Masih lagi tentang mencari sekolah rendah.
Saya telah berkesempatan melawat tiga buah sekolah untuk melihat sendiri bagaimana kelas khas dikendalikan. Lawatan ini saya lakukan sekitar tahun 2005 dan 2006.
Sekolah 1:
Jumlah semua muridnya lebih kurang 1,000 orang. Jumlah murid di kelas khas ada 100 orang dengan guru yang mengajar di kelas khas seramai 24 orang. Murid kelas khas dibahagikan kepada 14 kumpulan, mengikut kebolehan murid. Kelas-kelas amat sempit kerana terpaksa menampung ramai murid. Ada murid yang datang dari jauh, kerana kelas khas di situ sangat popular di kalangan ibubapa, mungkin kerana prestasi yang baik.
Cara belajar mereka pula terbahagi kepada 4 stesen. Setiap kumpulan murid akan bergerak dari satu stesen ke stesen yang berikutnya berdasarkan jadual yang telah ditetapkan. Kemudahan bilik air pula disediakan berasingan dari murid kelas biasa. Bagi anak yang tidak tahu ke tandas sendiri, penjaga haruslah menunggu di situ.
Saya sempat bertemu dengan guru besar sekolah ini. Dia seorang yang sangat terbuka dan prihatin terhadap anak-anak istimewa ini. Dia juga seorang guru besar yang "turun padang" membantu dan mendengar masalah guru-guru di kelas khas kerana katanya guru-guru di kelas khas ini perlukan motivasi berterusan. Tugas mereka bukan senang, perlu banyak kesabaran.
Sekolah 2:
Di sekolah ini pula, hanya ada 47 orang murid di kelas khas dengan 7 orang guru. Kelas dibahagi kepada 4 bahagian juga: Sains dan Matematik, Bahasa, Seni dan Urus Diri. Pembahagi kelas di sini menggunakan papan plywood yang menutup hingga ke siling. Bermakna, satu kelas biasa dibahagikan kepada 4 bahagian.
Guru-guru di sini nampak stres, termasuklah guru koordinatornya. Hanya seorang guru yang rajin melayan soalan-soalan saya walaupun dia sibuk. Di masa yang sama, seorang guru juga kedengaran menjerit-jerit marahkan seorang anak Down Syndrome, kerana anak itu tidak memberi perhatian di dalam kelasnya.
Bab bilik air pula, tiada siapa yang membantu kecuali penjaga anak itu sendiri menunggu di situ.
Saya tidak pergi melihat semua kelas, hanya ke salah satu kelas, iaitu kelas kemahiran hidup. Anak-anak di sini diajar untuk menggosok baju dan menggunakan perkakas elektrik. Anak-anak ini tidak dilayan sebaiknya, keadaan ini memang berlaku di mana-mana tempat pun. Cuma kali ini, saya menyaksikan sendiri di hadapan mata saya. Mungkin guru-guru ini sudah terlalu muak mengajar anak-anak ini yang tidak faham-faham sejak sekian lamanya. Anak-anak ini juga dibentak-bentak dan dimalukan di hadapan kawan-kawannya yang lain. Saya tak dapat bayangkan jika salah seorang dari anak-anak itu adalah anak saya sendiri. Walau berat hati saya melihatkan keadaan itu, saya bersimpati dengan anak-anak murid itu, tetapi saya terpaksa pergi.
Sekolah 3:
Sekolah ketiga ini mempunyai 35 murid di kelas khas, tetapi 9 orang guru bertugas. Juga dibahagikan kepada 4 bahagian, tetapi pembahagian hanya dibuat menggunakan meja setinggi paras pinggang. Mengikut guru koordinator, mereka masih belum berjaya meningkatkan tahap kemudahan asas untuk menampung bilangan anak murid yang lebih ramai. Pihak sekolah selalunya mengutamakan bajet untuk hal-hal yang lebih penting.
Guru-guru di sini nampaknya lebih tenang dan ringan tulang. Guru koordinatornya memang seorang yang arif dan berpengalaman mengajar dalam bidang pendidikan kahs, sangat memahami dan melayan anak-anak muridnya seperti anak sendiri.
