Semua ini berlaku sekitar tahun 2003.
Saya masih bekerja sepenuh masa. Tuntutan kerja semakin memuncak. Walaupun sudah dapat menilik perbezaan pada perkembangan anak yang ini, saya masih meneruskan hari-hari dengan bekerja.
Umur Balqis sudah meningkat 4 tahun. Bila diajak tidur, dia tidak mahu masuk bilik. Dia akan berlari ke dapur, menangis tanpa henti di dalam gelap. Tangisannya pula, agak lain bunyinya dari kanak-kanak yang seusianya. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana dia tidak mahu keluar dari kegelapan itu. Ada harinya, dia akan tertidur di hadapan TV saja.
Balqis juga dihantar ke sebuah tadika. Selepas ke tadika itu, dia menunjukkan perubahan positif seperti mahu berkawan, menadah tangan sebelum makan, memegang sudu untuk makan dan memahami beberapa arahan mudah. Walaupun begitu, dia masih takut apabila berjumpa orang yang tidak dikenali. Apa yang dilakukan di tadika turut membantu dengan lebih banyak memberikan semangat untuknya mencuba.
Pada hujung minggu pula, saya menghantar Balqis ke Tumble Tots. Aktiviti-aktiviti di pusat ini juga memberi sumbangan yang besar kepada Balqis, dalam membangunkan semangat dan daya berfikirnya. Salah satu aktivitinya ialah memanjat tangga; Balqis berubah dari takut mendekati tangga itu hingga berani memanjat tangga teratas sekali. Aktiviti yang paling saya kagumi ialah sesi menyapa kawan-kawan atau "greet everyone". Setiap kali berkumpul, kanak-kanak disuruh duduk dalam satu bulatan. Kemudian setiap kanak-kanak diajak berdiri di hadapan dan memperkenalkan dirinya. Dalam satu sesi, Balqis telah pergi ke depan untuk memperkenalkan dirinya dan cuba berkata sesuatu (walaupun tiada apa yang keluar).
Saya membuat temujanji dengan seorang pakar kanak-kanak di sebuah pusat pakar perubatan. Tidak banyak yang dapat dibantu oleh pakar itu. Saya agak kecewa kerana sangkaan saya meleset terhadap doktor pakar itu. Katanya Balqis bukan autistik, tetapi tidak dapat mengenalpasti masalah lain. Dia hanya menyuruh saya memberi lebih banyak makanan berkhasiat untuk Balqis.
Jadi, saya tidak mendapat jawapan dari doktor pakar itu.
Pada masa yang sama, saya mula memikir-mikirkan untuk berhenti kerja atau tidak.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.