Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my
KETIKA anak pertamanya yang mesra dengan panggilan Ariff, tidak menunjukkan perkembangan tumbesaran dan minda yang memberangsangkan pada usia empat tahun berbanding anak kedua yang setahun lebih muda, dia mula mengesyaki sesuatu.
Kanak-kanak hidap GDD perlu diajar cara betul uruskan diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain
KETIKA anak pertamanya yang mesra dengan panggilan Ariff, tidak menunjukkan perkembangan tumbesaran dan minda yang memberangsangkan pada usia empat tahun berbanding anak kedua yang setahun lebih muda, dia mula mengesyaki sesuatu.
Revina Junos, 40-an, lantas membawa anaknya itu mendapatkan pemeriksaan lanjut dan pengesahan doktor nyata merubah hidupnya sekelip mata.
Dia yang sebelum itu bekerja dalam bidang perbankan korporat berhenti kerja sekali gus melupakan kerjaya yang dibina selama ini untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kebajikan anaknya yang menghidap Global Developmental Delay (GDD).
Ariff pada awalnya mengalami masalah pertuturan, namun selama 14 tahun ini, Revina mampu menarik nafas lega kerana anaknya itu menunjukkan perkembangan yang cukup memberangsangkan.
Ibu kepada empat anak itu menegaskan, perkara paling penting dalam penjagaan anak yang memiliki masalah pembelajaran sedemikian adalah sentiasa bersikap tegas.
"Jangan terlalu memanjakan anak itu dengan melakukan apa saja kerja harian tanpa memberikan tanggungjawab tertentu kepada dia sendiri untuk berdikari kerana ia mungkin memudaratkan mereka.
"Ajar mereka cara yang betul untuk menguruskan diri sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sepanjang menjaga Ariff, Revina akui, terlalu banyak pengalaman yang tidak dijangka berlaku, tetapi dia seolah-olah turut sama belajar daripada segala apa yang ditempuh.
Menurutnya, anak yang memiliki masalah sebegini tidak dapat memberi tumpuan mereka kepada sesuatu perkara dan tidak boleh berada di suatu tempat untuk jangka masa lama.
Mata mereka tidak boleh memandang tepat ke satu arah sebaliknya akan melilau seperti mencari sesuatu serta mengulang perkara atau soalan yang sama berkali-kali.
"Setiap hari dia akan bercakap serta menceritakan pelbagai perkara yang menarik minatnya dan sebagai ibu, saya perlu memberi perhatian dan melayannya bercakap.
"Kadang-kadang soalan serta penerangan diberikan diulang banyak kali dan kita perlu sabar mendengarnya," katanya.
Ariff juga seorang remaja yang amat mementingkan kesempurnaan dan akan tertekan jika aktiviti hariannya diubah walaupun sedikit.
"Saya memerlukan masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk memberi penerangan kepadanya sekiranya ada perkara yang ingin dilakukan secara berselang dengan aktiviti hariannya.
"Jika tidak diberitahu masalah lain akan timbul seperti sikap memberontak dan tidak memberikan kerjasama kerana dia tidak begitu sukakan perubahan dalam aktiviti yang ditetapkan kepadanya selama ini," katanya.
Selain itu, Ariff akan menekap telinganya dengan jari jika mendengar ada pihak yang cuba bercakap perkara tidak elok mengenainya.
"Sambil menekap telinga, Ariff akan bercakap tanpa henti dan jika kami tidak menghiraukannya, dia akan marah dan menepuk paha atau tangan orang lain untuk menyuruhnya supaya berhenti bercakap dan dengar kepada apa yang ingin diperkatakannya.
"Kadang-kadang adik-adiknya merungut kerana Ariff gemar mengulang ayat serta perkataan sama. Tapi itu adalah kebiasaan anak yang menghidap masalah GDD ini," katanya.
Malah Ariff juga mudah untuk panik jika ada peralatan rumah yang rosak dan akan menjerit sekuat-kuat hati walaupun bukan dia yang melakukannya.
"Pada mulanya agak susah untuk menerangkan perkara itu kepadanya, tetapi lama-kelamaan rasa panik itu dapat dikurangkan.
"Kesabaran adalah kunci utama dalam mendidik anak yang mengalami masalah pembelajaran seperti ini kerana jika tidak, usaha dilakukan tidak akan berhasil," katanya.
Di samping itu, corak pembelajaran yang diterapkan juga berbeza berbanding kanak-kanak seusia kerana mereka perlu belajar bercakap serta menguruskan diri.
Ariff kini bersekolah di Sekolah Islam Adni di Taman Seri Ukay. Sekolah berkenaan adalah sekolah swasta yang mempunyai keupayaan dalam menjaga kanak-kanak sedemikian.
Menempatkan Ariff di sekolah swasta bukan bermakna sekolah harian biasa tidak berkemampuan, tetapi disebabkan faktor penjagaan serta perhatian yang diperlukan lebih daripada kanak-kanak biasa yang sesuai untuk individu seperti Ariff.
Selain rutin harian di sekolah setiap hari, Ariff akan menjalani latihan bersama pakar terapi yang turut mengajarnya di rumah.
"Mereka amat tegas dalam mengajar Ariff dan disebabkan itulah perkembangan pembelajaran Ariff amat menggalakkan.
"Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana banyak membantu bagi memastikan masa depannya terbela," katanya.
Sungguhpun tidak seperti kanak-kanak lain, sekurang-kurangnya Ariff mampu untuk menyumbang mengikut kemampuannya.
Menurutnya, ibu bapa yang memiliki anak yang menghidap masalah sedemikian sememangnya digalakkan untuk mendapatkan rawatan awal dan tidak sesekali menyembunyikan masalah terbabit.
"Pengesanan pada peringkat awal memungkinkan harapan yang tinggi untuk mereka pulih walaupun tidak sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya, anak-anak itu dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik," katanya.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Hati/20091116100501/Article/index_html
2009/11/16
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.