Orang kurang upaya terus rasa terpinggir
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
06/09/2006
Kemudahan asas tidak mesra OKU menyebabkan golongan itu masih di takuk lama
BAJET 2007 baru saja selesai disingkap. Dalam keseronokan menerima perkhabaran gembira seperti pengecualian itu dan ini, orang kurang upaya (OKU) masih terasa disisihkan. Paling menyedihkan mereka menyifatkan bajet berkenaan hanya ‘menyedapkan’ telinga.
PERLU KEMUDAHAN: OKU sukar bergerak andai bersendirian.
Beberapa persatuan mewakili OKU berpendapat, walaupun hak kerajaan meletakkan sejumlah ongkos pada bidang tertentu yang dirasakan lebih penting berbanding kewujudan mereka, matlamatnya haruslah selari dengan apa yang ingin dikecapi.
Presiden Persatuan Orang Orang Cacat Anggota Malaysia, Dr Tiun Ling Ta, agak lantang menyuarakan pendapat menyatakan ‘habuan’ yang diterima itu tidak dapat membantu OKU dalam erti kata sebenarnya kerana kemudahan seperti pengangkutan dan di tempat awam di negara ini masih membelakangi mereka.
Mengambil contoh pengangkutan awam bas yang tidak mesra OKU, katanya, secanggih manapun pembuatannya, mereka tetap tidak merasainya seperti golongan berkerusi roda yang tidak dapat menaikinya andai tiada alat khusus untuk pengguna berkerusi roda.
“Pengangkutan rel, umpamanya, monorail dan LRT STAR, langsung tidak menyediakan lif untuk golongan yang tidak berkemampuan menaikinya untuk kemudahan bergerak. Hal ini bukan tidak pernah disuarakan, namun ia tidak pernah diendahkan. Memperkasa OKU, harus disertai dengan kemudahan, sejajar diperlukan golongan seperti kami.
“Peruntukan yang diberikan sebanyak RM302 juta itu diberikan pada tempat yang tidak sepatutnya menyebabkan ia tidak akan sampai kepada golongan sasarannya. Kami bukan tiada keinginan untuk memajukan diri dengan bekerja atau menuntut ilmu, namun sekiranya kemudahan yang disediakan hari ini tidak sempurna atau tidak membenarkan kami bergerak tanpa bantuan orang sempurna, apa yang boleh kami lakukan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Beliau berkata, sekiranya kemudahan dikesampingkan kemungkinan besar ibu bapa tidak berminat lagi menghantar anak mereka ke sekolah menyebabkan anak itu akan terus tidak berkembang.
Katanya, sudah sampai masanya kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya satu sekolah rendah dan menengah di setiap daerah dengan kemudahan OKU seperti ruang pejalan kaki, atau tandas yang bersesuaian kerana OKU bukan tidak mahu ke sekolah, tetapi kemudahan yang diberikan kepada mereka tidak membenarkan mereka menuntut ilmu.
“Begitu juga dari segi jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas. Saya berharap jawatan mereka diperjelaskan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana andai tiada klasifikasi seperti tangga gaji dan sebagainya, ia tidak akan menarik orang ramai untuk menjadi tenaga pengajar,” katanya.
Pendapat itu turut disokong Pengerusi Badan Latihan dan Hidup Berdikari, G Fransisiva yang turut menyifatkan bajet berkenaan tidak ‘kena pada tempatnya’ kerana mengutamakan perkara yang tidak penting sedangkan kemudahan paling asas diketepikan.
Katanya, ramai OKU yang ‘mati’ disebabkan tidak mampu bergerak selain keadaan persekitaran yang tidak ‘membenarkan mereka bergerak’. Pengangkutan awam seperti bas yang tidak menyediakan ruang untuk mereka berkerusi roda, tandas yang tidak membenarkan mereka menggunakannya adalah contoh paling kecil, tetapi mustahak untuk mereka.
“Kami rasa tertipu dengan bajet berjumlah ratusan juta ringgit itu kerana kami langsung tidak mendapat manfaat daripadanya. Walaupun ada yang baik seperti jurubahasa, tetapi fikirkan juga golongan yang tidak sempurna anggota tangan dan kaki.
“Ada majikan yang mengambil OKU bekerja di premis mereka, namun andai tidak mampu bergerak dengan sempurna, ia hanya akan menimbulkan masalah. Ini tidak termasuk kemudahan asas seperti tandas yang tidak sempurna menyebabkan golongan seperti kami rela duduk di rumah,” katanya.
Bagaimanapun, Pengerusi bagi Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Komputer yang juga Ahli Majlis presiden Pertubuhan Bagi Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Dr Wong Huey Siew, menyambut baik usaha murni kerajaan memberikan perhatian kepada OKU dalam Bajet 2007 kerana ia dapat membantu golongan itu berdikari.
“Elaun bulanan 9,000 kanak-kanak OKU dinaikkan kepada RM50 daripada RM25 sebulan sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka. Walaupun sedikit tetapi ia mampu menyinari hidup kami yang sentiasa dalam kegelapan ini,” katanya.
Kerajaan terus berusaha meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, khususnya di bandar utama. Di Lembah Klang, Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) sedang melaksanakan program menambah kapasiti bas dan rel bandar serta infrastruktur lain, yang akan membabitkan pelaburan 10 bilion ringgit dalam tempoh 2006 hingga 2010.
Syarikat RAPID KL mula melaksanakan satu rangkaian perkhidmatan bas baru bagi menambah baik integrasi antara perkhidmatan bas dan rel. Lebih 1,000 bas baru sedang diperoleh. Apabila dilaksanakan sepenuhnya pada penghujung tahun ini, rangkaian baru itu akan memberi perkhidmatan bas kepada 980 kawasan perumahan, peningkatan 53 peratus.
Kerajaan amat prihatin akan kebajikan golongan kurang bernasib baik, seperti OKU, mangsa bencana, golongan termiskin dan warga tua. Untuk itu, 302 juta ringgit disediakan bagi membantu meringankan beban mereka. Bagi memastikan bantuan itu disalurkan secara lebih berkesan dan benar-benar dinikmati oleh mereka, Kerajaan akan menubuhkan Unit Khidmat Penyayang (Mayang), berfungsi sebagai unit bergerak untuk mengenalpasti dan menghubungi terus kumpulan sasar dengan menyediakan perkhidmatan bantuan kebajikan serta bantuan semasa bencana.
Program Pemulihan Dalam Komuniti dilaksanakan untuk membolehkan kanak-kanak OKU, terutamanya mereka yang tidak boleh mengurus diri, dapat menjalani pemulihan. Kini, hampir 9,000 kanak-kanak diberi elaun RM25 sebulan untuk meringankan tanggungan kewangan ibu bapa dan penjaga. Memandangkan kebanyakan mereka ini daripada golongan berpendapatan rendah, elaun bulanan itu akan dinaikkan kepada RM50.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.