Labels

Wednesday, May 8, 2013

Barney ku sayang!!


"I love you, You love me,
We're a happy family..."

Salah satu aktiviti yang sangat digemari Balqis adalah menonton Barney. Boleh dikatakan setiap hari dia tak jemu-jemu mengulang video yang sama. Barney menjadi hiburannya seharian.




Semasa Balqis melalui rawatan "applied kinesiology" satu masa dulu, doktor yang bertugas terpaksa menggunakan Barney untuk menarik perhatiannya.

Kalau dah menonton Barney, dia boleh duduk berjam-jam. Makan pun boleh lupa, buang air ke bilik air, apatah lagi!!


Tuesday, March 26, 2013

Kisah anak istimewa dalam Dilema Wanita

Kenali ciri-ciri Down Syndrome
Hari ini saya tertengok (secara tidak sengaja) kisah yang dipaparkan dalam rancangan "Dilema Wanita" di Astro Oasis. Sudah tentu topik itu amat dekat dengan diri saya. Kisah tentang seorang ibu yang tidak mahu menerima kehadiran anak istimewanya.

Menarik ceritanya, semasa melahirkan, si ibu telah beberapa kali dilanda kemurungan yang teramat. Sehingga menjerit dan meracau tanpa sebab. Ditambah pula dengan ibu kepada si ibu (nenek) yang tidak memberi nasihat yang bernas kepada anak menantunya dalam menghadapi masalah ini.

Anak istimewa itu anak yang kedua, mempunyai seorang kakak yang normal, 3 tahun lebih tua. Walaupun si ibu tidak bekerja, ada pembantu rumah, tapi dalam fikirannya, anak yang istimewa mesti dihantar ke rumah kebajikan saja.

Mujurlah si ayah sangat prihatin, memberi galakan dan menunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap anak istimewanya. Dalam kesibukan kerja, si ayah sempat juga mencarikan guru untuk anak istimewanya belajar di rumah. Guru yang juga seorang doktor telah menunjukkan kesungguhan mengajar tanpa jemu.

Si ibu, yang hampir putus asa dengan keadaan anak istimewanya itu telah mengambil keputusan keluar dari rumah (balik ke rumah ibunya) setelah diberi kata dua oleh suaminya. Suaminya bertegas, walau apapun terjadi, anak istimewanya tetap tinggal di rumah.

Dalam mencari-cari erti sebuah mahligai bahagia, si ibu bersiar-siar di taman permainan. Di situ dia bertemu dengan sepasang suami isteri yang gembira melayan kerenah anak mereka. Pasangan itu sudah 20 tahun berkahwin, namun baru saja  dikurniakan seorang anak. Walaupun anak mereka istimewa, dikategorikan sebagai mengalami Sindrom Down, tetapi mereka masih bersyukur dengan apa yang Tuhan beri.

Barulah si ibu tersedar, betapa dia sudah tersilap langkah. Barulah dia tahu, dia sepatutnya bersyukur dengan dua orang anaknya - tidak kira sama ada normal ataupun istimewa.

Pesanan yg ditinggalkan oleh DMFK di akhir rancangan itu haruslah diberi perhatian oleh semua. Antaranya:
o tidak ada sesiapa pun yang dilahirkan membawa sial,
o jangan malu mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o jangan menghina atau merasa hina mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o kepada ibubapa, jangan kesal mempunyai anak istimewa,
o kepada ibubapa, jangan bezakan kasih sayang and perhatian di antara anak2,
o kepada ahli masyarakat, jangan memandang rendah terhadap anak istimewa,
o layan anak istimewa dan ahli keluarganya se 'normal' yang mungkin,
o kepada orang tua/datuk/nenek, jangan keruhkan keadaan, beri sokongan dan nasihat yang membina.

Anak adalah anugerah yang sangat berharga. Walau apa pun keadaannya, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik, memelihara, membentuk dan mencorakkannya.

Thursday, January 10, 2013

Untuk apa ke sekolah menengah?

Ke sekolah menengah
Mungkin inilah kali pertama dan terakhir Balqis memakai seragam sekolah menengah.

Perjumpaan dengan guru supervisor di sekolah menengah ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Serba satu kemungkinan bermain di kepala saya.

Mungkin sebab Balqis tak pandai urus diri sendiri.
Mungkin sebab Balqis tak boleh ikut arahan, walaupun yang "basic-basic".
Sudah tentu juga, Balqis memang tak boleh menulis, membaca dan mewarna.
Balqis juga tak seperti anak istimewa yang lain, yang ada kelebihan di bidang lain, seperti sukan dsb.

