Labels

Friday, May 21, 2010

Mengurus anak GDD

Artikel ini adalah susulan tentang carian saya berkenaan anak GDD. GDD adalah singkatan bagi Global Developmental Delayed. Walaupun ia lebih tertumpu kepada GDD, tetapi panduan yang sama juga boleh digunakan bagi mengurus anak-anak istimewa yang lain.

Bagaimana mengurus anak GDD?
Oleh Samantha Cummings

Mengurus seorang anak yang lambat/lembab perkembangannya boleh menjadi terlalu mencabar dan memenatkan. Biasanya amat sukar untuk mengenalpasti apa yang kita beri adalah apa yang diperlukannya.

Tetapi mengurus anak lembab juga boleh menjadi sangat berharga jika kita tahu melakukannya. Artikel ini cuba mencari cara terbaik untuk kesejahteraan semua pihak yang terbabit.

Langkah 1: Bekerjasama dengan doktor dan ahli sistem sokongan. Amat penting untuk bekerjasama dengan semua peringkat ahli sistem sokongan OKU ini, Walaupun di negara kita agak masih terbelakang dalam bidang sistem sokongan untuk OKU ini, tetapi kemahiran menjaga OKU amat diperlukan.

Langkah 2: Sediakan dan tetapkan rutin harian. Menyediakan rutin harian yang tetap akan memudahkan anak merasa selamat dan kurang stress. Mandi dan makan pagi pada waktu sama setiap hari. Tetapkan masa untuk bermain dan belajar pada masa yang sama setiap hari. Luangkan juga sedikit masa untuk temujanji dengan doktor tetapi pastikan jadual waktu yang tetap seboleh mungkin.

Langkah 3: Beri masa untuk diri sendiri. Mengurus anak lembab bukan saja kadang-kadang mengecewakan malah memenatkan. Akuilah bahawa anda juga memerlukan masa untuk diri sendiri. Dapatkan seseorang yang boleh diharap untuk mengambil tempat anda semasa anda keluar melakukan sesuatu untuk diri sendiri. Gunakan masa itu untuk rehat yang cukup dan ambil juga masa rehat pendek antara kerja rumah, ini akan menyegarkan anda untuk terus kembali mengurus anak.

Langkah 4: Bergaul dan berdamping dengan ibubapa lain. Cari kumpulan sokongan di mana terdapat penjaga anak-anak lembab. Di samping bertukar pengalaman, anda juga mendapat tip dan jawapan bagi memudahkan mengurus anak anda. Anak anda juga boleh merasa selesa dapat bertemu anak-anak lain yang sepertinya.

Langkah 5: Belajar mengawal stress. Dengan mengaplikasikan teknik berkesan sepanjang hari anda, anda dapat mengurangkan tekanan. Cubalah belajar tentang bernafas dalam, aromaterapi, yoga atau meditasi.

Dapatkan bantuan jika boleh. Dapatkan seorang pakar atau penjaga bertauliah sebagai pengganti anda sekali sekala. Kenalpasti dan raikan setiap pencapaian barunya. Ini akan meningkatkan keyakinan diri dan semangat anda dan anak anda.

Dipetik dari: ehow.com

Friday, May 7, 2010

Wujudkah di sini?

Rabu Mei 5, 2010

Cara Australia Melayani Orang Kurang Upaya...
Oleh DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI

BIASANYA di hujung setiap minggu saya akan membawa keluarga saya ke tempat-tempat yang boleh kami sekeluarga beristirehat. Rasa rugi pula jika tidak menerokai Australia yang penuh dengan pelbagai tempat menarik.

Baru-baru ini kami memilih untuk berBBQ di tepian pantai, lokasi yang dipilih kali ini ialah Willamstown, sebuah kawasan bersejarah serta penempatan awal manusia di Melbourne.Ketika sedang berseronok bermain di persisiran pantai, tiba-tiba datang sekumpulan orang yang turun dari sebuah van putih, terus menuju ke tempat berhampiran kami. Pada mulanya saya ingat mereka ini adalah sekeluarga, sepeti kami, datang untuk beriadah, rupanya sangkaan saya meleset sama sekali.

