Labels

Thursday, January 26, 2012

Membuang rasa rendah diri

Perasaan ini amat biasa dalam hidup kita. Perlakuan kita seharian mungkin menunjukkan tanda-tanda kita mengalami rasa rendah diri. Bagi OKU pula, masalah ini sentiasa memburu mereka, dek kerana kekurangan mereka dan pemahaman mereka tentang ilmu emosi dan kerohanian.

Tidak salah merendah diri, tetapi jangan sampai hilang harga diri. Mari kita lihat dulu tanda-tanda merasa rendah diri yang kronik:


1. Menyalahkan orang lain atau keadaan terhadap apa yang berlaku pada kita.

Bila menyalahkan orang lain atau keadaan, bererti anda tidak mampu untuk menerima kesilapan anda dan tanggungjawab anda.
Bila anda tidak mahu bertanggungjawab atas perlakuan anda, sebenarnya andalah yang akan menerima akibatnya.

Penyelesaian: Anda perlu terima dan bertanggungjawab atas setiap perlakuan anda.

Buat pilihan yang tepat untuk mendapat kesan yang baik.

Bila kurang rasa harga diri, anda sentiasa berada dalam suasana penafian ("state of denial"). Anda tidak boleh terima perkara yang tidak boleh diterima akal anda.

Apabila perkara itu terjadi juga, anda akan merasa dilukai. Jika perkara itu berlaku berulang kali, sudah tentu anda terluka berkali-kali pula.

Penyelesaian: Adalah lebih baik anda belajar menerima perkara yang anda tidak suka dari terus manafikan. Lebih baik berlapang dada dan terima sebagai takdir.


2. Tidak boleh mempamerkan perasaan anda.


Bila marah, anda tidak tahu nak tunjukkan.
Bila keseorangan, anda diam kerana tak mahu dikatakan membosankan.

Penyelesaian: Lebih baik memaparkan apa yang kita rasa dari memendam rasa.

Bila disuruh, anda akan lakukan walaupun anda tak mahu lakukannya. Keupayaan anda mungkin disalahgunakan oleh orang lain.

Penyelesaian: Belajar berkata "tidak" dalam keadaan yang sesuai


3. Tidak boleh terima dan memproses kritik.

Bila dikritik, anda ambil serius dan merasa diri sangat tidak berguna. Harga diri anda sangat penting pada anda, jadi kritikan ini akan menjatuhkan lagi harga diri yang telah sedia rendah itu.

Penyelesaian: Anda mahukan pujian dan sanjungan.


4. Pessimistik = berfikiran negatif.

Bila anda berfikir - "tidak ada hari yang cerah" atau "tidak boleh terima sesuatu perkara boleh menjadi silap" atau "tidak boleh terima kesilapan" - bermakna anda tidak yakin dengan kebolehan anda untuk menangani / mengubah sesuatu kesilapan itu.


5. Ketagihan.


Ramai orang yang terjebak dengan ketagihan - judi, arak, seks, dadah, internet dsb - kerana mahu mengisi kekosongan dalam hidup. Ini berpunca dari cara berfikir mereka menyalahkan keadaan, menyalahkan orang lain, menyalahkan sistem dll, dan tidak mahu bertanggungjawab mengubah diri mereka sendiri.

Kesimpulan, banyak masalah sosial disebabkan oleh rasa rendah diri yang kronik.

Bayangkanlah, jika kita yang normal ini pun sudah sampai ke tahap begini, bagaimanalah untuk OKU menanganinya,


6. Tidak membuat keputusan atau pilihan.

Bila tidak membuat keputusan atau pilihan untuk diri anda sendiri, anda membenarkan orang lain dan keadaan untuk mengawal diri anda.

Bila berlaku sesuatu yang buruk atau tidak seperti yang dijangkakan, anda akan menyalahkan orang lain dan keadaan.

Penyelesaian: Yakinlah bahawa setiap makhluk dijadikan Allah - sihat dan sempurna.

Setiap makhluk diberikan peluang hidup, menikmati kehidupan dan berbakti untuk sekelian alam.



