2 lagi kategori dilulus
Oleh NORAINI NORDIN
ARKIB : 06/12/2009
KUALA LUMPUR 5 Dis. Kabinet telah meluluskan dua lagi kategori baru bagi Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai tambahan kepada lima kategori sedia ada untuk diguna pakai dalam menguruskan pendaftaran golongan itu.
Kategori baru OKU itu adalah kurang upaya pertuturan khusus untuk yang tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi seperti afonia (tidak ada suara) dan dysarthria (tidak boleh bercakap).
Sementara itu orang kurang upaya mental pula merujuk kepada seseorang yang menghidap skizofrenia, kecelaruan emosi, kecelaruan mental yang serius dan kronik serta menjalani rawatan psikiatri sekurang-kurang dua tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dengan tambahan itu kini terdapat tujuh kategori OKU yang boleh diguna pakai dalam menguruskan pendaftaran mereka di negara ini.
Dengan tambahan itu, lebih ramai yang mengalami ketidakupayaan akan mendapat manfaat serta kemudahan yang disedia selaras dengan dasar dan Pelan Tindakan Nasional OKU, jelasnya.
Beliau berkata demikian, pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2009 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid.
Kategori OKU sedia ada, adalah golongan kurang upaya penglihatan, kurang pendengaran, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran dan kurang upaya pelbagai.
Shahrizat memberitahu, kerajaan melalui Bajet 2010 memperuntukkan RM224 juta membantu OKU melaksanakan program pemulihan dalam komuniti dan menaik taraf empat buah institusi Taman Sinar Harapan di negara ini.
Katanya, kerajaan sangat peka nasib OKU dan mahu mereka mendapat hak menikmati kualiti hidup yang sempurna sama seperti anggota masyarakat lain.
Jelas beliau, apa sahaja perancangan yang mahu dibuat dalam kerajaan mesti mengambil kira hak OKU.
Sehubungan itu, Shahrizat menyeru agensi kerajaan dan swasta memberi peluang pekerjaan kepada OKU dan membantu mereka mencapai impian menjadi usahawan.
Mereka berbakat dalam pelbagai bidang. Kita mesti cari mereka untuk mengilap potensi yang ada,katanya.
Dipetik dari: www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.