Labels

Tuesday, April 1, 2008

Memulihkan anak istimewa

Memulihkan anak istimewa
Oleh MERAN ABU BAKAR

SEMBILAN bulan di dalam kandungan, setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak yang dilahirkan sempurna dan sihat. Namun, siapalah manusia untuk menentukan segalanya. Anak yang dianugerahkan, baik sempurna atau tidak harus diterima dengan hati yang reda kerana setiap kelahiran merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai.

Memang ada anak-anak yang lahir dengan kecacatan seperti otaknya tidak berupaya untuk mengawal pergerakan atau memproses maklumat yang diterima dengan sempurna.

Situasi ini menyebabkan mereka tidak mampu mendengar, melihat, merasa, menyentuh,
mengimbangi badan dan mengawal pergerakan otot-otot dengan baik.

Keadaan ini berkait rapat dengan masalah-masalah seperti autisme, attention deficit disorder (ADD), attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) dan lain-lain kecelaruan perkembangan saraf.

Sungguhpun demikian, kanak-kanak ini perlu juga meneruskan kehidupan dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Sekurang-kurangnya mereka boleh berdikari dan tidak perlu bergantung selama-lamanya pada orang lain.

Melihatkan ramai kanak-kanak istimewa ini yang tidak mendapat pemulihan yang betul telah membuka pintu hati Ahmad Fathir Badri, 34, membuka Pusat Jagaan dan Pemulihan Harian Ramah (PJPHR) di Seksyen 10, Shah Alam, Selangor, sejak setahun lalu.

PJPHR adalah pusat jagaan harian dan latihan pemulihan untuk kanak-kanak kurang upaya fizikal dan mental.

PJPHR ditubuhkan bagi membantu kanak-kanak kurang upaya ini menghadapi masa depan yang lebih cerah serta mampu berdikari.

Bermodalkan lebih RM100,000, PJPHR yang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini mempunyai seramai lapan orang kanak-kanak istimewa berumur antara tiga tahun hingga 13 tahun.

Menurut Ahmad Fathir, di antara program yang dijalankan di PJPHR ialah penjagaan harian, terapi multisensori, perkembangan awal kanak-kanak, pendidikan kanak-kanak lembam, pemulihan selepas rawatan hospital untuk kanak-kanak dan latihan pemulihan serta jagaan di rumah.

“Di PJPHR, kami menggalakkan penglibatan ibu bapa atau penjaga dalam setiap program bagi mempastikan proses pemulihan dapat dipercepatkan.

“Ibu bapa serta penjaga juga diharap dapat menemani anak-anak semasa latihan sedang
dijalankan,” kata pemegang Ijazah Teknologi Maklumat dari universiti tempatan ini.

Beliau menambah, sesi latihan yang lebih efektif bersama ibu bapa dapat memberi sokongan kepada anak-anak ini mengulangi latihannya di rumah, serta memberi maklum balas kepada ahli terapi mengenai perkembangan anak.

Kanak-kanak yang dihantar ke pusat itu telah disahkan oleh pakar perubatan mempunyai
masalah-masalah seperti autisme, spastik, hiperaktif, lembam, serebral palsi, sindrom down dan terencat akal.

“Biasanya kanak-kanak istimewa ini kalau pergi ke hospital kerajaan, dua bulan baru dapat temu janji dengan doktor bagi sesi rawatan. Tetapi bila mereka datang ke sini, mereka boleh mendapat rawatan bila-bila masa sahaja,” ujar Ahmad Fathir yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang rehabilitasi.

Mempunyai empat orang jurupulih cara kerja yang memiliki Diploma Jurupulih Cara Kerja dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), pusat ini menggunakan pendekatan menyeluruh dalam setiap rawatan dan program yang telah disediakan.

Menurut Ahmad Fathir lagi, keistimewaan pusat ini ialah terdapat bilik pelbagai sensori (MSR SpaceRoom) yang dilengkapi dengan peralatan berharga RM40,000.

Bilik yang konsepnya dibawa masuk dari England ini, memberi rangsangan sensori serta
ketenangan sebelum sesi terapi dilakukan.

Bilik ini digunakan oleh jurupulih bagi membantu merangsang lima deria iaitu bau, dengar, sentuh, lihat dan rasa.

Bilik eksklusif ini disediakan sebagai satu alternatif kepada kanak-kanak istimewa menikmati persekitaran yang unik. Ia juga dapat membantu mereka menikmati suasana yang tenang dan nyaman.

Secara tidak langsung mereka akan lebih relak dan akan memudahkan jurupulih mendapatkan maklumat bagi membantu mempertingkatkan keupayaan mereka.

Teknik terapi PJPHR bagi kanak-kanak berumur dua tahun ke atas.

Gross motor (Pergerakan kasar)

Untuk mempertingkatkan kebolehan anggota badan yang lemah atau tidak boleh melompat,
berlari, merangkak, mengesot dan duduk secara betul.

Fine motor (Pergerakan halus)

Untuk mengatasi masalah tidak boleh menggunakan permainan, tidak pandai menggunakan tangan dalam satu-satu aktiviti, susah memegang pensel untuk melukis, mewarna dan mengelakkan diri bermain dengan permainan yang banyak.

Pembelajaran

Cara untuk memperbaiki lemah tumpuan, gelisah, lambat dan lembab, tidak teratur dan tidak kemas, tumpuan amat sedikit, hiperaktif, tidak boleh mengikut arahan dan sebagainya.

Kebolehan kendiri

Cara mengatasi tiada atau kurang kebolehan berdikari daripada segi menyuap makanan, memakai baju, pergi ke tandas, menjaga kebersihan diri dan lain-lain.

Kebolehan bermain

Cara berhadapan dengan masalah tidak pandai, faham bermain, mengenai mainan, ingin bermain dan masalah kecacatan mengehadkan kebolehan bermain. Memberi peluang kepada kanak-kanak ini bermain kerana ia boleh merangsang perkembangan emosi dan berinteraksi dengan persekitaran.

Kognitif dan konsep asas

Membantu mereka yang menghadapi pemikiran yang lemah, tidak boleh menerima, memahami dan mengikut arahan. Masalah mengenal asas warna, bentuk, keadaan, benda, tempat, rasa, nombor, huruf dan lain-lain.

Psikososial

Mengatasi masalah sosial dan berinteraksi sesama sendiri seperti di dalam rumah, di sekolah dan komuniti.

Skil kehidupan dan pravokasional

Cara berhadapan dengan masyarakat, menambah keyakinan, keberanian hidup berdikari.
Mempertingkatkan kebolehan seperti berkebun serta membeli barangan harian.



Dipetik dari: http://intim.wordpress.com/2008/04/27/memulihkan-anak-istimewa/

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.