Bagaimana membina harga diri?
-----------------------------



1. Cintailah diri sendiri.

Terima diri anda seadanya. Bahagia dan selesa dengan diri sendiri. Ambil masa untuk mengenal diri anda sendiri:
- catat kebaikan dan keburukan yang ada dalam diri anda.
- apa yang anda suka, benci, minat.
- apa pula kepercayaan, harapan, cita-cita, prinsip dan matlamat hidup anda.
- salah satu cara untuk merasa selesa dengan diri sendiri ialah dengan banyak memberi, terutama kepada yang kurang bernasib baik dari kita. Berikan kasih sayang, pertolongan, masa, wang dan lain-lain lagi.

INGAT!

Kita adalah apa yang kita fikirkan.


2. Bergaul dengan orang-orang yang menerima anda sebagaimana yang anda suka.


- orang yang boleh terima bahawa setiap orang tidak sempurna.
- orang yang jujur, di hadapan baik, di belakang pun baik.
- orang yang hampir dalam keluarga/ahli keluarga.
- orang yang tidak menghukum bila anda buat silap.
- jangan bandingkan orang lain dengan anda sendiri, setiap orang berbeza, dan setiap orang ada misinya tersendiri.

INGAT!

Tuhan menjadikan anda untuk suatu tujuan, dan hanya anda boleh melakukanknya.
Oleh itu, bertindaklah kerana anda dilahirkan punya tujuan dan makna.
Jangan sia-siakan peluang ini!




Kesimpulan, rasa rendah diri boleh dibaiki. Sekarang ini, sokongan dan perkhidmatan kaunselor dan pakar psikologi sudah mula bercambah di negara ini. Selain itu, tambahkan ilmu melalui pembacaan untuk mencapai kebahagiaan hidup.




Rujukan:
http://selfesteembuilding.net/signs-of-low-self-esteem/
http://selfesteembuilding.net/watch-out-for-low-self-esteem-symptoms/

Tuesday, January 3, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Tahun baru menginjak lagi
Semakin bertambah usia, semakin tua
Dunia dan apa yang terkandung di dalamnya

Apakah akan ada sinar bahagia untuk hari seterusnya?
Apakah akan ada perubahan terhadap belenggu2 ku?
Apakah akan datang keajaiban mengubah apa yang aku tidak suka?
Apakah akan datang lebih banyak ujian?

Betul, semua yang terjadi sudah ditakdirkan
Tetapi, kadang2 syaitan menguasai diri
Memikirkan yang bukan-bukan
Bagaimana mengawal diri?
Kita memburu ikhlas, bukan untuk menunggu ikhlas

Saturday, December 31, 2011

2011 Tinggal Kenangan

Tahun 2011
Ku tinggalkan bersama kesedihan
Yang belum pudar
Menyatakan selamat jalan kepada Mak
Yang telah berangkat ke alam barzakh
Alam baru buatnya
Yang pasti dihadapi oleh setiap insan

Yang pergi pasti tidak kembali
Hidup masih perlu diteruskan
Dalam menyempurnakan aktiviti harian
Usaha perlu diteruskan
Meneroka peluang rezeki baru
Bersama harapan baru
Apa yang suka/minat dan pandai dibuat
Apa bakat terpendam yang belum terserlah
Apa kerja yang boleh dikembang
Yang meninggalkan legasi

Dua ciri utama usahawan berjaya
Kekuatan untuk mendapatkan kredibiliti
Amanah untuk mendapatkan kepercayaan

Agar kehidupan mendapat berkat
Disamping meraih pahala
Menabur saham untuk akhirat

Friday, November 25, 2011

Aktiviti cuti sekolah


Tidak ada apa lagi yang lebih menggembirakan Balqis selain dari berada di depan laptop.




Setiap hari, dia akan mencari laptop mana yang tiada pengguna, terus saja masuk "youtube". Setiap laptop di rumah ni, dimestikan ada satu akaun ID Balqis, yang tak perlu masuk password untuk log on.

Memang internet di rumah ni tak boleh berhenti operasinya.



Di "youtube", biasanya Balqis suka "Mr Bean", "Ultraman", "Barney" dan lain-lain watak kartun Disney. Dia akan pilih sendiri mana video klip yang dia suka, dan dia boleh menghabiskan masa berjam-jam di depan laptop.


Sunday, November 20, 2011

Majlis Graduasi Untuk Anak Istimewa

Sekolah Balqis telah mengadakan sambutan Hari Graduasi untuk anak-anak istimewa yang akan berpindah ke sekolah menengah.


