Irwan (bukan nama sebenar) berbadan besar kerana usianya sudah meningkat 19 tahun.
Dia anak tunggal. Saya belum pernah bersua dengan ibunya. Bapanya baru saja bersara dari perkhidmatan kerajaan. Dialah yang menghantar dan mengambil Irwan dari sekolah setiap hari.
Khabarnya, dia merupakan anak angkat. Pasangan yang telah lama tidak mempunyai anak itu telah mendapatkan seorang anak dari saudara di kampung. Semasa Irwan diambil dari keluarga asalnya, dia tidak menunjukkan ciri-ciri anak istimewa. Maklumlah, masa itu masih kecil lagi. Setelah dua tiga bulan barulah mereka perasan terdapat kelainan pada Irwan. Nak dipulangkan balik, tidak sampai hati, kerana mereka tahu ibubapanya orang susah. Jadi mereka teruskan niat untuk memelihara Irwan hingga dewasa. Saya kira itu juga satu pengorbanan yang sangat besar terhadap Irwan. Jika dia terus tinggal bersama keluarganya yang susah, tak dapat saya bayangkan bagaimana kehidupannya sekarang. Pasti lebih perit.
Keadaan fizikalnya sangat kuat, mungkin berat badannya mencecah 80kg. Dia boleh berkata-kata dengan jelas, tetapi kurang kefahaman. Fikirannya masih seperti kanak-kanak 10 tahun.
Dia sangat suka pergi ke sekolahnya itu. Pukul 5:30 pagi dia sudah bangun mengejutkan bapanya. Apabila sampai di sekolahnya, dia sangat suka bermain buaian.
Oleh kerana dia tidak pandai melepaskan perasaannya, dia selalu memberontak. Ada masanya dia lari keluar dari kawasan sekolah, kadang-kadang melepaskan marahnya pada sesiapa yang ada berdekatan. Kasut, botol air, topi menjadi permainannya.
Hari ini pula, dia menjatuhkan para-para tempat menyimpan kasut. Habis bertaburan kasut-kasut di lantai.
Irwan juga tidak suka waktu untuk balik ke rumah. Bapanya akan menunggu dengan penuh sabar, sehingga dia puas bermain buaian sebelum dia mahu masuk ke dalam kereta untuk pulang. Kadang-kadang petugas-petugas di sekolah itu akan berbuih mulut memujuk dia. Tidak boleh dimarahi, kena pujuk perlahan-lahan. Saya tak dapat bayangkan bagaimana kalau terpaksa menarik dia masuk ke kereta MyVi, bapanya seorang yang kecil dan kurus, sedangkan si Irwan berbadan besar.
Begitulah kisahnya, bila anak istimewa ini sudah besar, mereka pasti akan menghadapi masalah pergaulan. Tidak tahu menyesuaikan diri dengan keadaan. Memang kesabaranlah yang menjadi harapan.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.