalam apa juga yang dilakukan. Bantuan paling mudah adalah dengan menghormati kemudahan awam yang disediakan untuk OKU. Contohnya, janganlah menggunakan tandas untuk OKU atau tempat parkir kenderaan untuk OKU. Jangan biarkan anak-anak kita membuat kerusi roda OKU seperti permainan.
Sekian untuk kali ini. Sama-samalah kita memberi sokongan terhadap golongan OKU ini.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.