Labels

Tuesday, October 7, 2008

Mencari program pendidikan untuk anak istimewa

Saya telah berbincang dengan beberapa orang ahli keluarga berkenaan dengan masalah saya mencari sistem pendidikan yang sesuai untuk anak istimewa saya. Kebetulan pula, salah seorang ahli keluarga saya itu seorang guru sekolah menengah yang mengajar anak-anak pendidikan khas.

Pengalaman menghantar Balqis ke kelas khas pada mulanya tidaklah memberangsangkan. Guru-guru tidak dilatih untuk mendidik dan mengurus anak istimewa. Hanya seorang guru yang berlatarbelakangkan pendidikan khas yang bertugas di situ, guru-guru lain adalah guru kelas biasa yang diberi insentif untuk mengajar di kelas khas. Jadi mereka kurang pendedahan tentang bagaimana anak-anak istimewa ini belajar.

Selain dari itu, tidak ada pembantu guru di setiap kelas. Ibubapa terpaksa menunggu sepanjang waktu persekolahan sekiranya perlu membawa anak ke tandas atau menukar pakaian. Bagi yang tiada masa untuk menunggu, perlulah menggaji seorang pembantu untuk ditempatkan di situ.

Pada hari mengambil kad laporan, saya terkejut kerana anak saya dinilai mengikut subjek. Komen di kad laporan yang berbunyi "Tidak boleh menulis dan membaca" sangat berbekas di hati saya. Penekanan tidak dibuat untuk melihat pencapaian anak itu mengikut kebolehannya. Contohnya, Balqis tidak boleh memegang pensel dengan betul pun, bagaimana mahu menilai kemampuannya menulis dan membaca?

Penilaian juga haruslah berperingkat-peringkat. Ada anak yang tidak boleh duduk diam. Ada anak yang baru boleh memegang pensel. Ada anak yang tidak kenal bentuk. Ada anak yang tidak mengenal warna. Bagaimana menilainya?

Beberapa perkara menarik telah diutarakan di sepanjang perbincangan santai kami itu. Apa yang diharapkan adalah suatu hari nanti, ia akan menjadi kenyataan.

1. sistem yang objektif

Sistem pendidikan yang ada sekarang lebih berpihak kepada kebolehan akademik semata-mata. Bagi anak-anak istimewa ini, akademik tidak boleh dijadikan asas pembelajaran mereka. Di sini, perlu ada satu sistem yang menerapkan penghargaan (reward) untuk setiap matlamat yang berjaya dilakukan. Di USA umpamanya, setiap anak disediakan "Individual Education Program (IEP)" di mana guru dan ibubapa mencapai satu persetujuan tentang apa yang hendak dicapai oleh si anak.

2. sistem yang Islamik

Pengajaran nilai-nilai agama dan moral mungkin tidak dapat difahami oleh anak istimewa. Tetapi pendedahan terhadap nilai-nilai itu penting untuk membentuk jati diri anak-anak itu.

Melalui pengalaman saya, sekolah-sekolah swasta yang Islamik tidak mahu menerima anak-anak istimewa ini. Ada sahabat saya yang terpaksa menghantar anaknya ke sekolah swasta beraliran Kristian suatu masa dulu untuk anak istimewanya belajar. Amat mengejutkan juga, kita tidak ada sekolah agama untuk anak-anak istimewa, walaupun kita sebuah negara Islam. Akhirnya anak-anak istimewa yang sudah tamat persekolahan menengahnya dan tiada tempat bergantung lagi akan diletakkan di rumah-rumah amal.

3. sistem yang telus, terbuka dan berempati

Secara tidak langsung, kita harus memahami bahawa anak-anak istimewa ini berbeza kebolehan mereka. Orang-orang yang berurusan dengan mereka harus faham tentang kelainan upaya anak-anak ini. Sifat sabar dan empati, saya kira, amat penting dalam mendalami karektor setiap anak istimewa. Setiap pembaharuan atau pencapaian anak haruslah direkodkan/dihebahkan supaya semua yang terlibat mengetahuinya.

Dalam meningkat tahap pemahaman anak-anak ini, terdapat tiga pihak yang perlu memainkan peranan masing-masing.

1. Ibubapa - perlu mengambil inisiatif untuk memahami apa yang telah diajar oleh guru di sekolah. Jangan hanya lepaskan anak ke sekolah tanpa komunikasi susulan dengan guru-gurunya. Adalah lebih bagus jika ibubapa mendapatkan tunjuk ajar dari guru-guru itu supaya perkara yang sama boleh diajar di rumah.

2. Guru - perlu menunjukkan empati dan kasih sayang dalam mendidik anak-anak istimewa ini. Sifat guru yang garang, suka menengking dan memalukan anak-anak istimewa ini akan menjatuhkan harga diri mereka yang sudah sedia rendah itu. Ada juga anak-anak yang dibiarkan berkeliaran di kawasan sekolah tanpa disedari.

Anak-anak ini juga perlu diasingkan mengikut kebolehan masing-masing, tidak boleh dimuatkan di dalam satu kelas kesemuanya sekali. Ini juga akan memudahkan guru untuk mengajar.

3. Sistem sokongan - perlu diwujudkan di kelas khas untuk membantu guru-guru. Sama seperti menyediakan perkhidmatan kesihatan pelalian dan pergigian di sekolah rendah sekarang, perkhidmatan yang serupa juga patut dikembangkan bersesuaian dengan keperluan anak-anak istimewa ini. Ada anak-anak yang perlukan terapi fisio (physiotherapy), terapi pertuturan (speech therapy), terapi carakerja (occupational therapy), pakar psikologi dan mungkin juga doktor yang memantau tahap kesihatan mereka. Sistem sokongan yang begini diharapkan dapat memberi fokus belajar untuk anak-anak istimewa.


Begitulah serba sedikit pendapat yang dapat dikumpul, yang mungkin boleh dilaksanakan untuk masa depan anak-anak istimewa ini. Mudah-mudahan usaha ini akan berjaya satu hari nanti. Amin.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.