Hadiah untuk Balqis

Sambutan sungguh meriah, ramai ibubapa yang menyertai majlis itu. Seronok juga saya dapat berjumpa dan bertukar cerita dengan ibubapa yang lain. Sudah tentulah kecoh, kerana ibubapa sibuk melayan anak masing-masing. Pihak sekolah pula telah menyediakan aturcara yang sangat fleksibel.

Selain makan, pihak sekolah juga memberi hadiah untuk semua murid-muridnya. Ramai ibubapa yang menaja hadiah untuk majlis ini. Cabutan nombor bertuah pun ada.



Apa isinya??



Memang rezeki, saya dapat hadiah cabutan nombor bertuah yang paling besar (sebijik oven!!).Kata cikgu, hadiah yang saya dapat ni, semua orang pun teringin. Alhamdulillah!

Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini.



Bagi Balqis pula, walaupun usianya akan mencecah 13 tahun pada tahun depan, tetapi saya masih berfikir-fikir, adakah dia perlu pindah ke sekolah menengah atau tidak. Kemampuannya sangat terbatas, tak boleh urus diri dan tak boleh ikut arahan.

Jadi, saya tidak tahu samada perlukah dia menyambung persekolahan menengah. Mungkin buat masa ini, dia akan terus menyambung di sekolah rendah sekarang.


Thursday, November 17, 2011

Menanti keputusan

Hari ni result UPSR keluar
Kalau Balqis seorang anak normal
Aku juga pasti berada ke sekolah sekarang
Menantikan keputusannya

Tapi inilah yang telah ditetapkan untukku
Ada 4 anak, tapi 1 tidak perlu ambil UPSR
Malah, apapun tidak boleh dibuat sendiri
Semua perlu dibantu
"everything needs to be prompted"

Walaupun perkara semudah menuang air ke dalam gelas
Masih perlu dibantu
Kesabaranku juga selalu tercabar
Setiap kali mengurus dirinya
Kerisauanku berpanjangan
Tentang masa depannya tanpaku di sisi
Tapi aku terus melatih diri
Untuk redho dan terima anak ini dengan hati terbuka

Cikgu di sekolahnya pun seperti lebih gembira
Kalau dia terusan tidak hadir
Di mana kasih sayang?
Di mana rahman dan rahim?
Di mana empati?
Di mana simpati?
Di mana perhatian?
Untuk anak istimewa sebegini

Aku tiada jawapannya
Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa
Aku tidak berdaya membetulkannya
Kerana aku juga hamba Allah
Yang mahu mengabdikan diri untuk Allah
Dengan apa saja kurniaanNya
Untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik

Friday, November 4, 2011

Diriku dan alam semesta



Saya ke klinik kerana asyik batuk-batuk sepanjang malam. Tidur terganggu dan berasa letih. Apabila diperiksa doktor, dia mengatakan yang tekanan darah saya rendah. Terlalu banyak kahak di dalam paru-paru kecuali bahagian kiri sebelah depan, akibatnya oksigen tidak dapat masuk.

Bagaimana mahu bekerja kalau sakit-sakit?
Bagaimana mahu beribadah kalau sakit-sakit?

Begitulah lemahnya kita yang bernama manusia ini. Hanya sedikit kekurangan, sudah membawa mudarat kepada badan kita. Amat mudah untuk Allah melakukannya.

Dari sudut yang lain, saya sudah lama berminat melihat angkasa lepas, sejak di sekolah menengah lagi. Pada masa itu, saya selalu menonton satu rancangan TV yang dikendalikan oleh Carl Sagan, yang menjadikan saya sangat teruja menikmati keajaiban alam semesta. Semasa di universiti, saya telah membeli beberapa buku berkenaan penerokaan angkasa lepas. Begitu juga bila ke perpustakaan, saya menghabiskan masa di bahagian astronomi. Tapi minatku hanya tinggal di situ, setelah begitu lama bekerja dan berkeluarga.