Kemudahan bilik air pula, guru koordinator menggaji seorang pembantu yang ditugaskan untuk menjaga kebersihan tandas dan membersihkan anak-anak yang "terlepas buang". Sedikit bayaran dikutip dari ibubapa untuk meringankan beban guru-guru. Saya berasa selesa dengan cara guru-guru di sini mengendalikan kelas khas di sini.
Secara keseluruhannya, rata-rata di semua sekolah ini, tidak semua murid akan hadir setiap hari. Ada ibubapa mengambil peluang menghantar anak-anak untuk sesi terapi, memenuhi temujanji dengan doktor ataupun melakukan pembelajaran sendiri di rumah. Walaupun tidak ramai yang hadir setiap hari, faktor utama yang menentukan keselesaan sesebuah kelas khas adalah bergantung kepada penglibatan :
1. guru besar,
2. guru koordinator dan guru-guru bertugas di kelas khas,
3. ibubapa.
Bagaimana di luar negara?
Disamping itu, saya juga mendapat pendedahan mengenai bagaimana sebuah sekolah di Australia yang menyediakan perkhidmatan untuk anak-anak istimewa di sana. Setiap anak akan diawasi oleh seorang jururawat terlatih, jururawat yang faham tentang masalah anak istimewa itu. Jika anak itu menghadapi masalah kesihatan, dia akan terus dirujuk ke pakar di hospital berdekatan.
Program inklusif ("inclusive program") memastikan anak-anak istimewa yang sudah mencapai tahap pemikiran yang memuaskan, akan dipindah ke kelas biasa untuk belajar bersama anak-anak lain. Walau dari segi fizikal, anak itu mempunyai kekurangan, dia akan diberi kemudahan belajar bersesuaian dengan keadaan fizikalnya. Salah satu kemudahan yang ditunjukkan adalah alat menulis sambil berbaring. Jadi anak yang tidak boleh duduk, disediakan alat ini untuknya menulis. Sesi belajar orang lain tidak terganggu disamping dapat memupuk sikap tolong menolong di antara rakan sekelas.
Dari seorang rakan di USA, beliau pula menceritakan bagaimana anak istimewa ke sekolah tanpa perlu dihantar pun. Semuanya dalam pengawasan pihak sekolah. Setiap tahun, "individual education program" (EIP) dibincangkan bersama ibubapa untuk setiap anak istimewa. Guru pula akan memastikan setiap tugas harian ditulis ke dalam sebuah buku yang dipanggil "message book" sebagai alat komunikasi antara sekolah dan ibubapa.
Kesimpulan
Melalui pendedahan ini, dapatlah saya simpulkan bahawa sistem pendidikan yang ada di negara kita ini masih jauh ketinggalan berbanding dengan apa yang terdapat di negara seperti Australia. Jurang pebezaannya menghampiri 10 ke 20 tahun, bermakna negara lain itu sudah maju 10 ke 20 tahun ke hadapan dari kita. Dalam sistem mereka, anak-anak ini dilayan seperti anak-anak yang lain, cuma kemudahan belajarnya perlu diubahsuai mengikut keadaan fizkial anak itu.
Saya mengharapkan sistem pendidikan yang...
- menilai prestasi anak mengikut keupayaannya, bukan sekadar akademiknya saja,
- memberi kebebasan berfikir dan meneroka,
- mewujudkan suasana gembira untuk belajar,
- menekankan unsur-unsur keIslaman.
Sebagai ibubapa kepada anak istimewa, kita tidak mengharapkan anak itu memijakkan kaki ke menara gading atau menjejaki gunung tertinggi di dunia. Dia hanya insan biasa, yang menjadi sebahagian dari masyarakat kita. Apa yang diharapkan hanyalah sekadar boleh mengurus dirinya sendiri dan diberi peluang untuk menikmati hidup yang menggembirakan.
Entahlah...ini hanyalah luahan hati saya yang menginginkan yang terbaik untuk anak saya.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.