Kumpulan ini terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Ada yang tua, ada juga yang muda dan berbeza keturunan. Setelah diamati betul-betul mereka semua adalah dari golongan orang kurang upaya, fizikal dan juga mental.

Secara automatis lagu Namun Ku Punya hati nyanyian Revolver seolah-olah berputar-putar di telinga saya. Apatah lagi, apabila mengenangkan nasib mereka yang sama di Malaysia. Tidak ada siapa yang meminta agar dilahirkan cacat ataupun berdoa untuk menjadi kurang sempurna. Ini bukan satu pilihan, tapi ia adalah takdir, namun begitu, sejauh manakah takdir ini kita boleh garap menjadi positif.

Di Australia golongan OKU ini tidak pernah dipinggirkan dalam masyarakat. Mereka tidak pernah disembunyikan di dalam almari. Malah diberi sebanyak pendedahan yang mungkin. Ini bukan bermakna, keluarga mereka merasa bangga dengan kewujudan ahli keluarga yang cacat, tetapi sikap tidak menyesali ataupun malu dengan anugerah Ilahi itulah yang perlu dipuji.

Hakikatnya, mereka bukannya sakit, kerana tiada ubat yang boleh menyebuhkan mereka, tetapi dugaan dalam menempuh ranjau kehidupan yang diberikan, hendaklah disemai dengan kekuatan semangat dan latihan yang sewajarnya. Agar kekurangan yang ada boleh ditransformasikan menjadi sesuatu yang istimewa.

Kerajaan pimpinan Rudd, begitu perihatin terhadap kebajikan rakyatnya. Ketika dalam kandungan lagi sudah diuji janin tersebut untuk mengenal pasti jika terdapat sebarang kecacatan. Jika didapati ada kemungkinan kecacatan pada bayi tersebut, ibu-bapa akan dimaklumkan serta diberi kaunseling permulaan.

Tujuannya ialah agar ibu-bapa bayi tersebut bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Selepas dilahirkan anak tersebut akan sentiasa dipantau perkembangannya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tempatan.

Bantuan kewangan serta sokongan moral sentiasa dihulurkan. Yang menariknya, pada setiap hujung minggu, mereka ini akan dibawa keluar ditemani para sukarelawan yang terlatih untuk bersiar-siar sepertimana manusia normal yang lain.

Tujuannya ialah untuk memberikan mereka pendedahan terhadap kehidupan dunia realiti sambil memberi ruang untuk ibu-bapa mereka menggendurkan sedikit ketegangan dan berehat seketika (stress release).

Kemudahan dan keselesaan untuk golongan ini sentiasa diambil kira. Prasarana yang sesuai sentiasa dipertingkatkan. Terutamanya sistem pengangkutan awam yang amat mesra dengan keperluan OKU.

Menariknya di sini, terdapat teksi yang direka khas untuk kegunaan mereka yang berkerusi roda agar memudahkan pergerakan mereka. Gerabak kereta api juga disediakan kemudahan khas untuk golongan ini, malah koc pertama sentiasa diperuntukan untuk golongan istimewa ini, agar mereka dapat merasai keselesaan sama seperti orang lain.

Ironinya, kerajaan tidak sentiasa memanjakan mereka. Golongan ini sentiasa diajar untuk berdikari, malah diajar bagaimana caranya untuk survive jika kaum keluarga sudah tiada. Misalnya di hadapan rumah saya, terdapat penempatan bagi dua orang yang mengalami kecacatan fizikal yang kronik. Lumpuh hampir keseluruhan badan. Bergerak hanya bergantung kepada kerusi roda elektronik.

Seorang masih lagi boleh mengawalnya dengan tangan, seorang lagi mengawalnya dengan tolakan dagu. Setiap hari akan ada dua syif sukarelawan terlatih datang ke rumah tersebut. Tugas mereka ialah untuk membersihkan rumah, menukar lampin serta menyediakan makanan untuk dua orang kurang upaya ini.

Dan seminggu sekali mereka juga akan ditemani untuk melakukan shopping sendiri dengan menggunakan pengankutan awam.Bukan tujuan saya untuk mempelekehkan negara sendiri, tapi sekadar perbandingan agar dapat sistem yang ada sekarang dikemaskini dan kita tidak alpa akan keperluan dan kehendak golongan ini.

