Oleh SHANIKA ABADULLATIB
Dysprexia umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang
sama.
SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.
Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-
rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu
akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.
Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu
sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.
Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.
Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh
menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.
Gagal ikat tali kasut
“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti autisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”
“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor
anggota badan dan otak,” jelasnya.
Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat
perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.
Daripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud
terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.
“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.
Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah
untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.
“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa
kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain,
Daily Mail.
Kesukaran kawal pernafasan
Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.
“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-
bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.
Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari
segi perkembangan bahasa.
Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.
Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.
“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan
menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.
Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta
gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah
dysprexia.
“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata
ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.
Tiada rawatan khusus
Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi
penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.
Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan
membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.
“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain
dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.
Dipetik dari:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.