Jadi, untuk apa ke sekolah menengah?
Hanya untuk habiskan masa?

Berpatah balik sedikit lagi....untuk apa ke sekolah?

Perlukah ke sekolah, jika begini keadaannya?
Keluar dari sistem persekolahan bermakna tiada lagi bantuan elaun untuknya.
Apakah kerana itu Balqis perlu bersekolah juga?

Kalau tidak ke sekolah, ke mana pulak tempat Balqis nak pergi?
Ke rumah jagaan anak-anak istimewa kah?
Ke Pusat Pemulihan kah?
Ke mana?

Mujur, masih ada mak dan abahnya, jika tidak, macam mana?

Aduhai...
Makin banyak persoalan dari jawapan nampaknya.....

Saya menjadi sayu memikirkan masa depannya.
Namun di sebalik segala kemungkinan ini, saya gembira kerana Allah telah menjanjikan syurga untuknya, begitu juga dengan anak-ana istimewa yang lain.

Tabahlah, sabarlah sehingga tibanya saat itu.

Tuesday, November 20, 2012

2012 - Hari Graduasi


Tamat sudah sekolah rendah.

Tamat sudah..
Pihak sekolah telah mengadakan majlis graduasi yang gilang gemilang untuk semua pelajar yang akan meninggalkan sekolah rendah pada hujung tahun ini.

Ada sedih, sayu dan gembira di majlis itu.
Terasa seronok meraikan anak-anak istimewa begini.
Terasa lega dapat berjumpa ibubapa yang sehaluan begini.

Bertemu dengan Haniza (mak kepada Nadirah) yang akan melangkah ke sekolah menengah di Shah Alam. Nadirah adalah pelajar paling cemerlang tahun ini.

Bersapa dengan mak kepada Aqil yang akan melangkah ke sekolah menengah di Subang Jaya, sama dengan Balqis nanti.

Berjumpa dengan bapa kepada Haziq yang sentiasa tak duduk diam, mengejar Haziq di keliling dewan.

Berjumpa juga dengan barisan guru-guru dan pembantu guru yang bertugas di sekolah ini.


Sebahagian dari tenaga pengajar di sekolah Balqis

Terima kasih, cikgu-cikgu!!

Budi baik cikgu-cikgu takkan saya lupakan selamanya. Memang saya "tabik spring" kat cikgu-cikgu ni, yang tidak mengenal penat lelah melayan kerenah anak-anak istimewa ini. Bukan senang, kita yang menjaga seorang pun sudah pening kepala, inikan pulak murid-murid yang ramai dan pelbagai ragamnya.

Besar pahalanya tu!! InsyaAllah, kerjaya yang menjadi saham untuk akhirat.

Apakah sekolah menengah menjanjikan lebih baik untuk anak-anak istimewa ini?
Entahlah...Lihat potensi mereka, haruslah bergantung dengan kebolehan dan keupayaan mereka. Bagi Balqis, kecederaan mentalnya amat serius. Tahap urus diri pun masih lemah.

Adakah masa depan untuk mereka di dalam masyarakat?
Kitalah yang mencorakkannya. Mereka tidak tahu apa-apa, mereka hanya mengharapkan kebajikan mereka dijaga oleh sang penjaga-penjaga.

Allah jugalah yang merancang segalanya.


Monday, September 10, 2012

Minat membina


Antara kesukaan Balqis adalah membina menggunakan blok kayu "Jenga"nya.

Cuba lihat bagaimana telitinya dia nak pastikan "structure" tu tegak dan "aligned".

Jangan senget!!

Cantik tak?
Bila dah siap tu, bukan main "happy" lagi. Puas hati lah katakan! 






 
Yang ini pulak, yang paling tinggi yang Balqis pernah buat. Habis semua blok dalam raga biru tu digunakannya. Selalunya, separuh jalan saja, dah jatuh berderai, sebab tak "balanced". Kali ni sangat berbeza, dengan sabarnya dia menyusun sampai ke atas.

Tinggi kan?






Ada juga masanya, Balqis mencuba "design" lain pulak. Seronok betul bila dah dapat siapkan tu. Sekurang-kurangnya, ada masa untuk dia berfikir dan memperbaiki kemahiran "fine motor" dia.

Macam bangunan leper jeeeer


Friday, September 7, 2012

Santai seketika di bandar bersejarah Melaka

Sempena cuti pendek kakak sulung yang belajar di UK, kami mengambil kesempatan untuk merehatkan minda di Melaka. Sambil berehat, ambil gambar Balqis.