Tapi yang pasti, bagi saya, istilah Orang Kurang Upaya (OKU) harus dihapuskan dan diganti dengan istilah yang lebih bermotivasi positif tanpa adanya elemen merendah diri. Mereka ini, walaupun tidak sesempurna orang biasa, adalah insan istimewa yang tetap mengharapkan ada sedikit ruang bagi mereka di hati insan-insan lain.Walaupun kelihatan berbeza dari segi paras rupa, mereka juga pandai ketawa, menangis dan merasa kecewa. Tanpa betul-betul mendekati, bermesra dan melayan mereka, tidak ada sesiapa menyangka keistimewaan yang mereka miliki.

Maka itu janganlah disebabkan kesempurnaan yang Ilahi kurniakan, kita lupa mereka sebenarnya insan istimewa yang kadang-kala dipinggirkan oleh masyarakat sendiri.Mereka juga perlukan pembelaan. Pandanglah mereka dengan mata hati bukan dengan buta hati.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan Honarary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb. edu.au

Dipetik dari: www.mystar.com. my

Saturday, May 1, 2010

Apa itu GDD?

Saya telah mendengar seorang juruterapi menyebut tentang Global Developmental Delay (GDD) kerana istilah itu bertepatan dengan keadaan yang dialami oleh anak saya. Jadi saya cuba mendapatkan maklumat lanjut tentang GDD ini di internet. Artikel di bawah ini adalah terjemahan laman web berikut http://www.trailscenter.com/gdd.htm.

Seorang kanak-kanak yang lambat berkembang adalah seorang kanak-kanak yang tidak mencapai tahap perkembangan yang sepatutnya berdasarkan umurnya. Ada kanak-kanak yang lambat berkembang sejak lahir lagi. Kanak-kanak begini akan mengalami lambat berjalan, bercakap dan lain-lain kemahiran motor. Kes begini dipanggil "cerebral palsy", tetapi terlalu kecil bilangannya.

Sebab-sebab GDD

Ada pelbagai sebab terjadinya perkembangan yang lambat ini. Amat payah untuk mengenal pasti sebab-sebabnya, kebiasaannya dari kecederaan otak yang disebabkan oleh jangkitan. Selain itu, doktor atau pakar kanak-kanak perlu mendengar penerangan dari ibubapa tentang tahap perkembangan anaknya untuk memastikan samada kanak-kanak itu dalam lingkungan perkembangan yang normal atau tidak.

Kesan GDD

Ibubapa pasti memikirkan apakah kesan perkembangan yang lambat ini terhadap masa depan anaknya. Setengah kanak-kanak yang bermasalah kecil, boleh diatasi apabila dia meningkat dewasa. Ada pula yang kekal lambat hingga dewasa. Masalah biasanya bermula dengan sistem motornya, kemudian masalah untuk berjalan. Masalah selanjutnya pula berkait rapat dengan pertuturan dan bahasa sehingga membawa kepada masalah pembelajaran. Selain itu, masalah juga mungkin berlaku dari segi pergaulan sosial, contohnya pendengaran, penglihatan, tingkahlaku dan sawan. Perkara ini hanya ibubapalah yang paling dekat untuk memerhatikannya, dan mencari kelebihan anak itu untuk membangunkan potensi dirinya.

Pencapaian paling tinggi bagi kanak-kanak yang lambat berkembang ini biasanya amat berbeza dengan kanak-kanak biasa. jadi, adalah tidak wajar meletakkan harapan yang tinggi untuk kanak-kanak ini seperti kanak-kanak biasa.

Mengurus GDD

Tidak ada satu rawatan atau ubat yang boleh membetulkan GDD. Kanak-kanak begini memerlukan seorang penjaga ("caregiver") dalam setiap aspek kehidupan seharian sepanjang hayatnya.

Yang paling penting, setiap ibubapa kepada kanak-kanak begini haruslah menyediakan persekitaran yang memberangsangkan dan penuh kasih sayang. Tugas ibubapa ialah membantu anaknya untuk meningkat pencapaiannya.