Labels

Sunday, August 25, 2013

Menyambil



Sambil makan main youtube.
Sudah jadi satu kemestian pulak, mesti nak pegang handphone bila ke kedai makan.
Nasib baik kedai-kedai sekarang dah ada WIFI.
Zaman sudah berubah...

Friday, June 14, 2013

Mengharungi kepayahan


Sungguh "inspiring" melihat Nadeera ini.
Nadeera yang mengalami masalah tulang rapuh (osteogenesis imperfecta), sedang melanjutkan pelajaran di University of Nottingham, kampus Malaysia, dalam bidang Psikologi.

Masalah yang dialami tidak menghalangnya untuk meneruskan cita-citanya. Nadeera sangat beruntung kerana ibubapanya sentiasa menyokong apa saja minatnya.

Semoga berjaya!




Rujukan:

Betulkah tindakan ini?

Di sini saya ingin mencatitkan beberapa poin selepas membaca buku "Aku bersyukur anakku autisme".

Rujuk disini :  Buku - Aku bersyukur anakku autisme

Penulis buku ini juga mempunyai anak istimewa dengan masalah "autisme". Cara penyampaiannya amat objektif membuatkan saya merasa semangat saya kembali pulih untuk meneruskan perjuangan ini.


  • Apa yang saya lakukan setakat ini sudah berada di landasan yang betul.


  • Amanah yang besar - saya terima amanah ini dengan lapang hati. Sudah tentulah tanggungjawab juga besar terutama dalam perkara berikut. Harta benda/waris, jagaan harian/kebersihan, kesihatan dan pendidikan.


  • Redho dengan anugerah Allah - apabila sudah terima dengan lapang hati, saya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang. Saya menjadi seorang yang lebih memahami setiap satu masalah yang datang. 

  • Hanya insan terpilih - saya juga merasa berbesar hati menjadi insan terpilih. Sungguh tidak disangka, begini ketentuan untuk saya. Dengan cara inilah, saya beribadah kepada Allah. Apa saja yang Allah beri itu, tentulah ada kebaikannya. 



  • Tugas utama adalah menjaga anak istimewa - saya akan cuba menjaganya semampu mungkin. Memang ada ketakutan dan kerisauan yang tidak terungkap, tetapi saya cuba serahkan kepada Allah dan berdoa untuk diberi kekuatan untuk melaluinya, sekiranya perkara itu terjadi.



  • Jangan putus asa walaupun harapan nampaknya kelam. Resipinya, sediakan diri dengan kekuatan dalaman. Sabar dan tabah. Saya terapkan dalam diri, biar susah di sini, senang di sana. Harga sebuah syurga itu mahal, sudah tentulah di sini banyak cabarannya.


Benar, kehadiran Balqis telah banyak mengubah persepsi saya terhadap kehidupan.
Walaupun hadirnya bersama kepayahan dan cabaran yang tidak pernah dijangka, namun pertolongan datang mencurah-curah.

Kebahagiaan itu hanya dari Allah.


Wednesday, May 8, 2013

Barney ku sayang!!


"I love you, You love me,
We're a happy family..."

Salah satu aktiviti yang sangat digemari Balqis adalah menonton Barney. Boleh dikatakan setiap hari dia tak jemu-jemu mengulang video yang sama. Barney menjadi hiburannya seharian.




Semasa Balqis melalui rawatan "applied kinesiology" satu masa dulu, doktor yang bertugas terpaksa menggunakan Barney untuk menarik perhatiannya.

Kalau dah menonton Barney, dia boleh duduk berjam-jam. Makan pun boleh lupa, buang air ke bilik air, apatah lagi!!


Tuesday, March 26, 2013

Kisah anak istimewa dalam Dilema Wanita

Kenali ciri-ciri Down Syndrome
Hari ini saya tertengok (secara tidak sengaja) kisah yang dipaparkan dalam rancangan "Dilema Wanita" di Astro Oasis. Sudah tentu topik itu amat dekat dengan diri saya. Kisah tentang seorang ibu yang tidak mahu menerima kehadiran anak istimewanya.

Menarik ceritanya, semasa melahirkan, si ibu telah beberapa kali dilanda kemurungan yang teramat. Sehingga menjerit dan meracau tanpa sebab. Ditambah pula dengan ibu kepada si ibu (nenek) yang tidak memberi nasihat yang bernas kepada anak menantunya dalam menghadapi masalah ini.

Anak istimewa itu anak yang kedua, mempunyai seorang kakak yang normal, 3 tahun lebih tua. Walaupun si ibu tidak bekerja, ada pembantu rumah, tapi dalam fikirannya, anak yang istimewa mesti dihantar ke rumah kebajikan saja.

