Labels

Sunday, November 20, 2016

Gangguan versus kemurungan


Artikel sebelum ini

Seawal November 2015, saya masih lagi berteka teki dengan keadaan anak saya. Amat payah hendak berkomunikasi dengannya.

Dari luaran, kelihatannya dia tidak ada disiplin diri, tidak mahu mengambil tanggungjawab seperti menolong kerja-kerja rumah, kurang mengambil berat tentang orang-orang di sekelilingnya, tidak meluangkan masa berbual mahupun makan bersama. Dia lebih suka mengasingkan diri dan hanya terperuk di bilik.

Ada masanya dia keluar dan bersembang, topik perbincangannya lebih menjurus kepada risau dan takut terhadap sesuatu. Ada juga rasa bersalah yang tak menentu terutama bila orang bertanya kenapa tak mahu bekerja.



Akhirnya, di hujung bulan, dia telah menghantar mesej melalui WhatsApp. Dia mengalami kemurungan yang teruk. Baru kini dia bersuara. Suara meminta tolong, supaya ibubapanya tidak menghukum, memarahinya mahupun menyisihkannya.

Dia tersangat lemah untuk melawan penyakit itu sendirian. Tidak nampak cara memulihkan dirinya. Dia hanya mahu ibubapanya, sebagai orang terdekat dengannya, memberikan sokongan, menjaganya dengan penuh kasih sayang, dan mendoakan agar ditunjukkan jalan untuk berubah dan memperbaiki dirinya.

Saya terkejut tapi menerima ketentuan ini sebagai satu ujian hidup. Baguslah dia sudah mengaku, namun kami tidak tahu di tahap mana seriusnya kemurungan itu.

Lebih membimbangkan apabila dia harus mendaftarkan diri untuk mula bekerja dalam masa terdekat.

Jadi sebelum dia masuk kerja, kami perlu berbuat sesuatu, sekurang-kurangnya untuk memulihkan semangatnya. Saya telah mengajaknya berjumpa beberapa orang pakar/ahli untuk mengenalpasti apa sebenar masalahnya. Dia juga telah menyertai kursus ESQ untuk mula bergaul dengan orang baru.

Kata pakar psikologi, pada masa itu, keadaannya amat lemah, fizikal, jiwa dan fikiran. Perlu banyak sokongan dan kesabaran kerana dia masih belum terbuka untuk rawatan lanjut. Begitu juga pendapat seorang pakar terapi akunpuntur.

Kata seorang ustaz, dia sedikit terganggu. Bila fizikal sudah lemah, syaitan pun mudah mengganggu jasad dan fikiran. Ustaz membekalkan zikir harian yang patut diamalkan sebagai pelindung dari gangguan syaitan.

Setelah masuk kerja selama hampir sebulan, anak saya terpaksa mengambil cuti untuk rawatan mental/psikiatrik. Persekitaran kerja yang sangat tidak membantu menjadi sebab kemurungannya mencapai tahap maksimum, akhirnya meletop. "Her body system just broke down".

Semasa dalam rawatan medikal (hospital), pakar psikiatrik memberi ubat untuk menstabilkan hormon. Kesan yang paling ketara adalah waktu tidur dan bangunnya menjadi kelam kabut. Anggota badan juga terkesan, seakan-akan menggeletar tanpa dapat dikawal.



Perubahan "mood" sangat drastik. Satu hari dia terlalu "happy", rasa macam nak terbang saja. Esoknya dia menjadi monyok dan seolah-olah meracau. Pernah juga suatu malam dia curiga dan terbayang-bayang akan ada orang yang mencarinya ke rumah.

Fikiran, perasaan dan fizikalnya sudah bercelaru. Saat-saat ini merupakan saat genting bagi saya dan keluarga. Kami mencuba pula rawatan komplimentari setelah mendapati keadaannya tidak banyak berubah. Di awal proses rawatan itu, banyak kejadian yang pelik-pelik berlaku.

Dua minggu pertama itu dia meracau, "transform" atau dirasuk oleh pelbagai karektor, mendengar bisikan-bisikan, takut melampau, perut meloya dan pelbagai lagi gangguan. Serangan panik (panic attack) datang pada masa-masa yang tertentu setiap hari seperti antara Subuh dan 10 pagi, antara 3 petang hingga Asar dan 2 pagi hingga 4 pagi.

Dia tidak boleh ditinggalkan sendirian, terutama di waktu azan berkumandang. Ubat-ubatan renjis, minum dan sembur semuanya dicuba belaka. Antara tanda-tandanya:
* waktu bangun dan tidurnya tidak menentu.
* tiada selera makan.
* berfikir tanpa henti.
* risau tanpa henti.
* mood sentiasa tidak baik.
* takut berjumpa orang.
* tidak mahu memberitahu orang yang dia sakit.
* komunikasi dengan orang luar terhad.

Selain itu, gangguan makhluk halus juga agak ketara apabila :
* mengalami mimpi ngeri setiap malam.
* lidah kelu hingga tidak boleh bercakap, berzikir.
* mendengar bisikan-bisikan jahat seperti jangan pergi berjumpa perawat, memperlekehkan perawat hingga menimbulkan rasa benci kepada perawat dan tidak mahu berubat lagi.
* gangguan semakin kuat bila pulang dari temujanji doktor hospital.
* gangguan semakin kuat bila terlalu penat atau seharian penuh dengan aktiviti.

Gangguan ini datang dan pergi, berlarutan sehingga September 2016. Ketika itu, gangguan besar/berat sudah berkurangan dan hampir tiada. Sudah datang keceriaan diwajahnya, walaupun masih lemah fizikalnya. Rawatan komplimentari ini berjaya membina semula spiritual dan jiwa yang terlalu lama diganggu.

Apabila disimpulkan, rawatan komplimentari telah membuka mata saya dan ahli keluarga yang lain bahawa dalam dunia kita berkongsi hidup dengan makhluk lain yang bernama jin. Barulah kami faham tentang sifat-sifat jin ini dan bagaimana makhluk ini bersepakat dengan syaitan, boleh mengganggu dan merosakkan manusia. Apabila fizikal dan minda kita sudah sakit dan lemah, makhluk perosak ini mudah untuk mengganggu. Gangguan ini dalam pelbagai bentuk, dari menyakitkan anggota badan hingga kepada bisikan di hati dan fikiran.

Rujukan:
Jenis-jenis gangguan

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.