PERIHAL AIR KEPENTINGAN AIR
Kata " المَاءُ ", air, disebutkan dalam al-Quran berulangan, tidak kurang daripada 52 kali.
Mengikut Dr. Yusuf al-Qaradawi, sesuatu perkara yang disebutkan banyak kali dalam al-Quran menunjukkan satu kepentingan, kedudukan dan kesan dalam agama dan kehidupan.
1 Ini bermakna air sangat penting bagi makhluk yang hidup.
Mari kita renungi ayat 30, dari surah al-Anbiyaa’ 21:
وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ
Ertinya : Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup.
Berdasarkan Tafsir al-Nukat wa ‘Uyuun, Al-Tafsir al-Munir dan Al-Tafsir al-Maudhu’ii, antara maksud ayat ini ialah:
Allah SWT jadikan, dari air, segala sesuatu yang hidup.
Allah Taala memelihara, dengan air, segala sesuatu yang hidup.
2 MENGIMBAS PERSOALAN PENDAPAT PAKAR
Kajian saintifik atau ilmiah telah dilakukan terhadap pelbagai perkara, termasuk air, dan menemui beberapa dapatan/hasil, namun ilmu pengetahuan manusia yang terhasil daripada sesuatu kajian ilmiah adalah sedikit, malahan banyak lagi perkara yang belum ditemui/diketahui.
Hal ini berdasarkan penegasan Allah SWT dalam surah al-Israa’ 17, ayat 85:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Ertinya: Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.
Dalam mentafsirkan ayat ini, Syeikh al-Sya’rawi, dalam kitab tafsirnya Khawathiri Haula al-Quran al-Karim, menyatakan:
“Para ilmuwan (ulama) dan para penyelidik menemui setiap hari sesuatu yang baharu tentang alam semesta yang luas dan manusia.
Jika anda ikuti apa yang dicapai oleh ahli sains angkasa dan tokoh-tokoh perubatan, anda dapati hasil pencapaian mereka memeranjatkan anda tentang tanda-tanda kebesaran (Allah) dan keajaiban-keajaiban pada penciptaan Allah Taala, tetapi adakah itu bermakna kita telah mengetahui segala-galanya?
3
Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, dalam kitab tafsirnya, Al-Tafsir al-Munir, menjelaskan:
“Dan kamu, wahai manusia, tidak diberikan ilmu dan pengetahuan melainkan sedikit sahaja, yang sumbernya adalah daya tahu pancaindera dan pemerhatian terhadap segala sesuatu yang tampak, sedangkan di sebalik itu, kamu tidak berupaya memperolehinya dan tiada sesiapapun yang mengetahui hakikatnya.
4
Ini bermakna, kita tidak harus mengatakan “tiada” pada sesuatu yang kita tidak tahu. Begitu juga para doktor, bukan sesuatu yang mereka tidak tahu, termasuk perihal air, bermakna ia “tidak wujud”.
والله أعلم
Ismail bin Hassan
Setia Alam, Shah Alam, Selangor.
29 September 2015
Setia Alam, Shah Alam, Selangor.
29 September 2015
-------------------------
1 Al-Qaradawi (Dr.). 2001. Kaifa Nata’amal ma’a al-Quran al-“Azim, hal. 524.
2 Al-Mawardi. t.th.. Al-Nukat wa ‘Uyuun, Jilid 3, hal. 44; Al-Zuhaili, Wahbah (Dr.). 2009. Al-Tafsir al-Munir, Jid 9, hal. 51l; Muslim, Musthafa. 2010. Al-Tafsir al-Maudhu’ii, Jid. 5, hal. 22.
3 Al-Sya’rawi. 1991. Khawathiri Haulal Quran al-Karim, hal. 8723.
4 Al-Zuhaili, Wahbah (Dr.). 2010. Al-Tafsir al-Munir, Jld. 8, hal. 162.
2 Al-Mawardi. t.th.. Al-Nukat wa ‘Uyuun, Jilid 3, hal. 44; Al-Zuhaili, Wahbah (Dr.). 2009. Al-Tafsir al-Munir, Jid 9, hal. 51l; Muslim, Musthafa. 2010. Al-Tafsir al-Maudhu’ii, Jid. 5, hal. 22.
3 Al-Sya’rawi. 1991. Khawathiri Haulal Quran al-Karim, hal. 8723.
4 Al-Zuhaili, Wahbah (Dr.). 2010. Al-Tafsir al-Munir, Jld. 8, hal. 162.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.