Artikel sebelum ini
Kita hanyalah merancang. Kita sangkakan itulah yang terbaik untuk kita. Namun perancangan Allah itu lebih jauh, lebih besar impaknya untuk kita.
Subhanallah!
Hampir lebih setahun berlalu.
Oleh kerana terpaksa mengambil cuti sakit yang berpanjangan, anak saya terpaksa melepaskan jawatannya. Tidak mahu menanggung risiko bekerja dalam keadaan mental dan fizikal yang tidak stabil.
Dari segi rawatan pula, selain dari pakar psikiatrik kerajaan, kami juga mencuba pelbagai rawatan alternatif. Antaranya terapi emosi dan psikologi, akupuntur, homeopati dan komplimentari Islami.
Banyak juga rintangan yang dilalui sepanjang setahun itu. Banyak juga sudut pandang tentang kesihatan fizikal, mental dan rohani yang dapat ditimba. Bukan sesuatu yang mudah untuk melawan anasir luaran, apatah lagi di dalam fikiran dan emosi.
Dari segi spiritual,
* Temujanji dengan pakar psikiatrik biasanya mencetuskan semula rasa takut dan panik. Seolah-olah ada yang datang mendekatinya dan mengganggu hingga dia menjadi gelisah.
* Bercuti atau berjalan-jalan di tempat yang sunyi, malam-malam pula menyebabkan makhluk-makhluk lain menghampirinya.
* Ini diketahui selepas membuat rawatan komplimentari Islami dilakukan. Semasa berubat, banyak pantang larang yang harus dipatuhi.
Dari segi psikologi,
* Pakar psikologi pula mendapati diri negatifnya telah mendominasi diri positifnya. Dirinya sendiri terus tunduk kepada tenaga negatif yang menguasai dirinya.
* Mood yang tidak stabil amat mudah terpengaruh oleh sesuatu peristiwa atau percakapan dengan orang lain.
* Rawatan yang dilakukan bermula dari mengenalpasti masalah, meneutralkan tenaga (energi) negatif yang menguasai diri sehinggalah memperbaiki cara berfikir (kognitif) dan cara melihat dunia dan perlakuan manusia.
Dari segi kegiatan harian pula, perubahan rutin harus dilakukan juga:
* betulkan waktu bangun pagi (6 pagi) dan tidur malam (11 malam),
* terus aktif selepas Subuh dengan aktiviti yang menggembirakan,
* pilih pemakanan sihat dan minum air secukupnya,
* ambil vitamin untuk menambah tenaga.
* beriadah atau bersukan.
Perlu ditekankan, rawatan-rawatan ini dilakukan serentak. Apabila pesakit sudah bersedia untuk rawatan selanjutnya, teruskan ke fasa berikutnya. Jangan berhenti dari berusaha mencari penyelesaian.
Sebagai rujukan, lihat di sini untuk memahami peringkat-peringkat pemulihan dari penyakit ini.
Terlalu banyak pengorbanan untuknya. Berkorban masa, tenaga dan rasa. Apa yang dimahukannya, semua diturutkan. Mungkin memakan masa untuk menampakkan hasil, namun yakinlah dengan kuasa Allah.
Sehingga kini, antara perubahan yang dapat dilihat adalah seperti berikut:
* boleh membaca buku cerita,
* boleh bergaul dengan ahli keluarga terdekat dan kawan-kawan rapat,
* boleh keluar bersiar-siar dengan ahli kelaurga terdekat,
* tiada lagi curiga melampau terhadap orang sekeliling,
* mood sudah stabil walaupun sekali sekala masih "down",
* tiada lagi susah tidur dan boleh tidur lena ("deep sleep"),
* boleh menaiki kenderaan awam (LRT) sendirian,
* boleh memandu sendirian.
Syukur sangat kerana dia sudah banyak kembali kepada dirinya yang asal.
Walaupun masih belum betul-betul keluar lagi dari kemurungan, sedikit perubahan positif pun sudah amat besar ertinya untuk kami.
Fokus utama sekarang adalah untuk pulih sepenuhnya dari kemurungan ini. Tentang masa depan, kerjaya mahupun jodoh, kita hanya mampu memohon yang terbaik dari Allah.
Benarlah kata orang - lihatlah pemberi ujian. Bukan ujian itu sendiri.
Lihatlah mengapa ujian sebegini diberi kepada kita.
Dari sudut psikologi, dapat disimpulkan bahawa kemurungan yang dialami berpunca dari corak persekitaran semasa membesar, latarbelakang keluarga dan juga personaliti seseorang. Walaupun ia dapat dikenalpasti, namun ia masih terlalu subjektif dan berbeza dari seorang ke seorang yang lain.
Amatlah berat menuduh atau menghukum pesakit ini sebagai mengada-ngada, manja, malas, kurang agama sekiranya kita tidak merasai dan melaluinya sendiri.
Apa yang diperlukan adalah pendedahan kepada masyarakat tentang betapa seriusnya masalah kemurungan ini sekarang. Seterusnya, kita haruslah saling bergabung untuk membantu dan merawat.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.