Bila bersiar-siar begini, yang paling penting kena tahu tandas di mana. Seluar dan diaper kena bawak extra kerana tak sedar je dia sudah membuang.


Sudah banyak perubahan di  bandar bersejarah ini sejak kali terakhir kami ke sini.

Beberapa tempat yang dulu (dulu itu lebih kurang 20 tahun lepas!!) tidak ada, sekarang sudah jadi tempat yang menarik perhatian pelancong. Mungkin inilah namanya pembangunan.




Ini pemandangan muara Sungai Melaka, dari atas Menara Taming Sari. Sudah cantik dan bersih, pemandangan di sepanjang muara sungai ini sangat menarik di waktu malam. Ada feri cruise sehingga pukul 11 malam yang menjadi tumpuan para pelancong.





Ini pula replika kapal "nama apa tak ingat". Di dalamnya dibuat seolah-olah sebuah muzium yang memaparkan sejarah kedatangan penjajah ke sini.



Di atas dek kapal replika




Tuesday, February 14, 2012

Menyusun bunga

Semasa memunggah permainan lama Balqis, saya terjumpa satu set permainan menyusun bunga. Oleh kerana sudah tertimbus di bawah permainan lain, Balqis pun sudah lupa tentang set itu.

Dia terus mencuba.


Inilah hasilnya selepas dia menyambung bunga-bunga itu.

Ada bunga yang terlungkup, tak kembang ke atas. Ada juga daun yang terlungkup. Nasib baik tangkai boleh disambungnya.

Masih perlu banyak latihan, tetapi kena berterusan.

Thursday, January 26, 2012

Membuang rasa rendah diri

Perasaan ini amat biasa dalam hidup kita. Perlakuan kita seharian mungkin menunjukkan tanda-tanda kita mengalami rasa rendah diri. Bagi OKU pula, masalah ini sentiasa memburu mereka, dek kerana kekurangan mereka dan pemahaman mereka tentang ilmu emosi dan kerohanian.

Tidak salah merendah diri, tetapi jangan sampai hilang harga diri. Mari kita lihat dulu tanda-tanda merasa rendah diri yang kronik:


1. Menyalahkan orang lain atau keadaan terhadap apa yang berlaku pada kita.

Bila menyalahkan orang lain atau keadaan, bererti anda tidak mampu untuk menerima kesilapan anda dan tanggungjawab anda.
Bila anda tidak mahu bertanggungjawab atas perlakuan anda, sebenarnya andalah yang akan menerima akibatnya.

Penyelesaian: Anda perlu terima dan bertanggungjawab atas setiap perlakuan anda.

Buat pilihan yang tepat untuk mendapat kesan yang baik.

Bila kurang rasa harga diri, anda sentiasa berada dalam suasana penafian ("state of denial"). Anda tidak boleh terima perkara yang tidak boleh diterima akal anda.

Apabila perkara itu terjadi juga, anda akan merasa dilukai. Jika perkara itu berlaku berulang kali, sudah tentu anda terluka berkali-kali pula.

Penyelesaian: Adalah lebih baik anda belajar menerima perkara yang anda tidak suka dari terus manafikan. Lebih baik berlapang dada dan terima sebagai takdir.


2. Tidak boleh mempamerkan perasaan anda.


Bila marah, anda tidak tahu nak tunjukkan.
Bila keseorangan, anda diam kerana tak mahu dikatakan membosankan.

Penyelesaian: Lebih baik memaparkan apa yang kita rasa dari memendam rasa.

Bila disuruh, anda akan lakukan walaupun anda tak mahu lakukannya. Keupayaan anda mungkin disalahgunakan oleh orang lain.

Penyelesaian: Belajar berkata "tidak" dalam keadaan yang sesuai


3. Tidak boleh terima dan memproses kritik.

Bila dikritik, anda ambil serius dan merasa diri sangat tidak berguna. Harga diri anda sangat penting pada anda, jadi kritikan ini akan menjatuhkan lagi harga diri yang telah sedia rendah itu.

Penyelesaian: Anda mahukan pujian dan sanjungan.


4. Pessimistik = berfikiran negatif.

Bila anda berfikir - "tidak ada hari yang cerah" atau "tidak boleh terima sesuatu perkara boleh menjadi silap" atau "tidak boleh terima kesilapan" - bermakna anda tidak yakin dengan kebolehan anda untuk menangani / mengubah sesuatu kesilapan itu.


5. Ketagihan.


Ramai orang yang terjebak dengan ketagihan - judi, arak, seks, dadah, internet dsb - kerana mahu mengisi kekosongan dalam hidup. Ini berpunca dari cara berfikir mereka menyalahkan keadaan, menyalahkan orang lain, menyalahkan sistem dll, dan tidak mahu bertanggungjawab mengubah diri mereka sendiri.