Baru-baru ini, saya menelusuri www.space.com membuat saya kembali berminat terhadap angkasa lepas. Kali ini, ia lebih bermakna kerana saya dapat merasakan bahawa ini semua ciptaan Allah. Kejadian langit yang luas itu benar-benar membuatkan diri terasa kerdil. Kita tidak lebih dari sebesar habuk halus jika hendak dibandingkan dengan angkasa raya yang luas dan masih mengembang. Cantiknya alam semesta ini, tidak ada cacat celanya. Gabungan gas-gas berupa asap, debu-debu dan entah apa lagi itu menghasilkan imej yang sangat cantik. Semuanya beredar pada orbit yang sudah disusun oleh penciptanya. Ada pula yang masih dalam peringkat berkembang biak menjadi gugusan bintang-bintang baru. Ada juga yang hampir menemui penghujungnya.

Subhanallah. Allahu Akbar.

Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.
Dan bumi itu Kami hamparkan; maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami).

- Al-Quran 51:47 - 48 (Surah Adz-Dzaariyat Ayat 47 dan 48)


Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.
Dan Dia-lah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan, Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.

- Al-Quran 13:2 - 3 (Surah Ar-Ra'du Ayat 2 dan 3)

Ciptaan Allah bukan saja di langit, seisi semesta alam ini, malah dapat dilihat pada tubuh badan manusia dan segala makhluk di dasar laut paling dalam. Dalam masa yang sama, saya tersedar tentang kewujudan makhluk yang bernama "aku" ke dunia ini. "Aku" yang hanyalah sebesar habuk halus jika dibandingkan dengan angkasa raya yang luas terbentang. Tidak kira sekecil manapun ciptaan Allah itu, pasti ada sebabnya. Setiap ciptaan Allah itu ada tujuannya, termasuklah kenapa "aku" dijadikan. Hidup kita ini hanyalah untuk menumpang, diberi waktu yang singkat pula untuk menyediakan bekalan, kemudian pergi ke alam yang seterusnya.

Benarlah firman Allah, semuanya itu adalah tanda-tanda kebesaran Allah bagi yang mahu memikirkan. Kenali ciptaan Allah maka akan dapat pula kita kenali diri kita sendiri.

Apakah waktu yang terluang itu hanya untuk disia-siakan atau untuk menjadi rahmatan lil 'alamin?

Astaghfirullahal 'azim. Fikir-fikirkanlah.


Wednesday, August 10, 2011

Melayan hobinya


Sinar matanya...


Gambar ini telah diambil oleh kakak Balqis semasa dia bermain-main di bilik. Dia amat gembira bila ada kakak atau abangnya pulang bercuti.

Bila ada tetamu, dia tak boleh tengok pintu bilik bertutup atau berkunci. Susah dia nak masuk! Dia suka "bersidai" bersama tetamu tu. Dia hanya mahu dilayan seperti seorang kawan. Kadang-kadang aktiviti yang sama saja, tengok "youtube".




Minatnya kat
Harry Potter

Antara hobinya, menonton filem bersiri "Harry Potter".

Sama seperti menonton Barney, Harry Potter juga berjaya menarik perhatiannya. Namun tidak seperti Barney, bila menonton terlalu banyak Harry Potter, Balqis akan jemu juga.

Melihat CD Harry Potter pun dah cukup menggembirakan, kerana dia dapat mengenali gambar Harry Potter di kulit CD tu.

Friday, December 10, 2010

Masalah kulit berpanjangan




Tiada kurangnya
Kaki bermasalah lagi. Mula-mula "eczema" biasa tapi bila berlarutan, entah apa lah pulak jenisnya. Teruk bukan?

Kulit menjadi tersangat kering dan merekah. Lagi lah bertambah sakit. Mujur Balqis bukan jenis merengek, tapi sudah tentu sakit.

Sudah ramai doktor ditemui termasuk doktor pakar kulit.kebanyakannya memberi krim sapu saja.

Akhir sekali, ke doktor pakar, yang penyelesaiannya dengan memberi antibiotik. Tapi antibiotik yang lebih berkesan, hanyalah dalam bentuk tablet.

Macam mana Balqis nak makan? Yang sirap pun dah susah nak suap, inikan pulak yang tablet. Alamak!!

Kemudian Allah mendatangkan satu lagi penyakit kepada Balqis. Dia terkena jangkitan saluran kencing (urinary track infection - UTI). Letih mengatur waktu kencingnya kerana dia tak boleh kawal bila mahu membuang air kecil. Di sekolah, dia selalu "accident" hingga cikgu menelefon saya kerana kehabisan seluar.

