Labels

Friday, February 1, 2008

Tambahkan ilmu

Sebagai manusia, kita diwajibkan menuntut ilmu. Walaupun lahir di zaman yang mementingkan ilmu pengetahuan, kita biasanya hanya mencari ilmu yang bersangkut paut dengan kerjaya saja. Apatah lagi apabila dikurniakan dengan anak istimewa, kepentingan mencari ilmu baru ini menjadi semakin perlu.

Dalam pencarian saya untuk melengkapkan diri, saya bertemu dengan terlalu banyak ilmu-ilmu lain yang berkaitan. Betullah seperti kata-kata yang pernah saya dengar, semakin banyak yang kita pelajari, semakin banyak yang kita belum tahu. Antara yang ketara adalah:

1. ilmu keibubapaan - ilmu ini sepatutnya diwajibkan untuk setiap pasangan yang mahu berkahwin. Kesan jangka panjang disebabkan kurangnya didikan oleh ibubapa sudah kita ketahui. Masalah sosial anak-anak muda sekarang berpunca dari kecetekan ilmu keibubapaan ibubapanya. Ibu dan bapa tidak dapat menjadi contoh dan tauladan untuk anak-anak, bagaimana hendak membentuk generasi yang lebih baik?

Agak terlambat rasanya saya mendalami ilmu ini, saya hanya tahu setelah saya mempunyai 4 orang anak (yang bongsu itu anak istimewa), tapi masih boleh digunapakai. Barulah saya tahu yang kita harus melayan anak-anak ini mengikut peringkat umur mereka.

2. ilmu tentang penyakit/masalah yang dihidapi - ini mengambil masa yang agak lama untuk saya mencarinya kerana saya tidak dapat mengenalpasti masalah sebenar anak saya. Selain dari membaca dan bertanya pada orang yang mempunyai anak istimewa, saya juga berjumpa beberapa pakar kanak-kanak. Akhirnya saya faham bahawa walaupun anak saya dilabelkan sebagai "lembab" tapi setiap perkembangannya berbeza dengan anak orang lain yang juga "lembab". Setiap manusia itu dijadikan "unique". Tidak ada satupun yang benar-benar serupa.

3. ilmu agama Islam - semasa sibuk dengan kerjaya, saya tidak ada masa untuk perkara -perkara lain. Masa yang ada sekarang memberi saya peluang untuk menghayati kandungan Al Quran. Selain memperbaiki diri untuk menjadi insan yang solehah, saya juga belajar banyak benda baru. Terfikir juga, kenapalah saya tak mendalami Al Quran ini dari awal lagi, terlalu banyak ilmu di dalamnya.

Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).
- AlQuran 2:269 (Surah Al Baqarah Ayat 269)


Ciri-ciri keberkatan ilmu:

Persediaan mental - cuba luangkan masa untuk menyediakan mental dan fizikal untuk mencari ilmu. Mungkin sebagai permulaan, peruntukkan 10 minit sehari untuk membaca tentang anak istimewa.

Pencarian ilmu ini adalah satu proses belajar yang panjang. Ia sesuatu yang berterusan, tidak ada jawapan kepada setiap persoalan yang bermain di kepala, jadi kita harus sentiasa mencari ilmu yang baru.

Amalkan apa yang dipelajari. Jika tidak dipraktikkan, kita mungkin akan lupa tentangnya. Memang mudah untuk menyebutnya, tetapi apabila hendak dilakukan, payah juga. Adalanya, kita perlu ulangkaji bahan-bahan yang telah dibaca sebelum ini kerana sudah terlupa.

Begitulah tentang mencari ilmu, jangan putus harap, teruskan usaha.

Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.
- Al Quran 29:64 (Surah Al An'kabut Ayat 64)

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.