Tahun itu 2003, Balqis berumur 4 tahun. Memandangkan anak-anak saya yang lain di hantar ke tadika pada usia itu, saya pun bersemangat melakukan yan g serupa untuk Balqis. Setelah membanding beberapa pusat kanak-kanak, saya mengambil keputusan untuk menghantar Balqis ke sebuah "child development center" (CDC) yang tidak jauh dari pejabat saya.
Hari pertama Balqis di situ, sebenarnya minggu kedua persekolahan untuk kanak-kanak lain. Guru yang ditugaskan menjaga Balqis, Cikgu Kay (bukan nama sebenar), memberikan "feedback" pertamanya apabila melihat Balqis. Katanya:
- Balqis boleh bergaul dengan budak-budak lain,
- dia juga tiada masalah mengikut arahan guru-guru, bukan seorang yang terlalu aktif ("hyper"),
- tetapi sangat risau bila maknya tiada.
Saya menunggu di situ dari 9 pagi sehingga 11:30 pagi. Pada masa yang sama saya juga memerhatikan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka. Saya berasa lega kerana guru-guru di situ sudah biasa dengan anak istimewa. Pusat itu pernah mengambil seorang dua kanak-kanak istimewa sebelum ini. Itu adalah salah satu "pre-requisite" saya untuk memastikan pusat kanak-kanak itu sesuai untuk Balqis. Suasana di situ hampir sama dengan di rumah, jadi mungkin itu sebabnya dia berasa selesa.
Itulah yang kami harapkan, supaya dia boleh dibentuk untuk berdikari satu hari nanti.
Minggu kedua, saya bercadang untuk tidak menunggu Balqis di sekolah. Sangat sedih untuk meninggalkannya, tetapi Cikgu Kay memberi semangat dengan berkata, "It is OK, biarlah ini menjadi cabaran untuk dia." Perasaan saya, sama seperti ibu lain yang meninggalkan anak di darjah satu di sekolah. Selepas melambaikan tangan kepadanya, saya masuk ke dalam kereta dan menangis. Sedih kerana bimbang dia mencari-cari saya dan memikirkan yang saya menyisihkan dia. Tak mungkin! Saya mahu dia belajar berdikari. Dia harus tahu bahawa ibunya tidak akan selama-lamanya bersamanya.
Bila kembali untuk mengambilnya, dia sudah tidur lena di pangkuan Cikgu Kay. Rupanya dia menangis sepanjang ketiadaan saya tetapi masih berkepit dengan Cikgu Kay. Akhirnya tertidur.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.