Doktor telah memberi antibiotik untuk UTI yang dialami Balqis. Antibiotik kali ini dalam bentuk cecair. Melihatkan Balqis masih belum pandai ke bilik air, saya fikir, "Tak cukup satu dos kot....", saya berjumpa lagi dengan doktor untuk menyambung antibiotik lagi.

Rupanya antibiotik untuk UTI itu telah juga mematikan kuman untuk kakinya. Alhamdulillah, selepas itu, kakinya pun dah baik juga.

Pengalaman ini mengajar saya untuk :
  • lebih berhati-hati di dalam menjaga kebersihan luarannya,
  • lebih berdisiplin dalam menyapu ubat-ubatannya - kadang-kadang terlupa atau datang malas. Sangat perlu juga ubat mesti disapu selepas mandi semasa kulit tengah lembut lagi,
  • perancangan Allah maha cermat - terasa seperti "blessings in disguise" tapi amat melegakan. Allah merancang segalanya, kita hanya usaha.



Thursday, July 15, 2010

Buat duit dari rumah setiap hari

Saya masih mengumpul semangat untuk memulakan kerja dari rumah. Bidang ini sudah bercambah dengan galaknya sejak kebelakangan ini. Trend masa kini telah membuktikan bahawa bekerja dari rumah boleh dilakukan dan menguntungkan. Namun saya masih di sini, belum memulakannya, keyakinan masih belum bertapak lagi, asyik datang dan pergi.

Di bawah ini, dipaparkan beberapa tip yang saya kutip sepanjang pembacaan saya untuk dijadikan panduan bagi meneruskan cita-cita untuk bekerja dari rumah ini. Saya memfokuskan kepada tip bekerja menggunakan internet sebagai tapak perniagaan.

a) tip persediaan untuk mula bekerja dari rumah

1. sediakan tempat khusus utk bekerja - pastikan tempat itu seperti pejabat sebenar, tidak mudah diganggu anak kecil dan sediakan minda untuk fokus terhadap kerja.
2. blok masa untuk bekerja - ikut kesesuaian diri sendiri, umumkan kepada semua ahli keluarga tentang masa kerja anda.
3. beri perkhidmatan yang pantas - sediakan mesin menjawab panggilan telefon dan peti simpan suara. Balas emel atau SMS secepat mungkin.
4. sentiasa bawa kad business - cara promosi paling mudah untuk perniagaan anda.
5. buat rancangan perniagaan - 'business plan template' banyak boleh didapati di internet. sediakan senarai semak perkara yang perlu disiapkan dan belajarlah menepati 'target date' anda. Matlamatnya, berapakah pendapatan yang anda mahu buat mengikut jam bekerja.


b) tip mengurus masa

1. utamakan keutamaan - jangan sampai tugas utama terabai dek kerana perkara-perkara lain.
2. cari jalan memudahkan dan memendekkan masa untuk tugas rutin harian anda. Tidak dinafikan tugas rutin harian rumahtangga tidak ada penghujungnya, jadi amat perlu untuk menjimatkan masa. Contohnya, 'defrost' bahan beku sebelum tidur malam untuk dimasak esok pagi, kupas/tumbuk bahan perencah untuk seminggu dan simpan dalam peti sejuk. Contoh lain pula ialah, masak sekali saja untuk dimakan sehari suntuk. begitu juga dengan kain baju, basuh hanya apabila bakul sudah betul-betul penuh.
3. atur kerja anda di celah-celah tugas rutin rumahtangga anda - guna sebanyak mungkin masa yang berbaki untuk bekerja. Lawan perasaan mengantuk, atau menonton cerita kesukaan di TV. Lebih baik mendengar radio dari menonton TV.


c) tip melayan anak kecil sambil bekerja

1. gunakan waktu anak tidur atau ke sekolah untuk kita bekerja.
2. 'declare' sempadan kawasan bekerja anda, supaya anak-anak faham, bila anda di situ bererti ibunya sedang bekerja.
3. jika anak tidak boleh ditinggal sendirian, sediakan permainan untuknya berdekatan tempat kerja anda, supaya anak boleh bermain sendiri. Bagaimanapun, anda tidak digalakkan menjawab telefon kerana pelanggan akan terdengar suara anak kecil di belakang dan ini menampakkan anda tidak profesional.


