Begitulah halnya dengan saya. Semenjak Balqis lahir, saya menjangkakan perkembangannya sama seperti adik beradiknya yang lain. Semua mereka sudah boleh bertutur pada usia 1 ke 1.5 tahun. Sudah tentulah, merangkak, berjalan dalam masa yang lebih awal dari itu.
Tanda-tandanya
Sekitar usia Balqis 2 tahun (2001), dia masih belum boleh berjalan, apatah lagi bercakap. Pergerakannya juga amat terhad. Elok pulak dapat pembantu rumah yang asyik mendukungnya saja. Dia amat malas untuk merangkak. Pergerakan merangkaknya pun agak pelik, bukan kiri-kanan kiri-kanan, tetapi kedua-dua kaki serentak ke depan.
Pencarian
Akhirnya saya dan suami mengambil keputusan untuk mendapatkan pendapat pakar kanak-kanak. Kami telah berjumpa dengan pakar yang pelbagai untuk mengenalpasti masalahnya.
Pakar psikologi - orang pertama kami temui adalah seorang pakar psikologi, yang juga kawan sekolah kepada kakak ipar saya. Sebenarnya masalah ini bukanlah bidangnya, namun atas dasar kawan, beliau terus juga membantu. Beliau kemudian merujuk kes kami kepada seorang pakar neuro (otak).
Pakar neuro (otak) - pakar ini mengaturkan temujanji untuk melakukan MRI ke atas Balqis. Malangnya, pada hari itu, mesin MRI di hospital itu rosak. Usaha kami terhenti di situ kerana tidak mahu dijadikan bahan ujikaji untuk kes neuro untuk pakar tersebut. Matlamat kami untuk mengenalpasti apa yang membuat perangai Balqis berbeza dari kanak-kanak lain.
Pakar kanak-kanak - seterusnya kami berjumpa dengan seorang pakar kanak-kanak yang selalu didengari ceramahnya di radio. Namun, pakar ini juga tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Secara luarannya, tiada apa yang tidak normal. Nasihatnya, teruskan memberi makanan yang berkhasiat dan vitamin-vitamin.
Pakar mistik - Pada masa yang sama, kami juga meminta pendapat dari "pakar mistik" (orang yang mempunyai kemahiran di bidang "invisibles"). Kami sangat "selective" dalam mencari pakar mistik ini, sehingga bertemu seorang pengamal perubatan yang menggunakan Al-quran. Dari pemerhatiannya, Balqis ada diganggu oleh seekor? seorang? makhluk halus. Gangguan sudah bermula sejak di alam rahim lagi. Gangguan itu tertumpu di bahagian otak lantas memberi kesan kepada sistem saraf bayi tersebut. Terkejut dengan penjelasan itu, saya bertanya, "Macam mana boleh terjadi?" Pantas beliau menjawab, "Kuasa Allah, tidak akan terjadi sesuatu apa pun tanpa izin Allah." Sebagai ibubapa, kami diberikan ayat2 Al-quran untuk diamalkan setiap hari. Pengamal ini juga telah merujuk kami kepada seorang pakar psikologi klinikal yang telah merawat anaknya ketika masalah malas belajar.
Pakar psikologi klinikal - Pakar ini bergerak secara individu. Beliau mempunyai premis tempat rawatan untuk penyakit-penyakit seperti tiada motivasi, malas menulis, malas membaca dengan menggunakan kaedah "applied kinesiology". Tekniknya ternyata berkesan terhadap Balqis. Selepas menjalani beberapa sesi rawatan, Balqis menjadi bertambah tenang dan boleh fokus lebih baik.
Kami berpuas hati dengan perubahan keadaan Balqis, namun terfikir, untuk penempatan persekolahannya, Balqis masih perlu di "diagnose" di sebuah hospital kerajaan.
Penilaian awal
Kami melangkah ke sebuah hospital yang baru saja menubuhkan unit Masalah Pembelajaran - Learning Disability (LD). Dalam proses tersebut, Balqis melalui beberapa prosedur dari mengambil darah, pemeriksaan fizikal seperti pendengaran, penglihatan, pergerakan anggota badan sehinggalah melakukan imbasan MRI. Inilah hasil pemeriksaan tersebut.
Penilaian awal |
Lebih spesifik |
Beberapa perkara yang saya belajar dari pengalaman ini ialah,
- jangan berhenti mencari jawapan - teruskan usaha, kadang-kadang amat perlu untuk mencari "second opinion" untuk mendapatkan kepastian,
- jangan tutup pintu-pintu jawapan - usaha dan ikhtiar, yang mistik pun kami lalui juga,
- kuasa Allah, dengan izin Allah - setiap yang berlaku BUKAN satu kebetulan, pasti ada hikmahnya dalam setiap kejadian.
Menerima ketentuan
Amat payah untuk memahami dan menerima ketentuan ini. Kesedihan, penyesalan, kenapa aku, rasa bersalah datang silih berganti. Perjalanan hidup saya berubah kerana ini. Namun, itulah pengalaman yang dilalui. Ujian kehidupan adalah untuk:
- menghapus dosa-dosa yang lepas,
- mengangkat darjat di sisi Allah,
- menjadi insan yang lebih baik, dunia dan akhirat.
Memetik kata seorang sahabat ketika hati saya gundah gelana mendapat berita ini, "Allah tahu kau mampu untuk menghadapi ujian sehebat ini, terimalah seadanya."
Alhamdulillah! Thank you Allah, for this test.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.