Beruntunglah kalau anak-anak sihat fizikal dan mental. Memang patut mereka dibimbing untuk berusaha sendiri dan berdikari. Seperti artikel di bawah.
Namun bagi ibubapa yang mempunyai anak OKU atau bermasalah, kenalpasti dulu sejauh mana mereka perlu dibantu. Tentulah menyakitkan kalau mereka tidak mampu/updaya berdikari. Seolah-olah didera pula.
*Cukup-cukuplah susahkan ibu bapa*
KALAU dari awal mak ayah dah beri ‘muka’, anak-anak pun naik mualah. Salah ibu bapa juga kalau membiarkan anak-anak terlalu bergantung dengan mereka. Nak itu ini semua dapat, jadi masa bilanya mereka nak tahu kesusahan kita.
Seorang teman bercerita, jirannya yang tiga tahun lagi nak bersara, sanggup membuat loan bank baharu sebab nak belikan kereta Myvi untuk memudahkan pergerakan anaknya yang masih melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Alasan si ibu (jiran teman) tak mahu melihat anaknya bersusah payah naik pengangkutan awam selain risaukan keselamatan. Alahai... so sweetnya ibu macam itu. Beruntung sungguh si anak ditatang sedemikian rupa walaupun sudah besar panjang.
Bukan iri hati tetapi sepatutnya anak-anak dibiar berdikari. Kalau dah diajar senang, sel-sel otak nanti tak berkembang pula. Dah susah nanti tahulah mereka cari jalan penyelesaian. Sebagai orang tua, kita bantu mana yang patut sahaja.
Ibu bapa harus memberi peluang dan kepercayaan kepada anak-anak untuk mencari duit poket sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kewangan daripada mereka. Dengan cara begini, anak-anak akan lebih menghargai duit yang diperoleh.
Saya bersyukur dibenarkan arwah bapa untuk bekerja sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Jika ikutkan hatinya, dia memang tak bagi apatah lagi kerja yang saya mohon melibatkan syif. Begitupun ibu sentiasa menyokong.
Sejak diberi kepercayaan untuk mencari duit poket sendiri, saya tidak pernah meminta duit mereka, waima ketika belajar di IPT. Untuk menampung perbelanjaan, saya dan rakan sepengajian memohon kerja di kilang pada cuti semester.
Hakikatnya, keterlaluan melindungi permata hati pada akhirnya akan menyusahkan ibu bapa sendiri. Buktinya seperti mana dilaporkan sebuah akhbar kelmarin apabila semakin ramai ibu bapa terpaksa menanggung hidup anak sampai mati.
Memetik kajian Kuasa Perlindungan HSBC Bank Malaysia Bhd., yang mendedahkan kira-kira 57 peratus ibu bapa di negara ini masih memberi sokongan kewangan kepada anak-anak mereka berusia lebih 18 tahun.
Tinjauan bertajuk Mendepani Masa Depan itu turut mendapati ibu bapa di Malaysia berada pada kedudukan keempat di dunia dalam menyokong kewangan anak-anak dewasa mereka dengan Emiriyah Arab Bersatu berada di tangga teratas.
Yang peliknya anak-anak dah bekerja tetapi masih minta duit daripada ibu bapa. Ada tu, nak tuang minyak kereta pun minta mak. Minta tau, bukan pinjam! Dahlah harga petrol semakin naik. Kurang-kurang RM200 sebulan jugalah duit mak ‘dipaw’.
Bukan nak menuduh, tetapi kebanyakan anak lelaki yang suka buat ‘pinjaman’ daripada keluarga. Daripada membeli kereta, belanja kahwin sehinggalah membeli rumah. Anak bertanggungjawab pasti bayar berdikit-dikit, kalau tak, jadi tajaanlah.
Teringat pula saya kisah diceritakan kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tentang seorang pesara mengeluarkan kesemua wang yang hanya tinggal RM20,000 untuk belanja kenduri kahwin anak lelakinya. Sedih tak dapat anak macam ni?
Boleh bayangkan tak kehidupan pesara berkenaan selepas itu. Apa lagi yang tinggal untuk dia terus menyara kehidupan? Mujur jika anak lelaki itu sudi membela ayahnya. Kalau dapat menantu ‘hantu’, dicampaklah orang tua itu ke rumah orang tua.
Berbalik cerita jiran teman tadi, saya yakin ramai ibu bapa di luar sana juga risaukan keselamatan anak-anak, namun mereka tidak mampu membeli kereta dan memberi wang. Sebaliknya hanya doa dipanjatkan bagi mengiringi kejayaan anak-anak.
Seperti dinyatakan, kesusahan mendorong seseorang untuk terus memperbaiki hidup. Malah sudah terbukti, 36 daripada 100 individu terkaya di dunia lahir daripada keluarga susah.
Rujukan:
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.