Labels

Friday, March 21, 2008

Pentingnya bersabar




Kesabaran amat perlu dalam hidup ini, seperti satu lautan luas.

Semasa mendapat tahu tentang masalah Balqis, saya mula-mula amat bersemangat untuk membetulkan keadaannya. Saya memasang cita-cita yang tinggi untuk melihat dia berubah menjadi seperti kanak-kanak lain.

Saya memulakan senarai perkara-perkara yang perlu dia fahami dulu, paling minima untuk dia terus hidup sendiri. Antaranya ialah:
1. mengurus diri sendiri seperti ke tandas
2. bercakap
3. membaca
4. mengira
5. membeza

Sayapun mencari cara-cara untuk melakukan semuanya.
Apa yang berlaku, tidak seperti yang saya jangkakan. Kita nampak sesuatu perkara itu mudah mengikut turutannya, tetapi tidak bagi Balqis. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.

Ambil contoh, kemahiran memberitahu bila hendak ke tandas.
Dia harus faham tentang rasa tidak selesa bila hendak membuang air. Panggil ibu atau pembantu untuk bawanya ke tandas. Selepas membuang air, perlu basuh dan pam. Saya dapati dia terlalu risaukan tidak buang air hingga terlupa untuk membasuh. Mungkin juga dia tidak tahu apa tujuannya perlu ke tandas!

Walaupun proses ini telah diulang berkali-kali beberapa tahun, dia masih belum boleh berdikari lagi. Lantaran itu, saya terpaksa menukar kepada kaedah membawanya ke tandas mengikut masa.

Entah bila dia boleh berdikari, tapi saya akan terus mencuba. Mesti diulang beribu kali sebelum dia faham maksudnya.

Akhirnya saya terus melupakan juga tentang menetapkan jangkamasa untuk dia mencapai sesuatu. Tidak boleh ada "target date", tetapi dia perlu diberi sokongan untuk melakukan sendiri. Saya hanya perlu mengulang berkali-kali setiap perkara, sehingga ia menjadi sebahagian dari hidupnya.

Ada pula seorang kenalan yang mempunyai anak istimewa yang tidak boleh langsung bergerak. Jadi penyelesaian kepada masalah ke tandas tidak timbul sama sekali, dia hanya dipakaikan lampin pakai-buang sepanjang masa.

Berbagai cara kita diuji Tuhan. Bagaimana kita menanganinya? Bolehkah ujian-ujian itu dihalang? Tidak terdaya, kita hanya insan biasa yang lemah dan berhajat segala-galanya.


Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
- Al Quran 2:153 (Surah Al Baqarah Ayat 153)


Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,
(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"
Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
- Al Quran 2:155-157 (Surah Al-Baqarah Ayat 155 - 157)


Kata orang, sabar itu separuh dari iman. Seperti firman Allah, mintalah pertolongan kepada Allah dengan solat dan bersabar. Yang perlu kita lakukan sekarang ialah mendidik hati supaya belajar bersabar atas apa juga kurniaanNya.

Semoga usaha kita diberkati Allah.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.