Labels

Friday, February 15, 2008

Profail Anak Istimewa: Haikal

Umur Haikal (bukan nama sebenar) semasa saya menulis ini ialah 10 tahun. Oleh kerana dia selalu sampai awal di sekolah (tempat saya menghantar anak istimewa saya), saya sempat berbual-bual dengannya bertanyakan keadaan hidupnya.

Dia mempunyai seorang abang yang berumur 11 tahun di sekolah yang sama. Di awal pagi, abangnya akan menghantarnya ke kelas khas. Abangnya seorang pengawas sekolah. Abangnyalah yang bersamanya dari rumah ke sekolah.

Haikal tinggal bersama ayahnya yang sudah bercerai di rumah pangsa berdekatan. Dia hanya jumpa ayahnya di hujung minggu, kerana ayahnya bekerja sepanjang hari. Makan tengah hari dan malam pun dibeli di kedai saja oleh abangnya.Kadang-kadang katanya, teman wanita ayahnya tolong basuhkan kasut sekolahnya di hujung minggu itu. Sementara ibunya pula, hanya datang mengambilnya sekali sekala sahaja. Ibunya sudah berkahwin lain dan Haikal juga mempunyai adik tiri perempuan.

Saya perhatikan dia sangat cerdik, walaupun beberapa anggota badannya tidak normal. Yang paling ketara, matanya separuh buta dan sebelah tangannya sedikit merengkok. Pergerakannya sedikit terhad dan dia tidak boleh lasak sangat kerana bidang penglihatannya terbatas. Bila dia melukis gambar yang dikatanya robot, robot itu nampak senget. Mungkin itulah yang dia nampak, jadi begitulah juga lukisannya.

Tetapi dari segi akal dan fikirannya, dia masih boleh digilap untuk berjaya berdikari. Apabila guru-guru perlu pergi bermesyuarat, dialah yang diharapkan untuk memantau murid-murid istimewa yang lain. Dalam hati saya berkata, sayang kalau tidak dimajukan Haikal ini. Cacatnya hanya fizikal, bukan otak. Berbeza dengan anak saya yang tercedera otaknya. Kalaulah penglihatannya dibetulkan, dia pasti boleh membaca dan melukis dengan cantik sekali. Tangannya, mungkin susah nak betulkan, tapi masih ada sebelah tangan lagi yang sempurna.

Di mana silapnya?
Saya rasakan kurang kerjasama dari pihak sekolah dan ibubapanya membuatkan dia tidak berkembang.
Ibubapa merasakan anaknya sudah dihantar ke sekolah. Lepaslah tanggungjawab.
Di pihak guru sekolah merasakan ibubapanya tidak ambil peduli tentang anaknya, kenapa harus kami beria-ia membetulkan keadaan?

Sistem persekolahan sekarang tidak ada satu mekanisme untuk menangani masalah sebegini.

Bagaimana harus kita bermula?

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.