Labels

Monday, April 10, 2017

Kemurungan: Peringkat-peringkat pemulihan

PERINGKAT-PERINGKAT PEMULIHAN DARI KEMURUNGAN

Di sini saya petik peringkat-peringkat pemulihan sebagai panduan untuk pemberi jagaan. Sebagai pemberi jagaan, amat perlu untuk anda memerhatikan perubahan tingkah laku dan mood pesakit. Dengan memahami peringkat-peringkat berikut, anda boleh membantu pesakit untuk pulih.

Mengatasi stigma

Terlalu banyak stigma; ramai yang berkata penyakit mental disebabkan oleh kecacatan atau keturunan. Namun, penyakit ini benar-benar wujud dan boleh diubati. Penyakit mental bukan satu kegagalan atau ketidakupayaan. Ia harus dilabel sebagai satu penyakit yang memerlukan rawatan profesional.

Pemulihan adalah satu proses yang memakan masa. Berikut disenaraikan secara ringkas peringkat2 pemulihan:

Peringkat 1. Menghadapi dan menangani kesan daripada penyakit ini dari segi emosi, fizikal, medikal dan spiritual.

Peringkat 2. Merasakan hidup amat terhad. Tiada gunanya untuk hidup lagi, putus asa, bersendirian tiada yang bantu, tidak sabar, marah.



Peringkat 3. Menyedari dan percaya bahawa perubahan itu satu kemungkinan besar.  Langkah demi langkah, bermula dengan ubah diri sendiri, hidup boleh berubah.

Peringkat 4. Memberi komitmen untuk berubah. Mengalami sikap terhadap perubahan, kesedaran untuk berubah dan berdepan dengan segala kemungkinan, merancang untuk mencapai tujuan hidup.

Peringkat 5. Bertindak untuk berubah. Membuat komitment untuk berubah, memulakan langkah untuk bermasyarakat secara sihat, contohnya bekerja.

Saya akan perincikan langkah-langkah pemulihan dalam beberapa artikel seterusnya.

PERINGKAT 1 - MENGHADAPI DAN MENANGANI KESAN PENYAKIT

Melalui satu episod hitam dalam kehidupan sudah tentu amat memeritkan bagi sesiapa saja. Menjadi murung dan kadangkala ketidakwarasan fikiran menyebabkan pesakit menjadi keliru tentang persekitaran dan perhubungan dengan orang sekeliling. Selain kesihatan, kesan buruk penyakit ini juga akan melibatkan kerjaya, hubungan suami isteri, keluarga dan pelbagai aspek lain dalam kehidupan. Bayangkan jika pesakit perlu dimasukkan ke wad psikiatri, perasaan malu, marah, keliru, bimbang pasti bercampur baur.

Bagaimana orang lain boleh membantu?
  • Tawarkan diri anda untuk sokongan emosi. 
  • Ajak pesakit bertemu pakar dalam bidang ini.
  • Simpan rekod/nota tentang tanda-tanda sakit, serangan, rawatan, ubat-ubatan dan kesan sampingan ubat terhadap pesakit.
  • Bersabar dengan pesakit.
  • Menerima pesakit seadanya.

Jadilah seorang pendengar yang sentiasa memahami. Elakkan memberi pandangan peribadi anda, cuma dengarkan saja. Tujuan utama adalah supaya pesakit dapat melepaskan apa yang terpendam.

PERINGKAT 2. MERASAKAN HIDUP AMAT TERHAD.

Pada peringkat ini, pesakit merasakan dunia sudah berakhir dan berputus asa dengan kehidupan. Hidupnya takkan berubah menjadi lebih baik. Tiada lagi harapan untuk meneruskan kehidupan, terasa marah, menyesal, bimbang, tiada berminat untuk apa saja dan tidak sabar.

Semua perasaan yang hadir itu mengundang sifat untuk menjauhkan diri dari semua orang.

Bagaimana orang lain boleh membantu?
  • Percaya bahawa seseorang itu boleh kembali sembuh dengan bersabar dan memakan masa.
  • Yakinkan persakit yang dia akan kembali sihat seperti dulu.
  • Bezakan tanda-tanda sakit dengan personaliti sebenar pesakit itu.
  • Fokus untuk membangunkan imej positif dirinya.
  • Kenali tanda-tanda serangan penyakit dan belajar untuk bertindakbalas.
  • Bercakap dengan pesakit mungkin agak sukar kerana dia lebih suka bersendirian, namun perlu beri masa dan ruang untuknya. 
  • Jangan paksa. Jangan memberi tekanan, membebel atau menyindir.

Peringkat pemulihan berikut

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.