Labels

Friday, March 21, 2008

Pentingnya bersabar




Kesabaran amat perlu dalam hidup ini, seperti satu lautan luas.

Semasa mendapat tahu tentang masalah Balqis, saya mula-mula amat bersemangat untuk membetulkan keadaannya. Saya memasang cita-cita yang tinggi untuk melihat dia berubah menjadi seperti kanak-kanak lain.

Saya memulakan senarai perkara-perkara yang perlu dia fahami dulu, paling minima untuk dia terus hidup sendiri. Antaranya ialah:
1. mengurus diri sendiri seperti ke tandas
2. bercakap
3. membaca
4. mengira
5. membeza

Sayapun mencari cara-cara untuk melakukan semuanya.
Apa yang berlaku, tidak seperti yang saya jangkakan. Kita nampak sesuatu perkara itu mudah mengikut turutannya, tetapi tidak bagi Balqis. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.

Ambil contoh, kemahiran memberitahu bila hendak ke tandas.
Dia harus faham tentang rasa tidak selesa bila hendak membuang air. Panggil ibu atau pembantu untuk bawanya ke tandas. Selepas membuang air, perlu basuh dan pam. Saya dapati dia terlalu risaukan tidak buang air hingga terlupa untuk membasuh. Mungkin juga dia tidak tahu apa tujuannya perlu ke tandas!

Walaupun proses ini telah diulang berkali-kali beberapa tahun, dia masih belum boleh berdikari lagi. Lantaran itu, saya terpaksa menukar kepada kaedah membawanya ke tandas mengikut masa.

Entah bila dia boleh berdikari, tapi saya akan terus mencuba. Mesti diulang beribu kali sebelum dia faham maksudnya.

Akhirnya saya terus melupakan juga tentang menetapkan jangkamasa untuk dia mencapai sesuatu. Tidak boleh ada "target date", tetapi dia perlu diberi sokongan untuk melakukan sendiri. Saya hanya perlu mengulang berkali-kali setiap perkara, sehingga ia menjadi sebahagian dari hidupnya.

Ada pula seorang kenalan yang mempunyai anak istimewa yang tidak boleh langsung bergerak. Jadi penyelesaian kepada masalah ke tandas tidak timbul sama sekali, dia hanya dipakaikan lampin pakai-buang sepanjang masa.

Berbagai cara kita diuji Tuhan. Bagaimana kita menanganinya? Bolehkah ujian-ujian itu dihalang? Tidak terdaya, kita hanya insan biasa yang lemah dan berhajat segala-galanya.


Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
- Al Quran 2:153 (Surah Al Baqarah Ayat 153)


Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,
(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"
Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
- Al Quran 2:155-157 (Surah Al-Baqarah Ayat 155 - 157)


Kata orang, sabar itu separuh dari iman. Seperti firman Allah, mintalah pertolongan kepada Allah dengan solat dan bersabar. Yang perlu kita lakukan sekarang ialah mendidik hati supaya belajar bersabar atas apa juga kurniaanNya.

Semoga usaha kita diberkati Allah.

Saturday, March 15, 2008

Tumble Tots

Sekadar memberi sedikit maklumat mengenai program ini.

Program in telah memberi munafaat kepada berjuta kanak-kanak seluruh dunia. Tumble Tots percaya bahawa setiap anak harus diberikan peluang untuk mengalami keseronokan membesar, cabaran-cabaran membangunkan kemahiran diri dan melahirkan rasa puashati dan keyakinan diri.

Setiap sesinya menggabungkan keceriaan, keseronokan dan cabaran di dalam suasana yang selamat dan prihatin. Sesi-sesi dijalankan oleh pembantu yang berpengalaman. Aktivitinya bukan saja membangunkan daya seimbang, koordinasi dan memanjat, tetapi juga kemahiran melihat, mendengar dan berkomunikasi.

Saya dapati program ini sesuai dengan anak saya kerana dia dapat menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran yang menggembirakannya. Walaupun dia agak takut untuk bercampur dengan orang lain yang tidak dikenalinya, lama kelamaan ia menjadi biasa dan tidak takut lagi.

Aktiviti yang paling saya kagumi ialah sesi menyapa kawan-kawan atau "greet everyone". Setiap kali berkumpul, kanak-kanak disuruh duduk dalam satu bulatan. Kemudian setiap kanak-kanak diajak berdiri di hadapan dan memperkenalkan dirinya. Dalam satu sesi, Balqis telah pergi ke depan untuk memperkenalkan dirinya dan cuba berkata sesuatu (walaupun tiada apa yang keluar).

