Saya berpeluang mengikuti satu majlis ilmu yang membicarakan tentang tafsir untuk Surah Al Jin. Saya pernah membaca beberapa kali surah ini tetapi hanya sekadar membaca kerana nak tahu tentang makhluk yang dijadikan Tuhan ini.
Dibawah ini diturunkan serba sedikit apa yang saya pelajari dari majlis itu. Moga-moga akan bertambah ilmu kita semua dalam menyesuaikan diri dengan makhluk jin ini.
Dalam surah ini juga dikisahkan tentang sekumpulan jin yang telah memeluk Islam selepas mendengar bacaan ayat suci Al Quran. Begitulah Allah berikan hidayah untuk mereka yang dikehendakiNya.
Ayat 1 hingga 15 dalam surah ini menceritakan tentang sekumpulan jin yang telah mendengar bacaan AlQuran dan telah jatuh hati dengan kemerduan dan kecantikan bahasanya. Mereka terus mengaku beriman kepada Allah, dan mereka juga telah ditemukan dengan Rasulullah saw. Mereka mengaku merasa teraniaya oleh tipu daya Iblis (ketua mereka) yang memburuk-burukkan Tuhan yang menjadikan mereka. Sebelum kelahiran Nabi mereka dapat mendengar rahsia-rahsia langit (perkara yang ghaib), tetapi sudah tidak boleh lagi. Jika jin cuba juga mendengar, dia akan direjam dengan bintang (cahaya yang kita nampak seperti bergerak laju di langit).
"dan sesungguhnya kami telah mencoba mengetahui (rahasia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api,
dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencoba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)."
- Al-Quran 72:8 - 9 (Surah Al-Jin, Ayat 8 - 9)
Kenapa Surah Al Jin diturunkan?
Kerana Allah mahu menegaskan bahawa jin itu juga adalah makhlukNya. Seperti manusia, malaikat dan lain-lain, semua ada ciri-ciri tersendiri. Sebagai makhluk Allah, amatlah memalukan jika kita pula menjadikan jin tempat kita bergantung. Malu juga kita sekiranya kita masih belum yakin dengan kekuasaan Allah menjadikan segalanya.
Seperkara lagi yang ditekankan ialah tentang bersahabat dengan jin. Biasanya jin ini dijadikan rakan kongsi (business partner) untuk memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukannya.
Ciri-ciri jin
Asal kejadian jin in disebutkan di dalam Surah Ar Rahman, dari nyalaan api.
"Dia menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar, dan Dia menciptakan jin dari nyala api."
- Al Quran 55:14 - 15 (Surah Ar Rahman Ayat 14 - 15)
Rupa bentuk makhluk jin ini berbagai-bagai. Akal fikirannya pula sekadar kepintaran kanak-kanak 12 tahun, tapi diberi jangkahayat yang panjang beribu tahun, berbanding manusia.Seperti manusia, jin juga beranak pinak, bermasyarakat, ada yang kafir dan ada juga yang Islam.
Antara kegemaran jin adalah tempat yang kotor, busuk, patung-patung, loceng yang berbunyi bila ditiup angin dan tempat yang ditinggalkan kosong terlalu lama. Tempat tinggalnya pula adalah di dalam batu, lubang, tempat yang tinggi seperti bumbung rumah dan gunung. Jika rumah kita ditinggalkan lebih dari tiga hari pun, akan ada makhluk lain yang bertapak di situ. Makanan kegemarannya pula adalah tulang dan apa yang kita makan.
Jin boleh mengganggu manusia dengan pelbagai cara. Gangguan jin mempunyai ciri-ciri seperti tidak boleh tidur malam, tidak suka mandi, kuat selera makan, suka bersendirian, suka duduk di dalam gelap, bercakap dalam bahasa asing dan meracau. Jika kelakuan atau perangai seseorang mula berubah mengikut ciri-ciri di atas, carilah ahli agama yang ikhlas dan berwibawa untuk menjadi jurubicara dengan pihak jin itu
Bagi yang tidak diganggu, adalah perlu untuk kita mencegah dan berlindung diri dari gangguan jin secara berikut:
1. sentiasa berwudhu
2. banyakkan membaca Al Quran
3. solat berjemaah
4. amalkan ayat Kursi
Selain itu, amalan seharian dibawah juga harus dilakukan untuk perlindungan diri, keluarga dan rumah kita.
1. sebelum maghrib, tutup tingkap dan pintu rumah dengan membaca Bsimillah.
2. elakkan menyimpan atau menggunakan perhiasan yang diminati oleh jin.
3. baca Al Fatihah, 3 Qul dan ayat Kursi setiap pagi dan petang,
4. pastikan rumah sentiasa kemas dan bersih.
5. pastikan lebihan makanan yang hendak dibuang dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai dan ditutup
5. kalau rumah sudah ditinggal lama, masuk ke rumah itu dengan membaca ayat Kursi, 3 Qul dan selawat terlebih dulu.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.