Kesimpulan, banyak masalah sosial disebabkan oleh rasa rendah diri yang kronik.

Bayangkanlah, jika kita yang normal ini pun sudah sampai ke tahap begini, bagaimanalah untuk OKU menanganinya,


6. Tidak membuat keputusan atau pilihan.

Bila tidak membuat keputusan atau pilihan untuk diri anda sendiri, anda membenarkan orang lain dan keadaan untuk mengawal diri anda.

Bila berlaku sesuatu yang buruk atau tidak seperti yang dijangkakan, anda akan menyalahkan orang lain dan keadaan.

Penyelesaian: Yakinlah bahawa setiap makhluk dijadikan Allah - sihat dan sempurna.

Setiap makhluk diberikan peluang hidup, menikmati kehidupan dan berbakti untuk sekelian alam.



Bagaimana membina harga diri?
-----------------------------



1. Cintailah diri sendiri.

Terima diri anda seadanya. Bahagia dan selesa dengan diri sendiri. Ambil masa untuk mengenal diri anda sendiri:
- catat kebaikan dan keburukan yang ada dalam diri anda.
- apa yang anda suka, benci, minat.
- apa pula kepercayaan, harapan, cita-cita, prinsip dan matlamat hidup anda.
- salah satu cara untuk merasa selesa dengan diri sendiri ialah dengan banyak memberi, terutama kepada yang kurang bernasib baik dari kita. Berikan kasih sayang, pertolongan, masa, wang dan lain-lain lagi.

INGAT!

Kita adalah apa yang kita fikirkan.


2. Bergaul dengan orang-orang yang menerima anda sebagaimana yang anda suka.


- orang yang boleh terima bahawa setiap orang tidak sempurna.
- orang yang jujur, di hadapan baik, di belakang pun baik.
- orang yang hampir dalam keluarga/ahli keluarga.
- orang yang tidak menghukum bila anda buat silap.
- jangan bandingkan orang lain dengan anda sendiri, setiap orang berbeza, dan setiap orang ada misinya tersendiri.

INGAT!

Tuhan menjadikan anda untuk suatu tujuan, dan hanya anda boleh melakukanknya.
Oleh itu, bertindaklah kerana anda dilahirkan punya tujuan dan makna.
Jangan sia-siakan peluang ini!




Kesimpulan, rasa rendah diri boleh dibaiki. Sekarang ini, sokongan dan perkhidmatan kaunselor dan pakar psikologi sudah mula bercambah di negara ini. Selain itu, tambahkan ilmu melalui pembacaan untuk mencapai kebahagiaan hidup.




Rujukan:
http://selfesteembuilding.net/signs-of-low-self-esteem/
http://selfesteembuilding.net/watch-out-for-low-self-esteem-symptoms/

Tuesday, January 3, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Tahun baru menginjak lagi
Semakin bertambah usia, semakin tua
Dunia dan apa yang terkandung di dalamnya

Apakah akan ada sinar bahagia untuk hari seterusnya?
Apakah akan ada perubahan terhadap belenggu2 ku?
Apakah akan datang keajaiban mengubah apa yang aku tidak suka?
Apakah akan datang lebih banyak ujian?

Betul, semua yang terjadi sudah ditakdirkan
Tetapi, kadang2 syaitan menguasai diri
Memikirkan yang bukan-bukan
Bagaimana mengawal diri?
Kita memburu ikhlas, bukan untuk menunggu ikhlas

Saturday, December 31, 2011

2011 Tinggal Kenangan

Tahun 2011
Ku tinggalkan bersama kesedihan
Yang belum pudar
Menyatakan selamat jalan kepada Mak
Yang telah berangkat ke alam barzakh
Alam baru buatnya
Yang pasti dihadapi oleh setiap insan

Yang pergi pasti tidak kembali
Hidup masih perlu diteruskan
Dalam menyempurnakan aktiviti harian
Usaha perlu diteruskan
Meneroka peluang rezeki baru
Bersama harapan baru
Apa yang suka/minat dan pandai dibuat
Apa bakat terpendam yang belum terserlah
Apa kerja yang boleh dikembang
Yang meninggalkan legasi

Dua ciri utama usahawan berjaya
Kekuatan untuk mendapatkan kredibiliti
Amanah untuk mendapatkan kepercayaan

Agar kehidupan mendapat berkat
Disamping meraih pahala
Menabur saham untuk akhirat