Program ini agak terhad kepada kanak-kanak dibawah 7 tahun, bukan kerana kaedahnya tetapi kerana hanya kanak-kanak dalam golongan itu saja yang diterima masuk. Apabila Balqis meningkat dewasa, saya terpaksa memberhentikan sesi kerana dia sudah terlalu besar di dalam kelasnya. Ini menyebabkan kanak-kanak hairan melihatkan dia.

Kalaulah ada pusat seumpama ini khusus untuk anak-anak istimewa, tentu ramai anak istimewa yang boleh dibangunkan dengan jayanya...


Rujukan: http://www.tumbletots.com.my/index.html

Saturday, March 1, 2008

Apa ada pada "label"?

Saya tidak percaya pada "label".
Saya hanya mahu tahu apakah masalah anak saya ini. Dari situlah bermulanya pencarian saya, seawal tahun 2003, ketika itu anak saya, Balqis sudah meningkat usia 4 tahun.

Penilaian di Nury, menunjukkan bahawa perkembangan otak Balqis adalah 38 bulan lambat daripada biasa. Umurnya mengikut tarikh lahir ("chronological age") 48 bulan, tetapi umur otaknya ("neurological age") hanya 10 bulan. Untuk kanak-kanak yang normal, kedua-dua umur itu haruslah sama. Ini menunjukkan kecederaan otaknya boleh dikatakan serius, kerana jarak perbezaan 38 bulan itu besar.

Kemudian saya mendapatkan pandangan seorang pakar psikologi klinikal yang mengatakan perkembangan anak saya dalam umur 2.5 tahun. Penyebab keaadaannya jadi begitu ialah Cerebral Palsy (CP). Lalu saya mencari di internet, apakah benar anak saya menghidap CP? Jauh di sudut hati, anakku bukan begitu.

Pada tahun 2008, sesudah dua tahun berlalu, pakar psikologi yang sama telah menilai semula perkembangan anak saya. Kali ini dia mengatakan ini Attention Deficit Disorder (ADD). Lalu saya sekali lagi mencari di internet. Seperti dijangkakan, label ini lebih menepati ciri-ciri yang ada padanya, tetapi masih terlalu umum.

Bagi pihak kerajaan pula, di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan di sekolah kerajaan menggunakan kategori berikut:
a) masalah penglihatan
b) masalah pendengaran
c) masalah fizikal
d) masalah pembelajaran - di sinilah dikumpulkan semua jenis masalah pembelajaran seperti ADHD, autisme, dyslexia dan lain-lain lagi.

Apabila melayari website berikut, saya dapati bermacam-macam masalah yang bersangkut paut dengan otak kita. Bersyukurlah dengan apa yang Tuhan beri, sesungguhnya ada orang lain yang lebih menderita dari kita. Subhanallah!

http://emedicine.medscape.com/neurology

Seorang pakar terapi pertuturan pula mencadangkan label "dyspraxia". Saya mencari maklumat tentangnya lagi di internet. Setakat ini, "dyspraxia" adalah definisi terdekat bagi masalah yang dialami oleh anak saya. Dalam bahasa yang mudah, anak saya mempunyai masalah lembam ("developmentally slow"). Mungkin juga ada masalah bertindih, dari kurang daya berfikir hingga menyebabkan masalah pertuturan.

Untungnya memberi label...

Jika label yang diberi itu tepat, ia akan memudahkan ibubapa mencari maklumat dan rawatan yang sesuai dan berkesan untuk si anak. Selain itu, di negara kita ini, ada tendency bagi mewujudkan persatuan bagi pengidap masalah/penyakit yang sama, dengan ini dapat memberi sokongan moral dan emosi dengan mereka yang senasib.

Ruginya memberi label...

Jika label yang diberi itu tidak betul, ia pasti menyinggung hati ibubapa. Kredibiliti pakar yang memberi label juga akan tercemar.
Jika label yang diberi lari jauh dari masalah sebenar, rawatan yang diberi mungkin tidak akan membantu si pengidap.

Kesimpulannya, label boleh membantu sekiranya dibuat dengan tepat.
Walaubagaimanapun, kepakaran untuk mengenalpasti label yang betul dan tepat itulah yang masih kurang di negara kita ini. Adakalanya pula terdapat masalah yang berkait mahupun bertindih, yang boleh merumitkan lagi proses melabel itu sendiri.