d) tip melawan kesunyian

1. sertai egroup atau laman 'networking' yang bersesuaian dengan apa yang anda lakukan.
2. contact semula kawan-kawan lama dan bertanya khabar mereka.
3. bertegur sapa dengan jiran-jiran sekeliling.
4. buat perjumpaan dengan kawan-kawan lama, saudara mara di hari cuti.


e) tip mengawal stres

1. rancang waktu kerja mengikut P.A.R ('priority' = keutamaan, 'ability' = kemampuan , 'reality' = keadaan semasa). Beri keutamaan untuk menyudahkan kerja yang perlu siap dalam masa terdekat.
2. jangan bertangguh - ini adalah latihan untuk mendisiplinkan diri. Terus gunakan masa terluang untuk bekerja. Bila bertangguh, kerja akan bertimbun di hujung waktu, maka akan menambahkan stres.
3. bersenam - lakukan sekurang-kurangnya 20 minit tiap hari.
4. setelah kerja siap, 'reward' diri anda dengan sesuatu yang anda suka. Contoh berkunjung ke spa, makan aiskrim dengan coklat atau menonton TV.
5. kawal marah anda.
6. luahkan masalah, jangan memendam rasa di dalam hati.
7. bermunajat kepada Allah, kerana Dialah tempat untuk memohon segalanya.


f) tip meningkatkan keyakinan diri

1. bergaya, bersolek, kemas walaupun di rumah.
2. jaga kecantikan luaran dan dalaman.
3. disiplinkan diri. Sediakan mental anda untuk berani keluar dari zon selesa. Bermula 10 minit lebih awal dari biasa untuk memastikan anda menepati masa.
4. baca buku-buku motivasi dan tambah ilmu tentang bidang/produk perniagaan yang anda ceburi.
5. dapatkan sokongan ahli keluarga. Tunjukkan usaha dan semangat anda dalam perniagaan anda. Minta mereka doakan supaya anda terus berjaya.


g) tip mengatasi masalah kurang wang

1. berbelanja mengikut pendapatan.
2. rancangan perbelanjaan bulanan - guna 'sistem sampul surat' yang sangat berkesan.
3. jangan membazir - beli apa yang perlu saja, bukan apa yang mahu.
4. jangan mudah termakan pujuk rayu penjual dan jualan murah bermusim.
5. hasilkan sesuatu yang produktif - jika tidak, jual produk orang lain. Setiap manusia pasti mempunyai minat atau kemahirannya yang tersendiri. Gunakannya untuk menjana pendapatan.
6. amalkan solat sunat dhuha dalam usaha supaya Allah lapangkan rezeki.


h) tip berniaga

1. mahu jual perkhidmatan atau produk?
2. dapatkan bekalan dengan kos terendah.
3. intai pesaing anda melalui enjin carian. Bandingkan kelebihan dan kelemahannya.
4. sediakan laman web - kandungannya mesti menjual, perlu ada kemudahan untuk berkomunikasi, membuat pesanan dan membuat pembayaran.
5. promosi, promosi, promosi - guna segala bentuk media.

Bersediakah anda untuk bekerja dari rumah?

1. apakah sebab utama anda mahu bekerja dari rumah?
2. apakah kesannya ke atas keadaan kewangan anda?
3. adakah anda betul2 berazam untuk keluar dari zon selesa anda sekarang?
Jawapan anda untuk soalan di atas haruslah meyakinkan diri anda sendiri, seterusnya ahli keluarga anda.

Bersediakah anda untuk bekerja dengan komputer?

1. selesakah anda menggunakan komputer dalam jangkamasa yang lama?
2. sanggupkah anda meluangkan masa, wang dan tenaga untuk ini?
3. adakah ahli keluarga menyokong usaha anda?
Jika jawapan anda adalah 'ya' kepada semua soalan di bawah, bermakna anda boleh teruskan tindakan anda.

Apa lagi yang dinanti?
Beza antara seorang yang berjaya dengan orang lain bukan kurangnya kekuatan atau pengetahuannya, tetapi kurang keinginannya.