Mujurlah si ayah sangat prihatin, memberi galakan dan menunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap anak istimewanya. Dalam kesibukan kerja, si ayah sempat juga mencarikan guru untuk anak istimewanya belajar di rumah. Guru yang juga seorang doktor telah menunjukkan kesungguhan mengajar tanpa jemu.

Si ibu, yang hampir putus asa dengan keadaan anak istimewanya itu telah mengambil keputusan keluar dari rumah (balik ke rumah ibunya) setelah diberi kata dua oleh suaminya. Suaminya bertegas, walau apapun terjadi, anak istimewanya tetap tinggal di rumah.

Dalam mencari-cari erti sebuah mahligai bahagia, si ibu bersiar-siar di taman permainan. Di situ dia bertemu dengan sepasang suami isteri yang gembira melayan kerenah anak mereka. Pasangan itu sudah 20 tahun berkahwin, namun baru saja  dikurniakan seorang anak. Walaupun anak mereka istimewa, dikategorikan sebagai mengalami Sindrom Down, tetapi mereka masih bersyukur dengan apa yang Tuhan beri.

Barulah si ibu tersedar, betapa dia sudah tersilap langkah. Barulah dia tahu, dia sepatutnya bersyukur dengan dua orang anaknya - tidak kira sama ada normal ataupun istimewa.

Pesanan yg ditinggalkan oleh DMFK di akhir rancangan itu haruslah diberi perhatian oleh semua. Antaranya:
o tidak ada sesiapa pun yang dilahirkan membawa sial,
o jangan malu mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o jangan menghina atau merasa hina mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o kepada ibubapa, jangan kesal mempunyai anak istimewa,
o kepada ibubapa, jangan bezakan kasih sayang and perhatian di antara anak2,
o kepada ahli masyarakat, jangan memandang rendah terhadap anak istimewa,
o layan anak istimewa dan ahli keluarganya se 'normal' yang mungkin,
o kepada orang tua/datuk/nenek, jangan keruhkan keadaan, beri sokongan dan nasihat yang membina.

Anak adalah anugerah yang sangat berharga. Walau apa pun keadaannya, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik, memelihara, membentuk dan mencorakkannya.

Thursday, January 10, 2013

Untuk apa ke sekolah menengah?

Ke sekolah menengah
Mungkin inilah kali pertama dan terakhir Balqis memakai seragam sekolah menengah.

Perjumpaan dengan guru supervisor di sekolah menengah ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Serba satu kemungkinan bermain di kepala saya.

Mungkin sebab Balqis tak pandai urus diri sendiri.
Mungkin sebab Balqis tak boleh ikut arahan, walaupun yang "basic-basic".
Sudah tentu juga, Balqis memang tak boleh menulis, membaca dan mewarna.
Balqis juga tak seperti anak istimewa yang lain, yang ada kelebihan di bidang lain, seperti sukan dsb.

Jadi, untuk apa ke sekolah menengah?
Hanya untuk habiskan masa?

Berpatah balik sedikit lagi....untuk apa ke sekolah?

Perlukah ke sekolah, jika begini keadaannya?
Keluar dari sistem persekolahan bermakna tiada lagi bantuan elaun untuknya.
Apakah kerana itu Balqis perlu bersekolah juga?

Kalau tidak ke sekolah, ke mana pulak tempat Balqis nak pergi?
Ke rumah jagaan anak-anak istimewa kah?
Ke Pusat Pemulihan kah?
Ke mana?

Mujur, masih ada mak dan abahnya, jika tidak, macam mana?

Aduhai...
Makin banyak persoalan dari jawapan nampaknya.....

Saya menjadi sayu memikirkan masa depannya.
Namun di sebalik segala kemungkinan ini, saya gembira kerana Allah telah menjanjikan syurga untuknya, begitu juga dengan anak-ana istimewa yang lain.

Tabahlah, sabarlah sehingga tibanya saat itu.

Tuesday, November 20, 2012

2012 - Hari Graduasi


Tamat sudah sekolah rendah.

Tamat sudah..
Pihak sekolah telah mengadakan majlis graduasi yang gilang gemilang untuk semua pelajar yang akan meninggalkan sekolah rendah pada hujung tahun ini.

Ada sedih, sayu dan gembira di majlis itu.
Terasa seronok meraikan anak-anak istimewa begini.
Terasa lega dapat berjumpa ibubapa yang sehaluan begini.

