Saya ke klinik kerana asyik batuk-batuk sepanjang malam. Tidur terganggu dan berasa letih. Apabila diperiksa doktor, dia mengatakan yang tekanan darah saya rendah. Terlalu banyak kahak di dalam paru-paru kecuali bahagian kiri sebelah depan, akibatnya oksigen tidak dapat masuk.
Bagaimana mahu bekerja kalau sakit-sakit?
Bagaimana mahu beribadah kalau sakit-sakit?
Begitulah lemahnya kita yang bernama manusia ini. Hanya sedikit kekurangan, sudah membawa mudarat kepada badan kita. Amat mudah untuk Allah melakukannya.
Dari sudut yang lain, saya sudah lama berminat melihat angkasa lepas, sejak di sekolah menengah lagi. Pada masa itu, saya selalu menonton satu rancangan TV yang dikendalikan oleh Carl Sagan, yang menjadikan saya sangat teruja menikmati keajaiban alam semesta. Semasa di universiti, saya telah membeli beberapa buku berkenaan penerokaan angkasa lepas. Begitu juga bila ke perpustakaan, saya menghabiskan masa di bahagian astronomi. Tapi minatku hanya tinggal di situ, setelah begitu lama bekerja dan berkeluarga.
Baru-baru ini, saya menelusuri www.space.com membuat saya kembali berminat terhadap angkasa lepas. Kali ini, ia lebih bermakna kerana saya dapat merasakan bahawa ini semua ciptaan Allah. Kejadian langit yang luas itu benar-benar membuatkan diri saya terasa kerdil. Kita tidak lebih dari sebesar habuk halus jika hendak dibandingkan dengan angkasa raya yang masih meluas. Cantiknya alam semesta ini, tidak ada cacat celanya. Gabungan gas-gas berupa asap, debu-debu dan entah apa lagi itu menghasilkan imej yang sangat cantik. Semuanya beredar pada orbit yang sudah disusun oleh penciptanya. Ada pula yang masih dalam peringkat berkembang biak menjadi gugusan bintang-bintang baru. Ada juga yang hampir menemui penghujungnya.
Subhanallah. Allahu Akbar.
Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.
Dan bumi itu Kami hamparkan; maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami).
- Al-Quran 51:47 - 48 (Surah Adz-Dzaariyat Ayat 47 dan 48)
Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.
Dan Dia-lah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan, Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.
- Al-Quran 13:2 - 3 (Surah Ar-Ra'du Ayat 2 dan 3)
Ciptaan Allah bukan saja di langit, seisi semesta alam ini, malah dapat dilihat pada tubuh badan manusia dan segala makhluk di dasar laut paling dalam. Dalam masa yang sama, saya tersedar tentang kewujudan makhluk yang bernama "aku" ke dunia ini. "Aku" yang hanyalah sebesar habuk halus jika dibandingkan dengan angkasa raya yang luas terbentang. Tidak kira sekecil manapun ciptaan Allah itu, pasti ada sebabnya. Setiap ciptaan Allah itu ada tujuannya, termasuklah kenapa "aku" dijadikan. Hidup kita ini hanyalah untuk menumpang, diberi waktu yang singkat pula untuk menyediakan bekalan, kemudian pergi ke alam yang seterusnya.
Benarlah firman Allah, semuanya itu adalah tanda-tanda kebesaran Allah bagi yang mahu memikirkan. Kenali ciptaan Allah maka akan dapat pula kita kenali diri kita sendiri.
Apakah waktu yang terluang itu hanya untuk disia-siakan atau untuk menjadi rahmatan lil 'alamin?
Astaghfirullahal 'azim. Fikir-fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.