Labels

Tuesday, January 15, 2008

Perjalanan hidup kita

Antara yang bermain di fikiran bila diuji oleh Allah ialah, "kenapa aku?"

Sedarkah kita sebenarnya perjalanan hidup kita telah termaktub sebelum kelahiran kita lagi?




Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).
- Al Quran 6:59 (Surah Al An'aam Ayat 59)


Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
- Al Quran 57:22 (Surah Al Hadiid Ayat 22)


Begitulah besarnya kuasa Allah. Subhanallah! Bukan Allah sekadar tahu saja, tetapi juga sudah tertulis dalam kitab yang dinamakan Lohmahfuz itu.
Cubalah bayangkan, sehelai daun yang gugur pun Allah tahu. Pernahkah kita terfikir siapa yang ambil tahu tentang daun yang gugur, sebutir biji yang basah ataupun kering. Kita tidak ambil peduli tentang perkara sekecil itu. Kita hanya tahu itu sudah sememangnya lumrah alam.

Kejadian kurang upaya yang kita alami bukanlah sesuatu yang pelik. Mungkin sebelum ini tidak pernah terjadi pada keluarga terdekat kita, jadi kita merasakan ia sesuatu yang pelik. Ada yang menjadi OKU setelah puluhan tahun hidup normal, ada juga yang dilahirkan sebagai OKU. Itu adalah sebahagian dari perjalanan hidup yang telah termaktub di Lohmahfuz itu.

Sebenarnya, tidak timbul persoalan "kenapa aku?" kerana sesungguhnya Allah mahu menguji ketabahan dan kekuatan jiwa kita untuk menghadapi cabaran itu. Terimalah ini sebagai ujian dan juga rahmat dari Allah. Tidak ada gunanya kita menyesali diri atau menyalahkan sesiapa. Apa yang perlu kita buat ialah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah atau sekurang-kurangnya meringankan beban yang ditanggung.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.