Bertemu dengan Haniza (mak kepada Nadirah) yang akan melangkah ke sekolah menengah di Shah Alam. Nadirah adalah pelajar paling cemerlang tahun ini.

Bersapa dengan mak kepada Aqil yang akan melangkah ke sekolah menengah di Subang Jaya, sama dengan Balqis nanti.

Berjumpa dengan bapa kepada Haziq yang sentiasa tak duduk diam, mengejar Haziq di keliling dewan.

Berjumpa juga dengan barisan guru-guru dan pembantu guru yang bertugas di sekolah ini.


Sebahagian dari tenaga pengajar di sekolah Balqis

Terima kasih, cikgu-cikgu!!

Budi baik cikgu-cikgu takkan saya lupakan selamanya. Memang saya "tabik spring" kat cikgu-cikgu ni, yang tidak mengenal penat lelah melayan kerenah anak-anak istimewa ini. Bukan senang, kita yang menjaga seorang pun sudah pening kepala, inikan pulak murid-murid yang ramai dan pelbagai ragamnya.

Besar pahalanya tu!! InsyaAllah, kerjaya yang menjadi saham untuk akhirat.

Apakah sekolah menengah menjanjikan lebih baik untuk anak-anak istimewa ini?
Entahlah...Lihat potensi mereka, haruslah bergantung dengan kebolehan dan keupayaan mereka. Bagi Balqis, kecederaan mentalnya amat serius. Tahap urus diri pun masih lemah.

Adakah masa depan untuk mereka di dalam masyarakat?
Kitalah yang mencorakkannya. Mereka tidak tahu apa-apa, mereka hanya mengharapkan kebajikan mereka dijaga oleh sang penjaga-penjaga.

Allah jugalah yang merancang segalanya.


Monday, September 10, 2012

Minat membina


Antara kesukaan Balqis adalah membina menggunakan blok kayu "Jenga"nya.

Cuba lihat bagaimana telitinya dia nak pastikan "structure" tu tegak dan "aligned".

Jangan senget!!

Cantik tak?
Bila dah siap tu, bukan main "happy" lagi. Puas hati lah katakan! 






 
Yang ini pulak, yang paling tinggi yang Balqis pernah buat. Habis semua blok dalam raga biru tu digunakannya. Selalunya, separuh jalan saja, dah jatuh berderai, sebab tak "balanced". Kali ni sangat berbeza, dengan sabarnya dia menyusun sampai ke atas.

Tinggi kan?






Ada juga masanya, Balqis mencuba "design" lain pulak. Seronok betul bila dah dapat siapkan tu. Sekurang-kurangnya, ada masa untuk dia berfikir dan memperbaiki kemahiran "fine motor" dia.

Macam bangunan leper jeeeer


Friday, September 7, 2012

Santai seketika di bandar bersejarah Melaka

Sempena cuti pendek kakak sulung yang belajar di UK, kami mengambil kesempatan untuk merehatkan minda di Melaka. Sambil berehat, ambil gambar Balqis.

Bila bersiar-siar begini, yang paling penting kena tahu tandas di mana. Seluar dan diaper kena bawak extra kerana tak sedar je dia sudah membuang.


Sudah banyak perubahan di  bandar bersejarah ini sejak kali terakhir kami ke sini.

Beberapa tempat yang dulu (dulu itu lebih kurang 20 tahun lepas!!) tidak ada, sekarang sudah jadi tempat yang menarik perhatian pelancong. Mungkin inilah namanya pembangunan.




Ini pemandangan muara Sungai Melaka, dari atas Menara Taming Sari. Sudah cantik dan bersih, pemandangan di sepanjang muara sungai ini sangat menarik di waktu malam. Ada feri cruise sehingga pukul 11 malam yang menjadi tumpuan para pelancong.





Ini pula replika kapal "nama apa tak ingat". Di dalamnya dibuat seolah-olah sebuah muzium yang memaparkan sejarah kedatangan penjajah ke sini.



Di atas dek kapal replika




Tuesday, February 14, 2012

Menyusun bunga

Semasa memunggah permainan lama Balqis, saya terjumpa satu set permainan menyusun bunga. Oleh kerana sudah tertimbus di bawah permainan lain, Balqis pun sudah lupa tentang set itu.

Dia terus mencuba.


Inilah hasilnya selepas dia menyambung bunga-bunga itu.

Ada bunga yang terlungkup, tak kembang ke atas. Ada juga daun yang terlungkup. Nasib baik tangkai boleh disambungnya.

Masih perlu banyak latihan, tetapi kena berterusan.