Saya tidak percaya pada "label".
Saya hanya mahu tahu apakah masalah anak saya ini. Dari situlah bermulanya pencarian saya, seawal tahun 2003, ketika itu anak saya, Balqis sudah meningkat usia 4 tahun.
Penilaian di Nury, menunjukkan bahawa perkembangan otak Balqis adalah 38 bulan lambat daripada biasa. Umurnya mengikut tarikh lahir ("chronological age") 48 bulan, tetapi umur otaknya ("neurological age") hanya 10 bulan. Untuk kanak-kanak yang normal, kedua-dua umur itu haruslah sama. Ini menunjukkan kecederaan otaknya boleh dikatakan serius, kerana jarak perbezaan 38 bulan itu besar.
Kemudian saya mendapatkan pandangan seorang pakar psikologi klinikal yang mengatakan perkembangan anak saya dalam umur 2.5 tahun. Penyebab keaadaannya jadi begitu ialah Cerebral Palsy (CP). Lalu saya mencari di internet, apakah benar anak saya menghidap CP? Jauh di sudut hati, anakku bukan begitu.
Pada tahun 2008, sesudah dua tahun berlalu, pakar psikologi yang sama telah menilai semula perkembangan anak saya. Kali ini dia mengatakan ini Attention Deficit Disorder (ADD). Lalu saya sekali lagi mencari di internet. Seperti dijangkakan, label ini lebih menepati ciri-ciri yang ada padanya, tetapi masih terlalu umum.
Bagi pihak kerajaan pula, di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan di sekolah kerajaan menggunakan kategori berikut:
a) masalah penglihatan
b) masalah pendengaran
c) masalah fizikal
d) masalah pembelajaran - di sinilah dikumpulkan semua jenis masalah pembelajaran seperti ADHD, autisme, dyslexia dan lain-lain lagi.
Apabila melayari website berikut, saya dapati bermacam-macam masalah yang bersangkut paut dengan otak kita. Bersyukurlah dengan apa yang Tuhan beri, sesungguhnya ada orang lain yang lebih menderita dari kita. Subhanallah!
http://emedicine.medscape.com/neurology
Seorang pakar terapi pertuturan pula mencadangkan label "dyspraxia". Saya mencari maklumat tentangnya lagi di internet. Setakat ini, "dyspraxia" adalah definisi terdekat bagi masalah yang dialami oleh anak saya. Dalam bahasa yang mudah, anak saya mempunyai masalah lembam ("developmentally slow"). Mungkin juga ada masalah bertindih, dari kurang daya berfikir hingga menyebabkan masalah pertuturan.
Untungnya memberi label...
Jika label yang diberi itu tepat, ia akan memudahkan ibubapa mencari maklumat dan rawatan yang sesuai dan berkesan untuk si anak. Selain itu, di negara kita ini, ada tendency bagi mewujudkan persatuan bagi pengidap masalah/penyakit yang sama, dengan ini dapat memberi sokongan moral dan emosi dengan mereka yang senasib.
Ruginya memberi label...
Jika label yang diberi itu tidak betul, ia pasti menyinggung hati ibubapa. Kredibiliti pakar yang memberi label juga akan tercemar.
Jika label yang diberi lari jauh dari masalah sebenar, rawatan yang diberi mungkin tidak akan membantu si pengidap.
Kesimpulannya, label boleh membantu sekiranya dibuat dengan tepat.
Walaubagaimanapun, kepakaran untuk mengenalpasti label yang betul dan tepat itulah yang masih kurang di negara kita ini. Adakalanya pula terdapat masalah yang berkait mahupun bertindih, yang boleh merumitkan lagi proses melabel itu sendiri.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.