Yang tersurat dan tersirat dari sudut pandang yang lain dari biasa. Marilah kita dekati dunia insan istimewa ini dengan hati terbuka.
Sunday, June 15, 2008
Punya anak istimewa
Ramai yang bertanya saya bagaimana menjaga seorang anak istimewa.
Bukan diminta, bukan diharap, tetapi begitulah sudah ketentuan tuhan. Apa yang kita mampu lakukan ialah menanganinya dengan bijak.
1. Terimalah seadanya - peringkat pertama dalam menangani isu anak istimewa adalah penerimaan. Sebagai ibu dan bapa, anak istimewa adalah ujian dari Allah. Semasa kecil digelar anak istimewa, bila sudah dewasa dia akan digelar OKU. Terimalah hakikat bahawa anak kita itu perlu penjagaan dan cara didikan yang 'sedikit berbeza' dari anak-anak yang normal.
Ada sesetengah ibubapa yang takut untuk menerima kenyataan ini. Mungkin takut dikatakan mempunyai anak yang cacat atau terencat akal. Ketakutan itu akan melembapkan tindakan kita untuk membetulkan dan merawat keadaan si anak. Akibatnya anak istimewa dipinggirkan, didera dan ada juga yang dikurung.
Penerimaan ibubapa juga akan membantu perkembangan si anak lebih berkesan. Apabila ibubapa menerima keadaan anak istimewanya, rancangan penjagaan dan pendidikannya menjadi lebih mudah. Di sinilah penyertaan ibubapa amat diperlukan. Si anak akan tersenyum gembira jika ibubapanya sendiri meluangkan masa untuk bersamanya dalam setiap aktivitinya. Ini sangat baik untuk perkembangan emosi si anak.
2. Jangan menyalahkan diri sendiri - percayalah bahawa setiap yang berlaku adalah kuasa Tuhan. Jangan meletakkan kesalahan lahirnya anak istimewa ke atas diri kita sendiri. Maafkanlah diri sendiri dulu atas apa juga kesilapan masa lampau. Mungkin itulah hikmahnya dikurniakan seorang anak istimewa, agar kita dapat memperbaiki diri.
Cari ruang masa untuk diri sendiri dan lakukan aktiviti yang membahagiakan diri. Isikan masa untuk melakukan hobi kegemaran.
Kita juga patut bersedia untuk menghadapi cabaran baru setelah mempunyai anak istimewa. Jadual kerja dan cara hidup keseluruhannya mungkin perlu diubah bagi menyesuaikan dengan keadaan anak istimewa itu.
3. Sabar dan istiqamah - setiap perubahan itu bukan datang mendadak. Kesabaran amatlah penting dalam menguruskan anak istimewa.
Jangan pula terlalu mengharapkan anak istimewa kita mencapai yang terbagus dalam apa juga yang dilakukannya. Setiap peningkatan walaupun sedikit hendaklah diraikan bersama ahli keluarga. Oleh itu, si anak akan merasa bangga dengan apa yang dapat dilakukannya. Ini akan menambah keyakinan dirinya.
Apa yang penting adalah keikhlasan dalam melakukan setiap yang baik itu secara konsisten, lama kelamaan pasti nampak hasilnya.
4. Tambahkan ilmu - dapatkan pendapat dari beberapa orang pakar kanak-kanak untuk memastikan masalah sebenar anak kita itu.
Selain itu, kemudahan hari ini memungkinkan kita untuk menambah ilmu dengan mudah. Cari sebab berkaitan dengan anak istimewa kita di internet. Lihat sama ada wujud teknologi canggih untuk merawat masalah berkenaan. Bagaimana keadaan hidup anak istimewa sebegini di negara lain - sistem pendidikannya, perkhidmatan kesihatannya dan lain-lain lagi.
Sertai juga forum atau 'e-group' yang memberi sokongan kepada anak-anak istimewa. Ia amat membantu dalam mencari pakar terapi dan mendapatkan sokongan moral dari mereka yang menghadapi masalah yang sama.
5. Sentiasa bersemangat tinggi - fikir secara positif dan lihat dari kacamata yang positif. Pastikan kita mendapat makanan berkhasiat dan lakukan senaman setiap harian. Lakukan aktiviti harian mengikut aturan. Jangan suka berlengah dan membuang masa (contohnya menonton TV, tidur).
Saya harap tip-tip di atas dapat membantu. Jumpa lagi di lain masa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.