Kebiasaannya apabila terjadi sesuatu kepada anak, ibunyalah yang banyak berkorban. Berkampung di hospital sudah menjadi lumrah bagi ibu-ibu yang menjaga anak yang sakit. Di setengah tempat, penjaga pesakit juga dibekalkan makanan oleh pihak hospital. Amat jarang untuk melihat seorang bapa yang menunggu, kalau ada tu, memang saya "tabik spring".
Setelah saya menerima kenyataan bahawa anak saya mempunyai masalah, saya juga menerima hakikat yang sayalah yang harus berkorban. Saya tidak boleh tunggu orang lain membuat keputusan untuk diri saya. Ketika saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, ramai yang menyokong dan ada juga yang menentang.
Pelbagai pertanyaan menghantui fikiran ketika itu.
Adakah aku mampu hidup tanpa bekerja?
Adakah aku sanggup meninggalkan kawan-kawan sekerja?
Apakah kerja yang akan aku lakukan dari rumah?
Tapi saya nekad untuk berhenti kerja walaupun amat berat meninggalkan kerja yang sudah stabil.
Antara hasil jangka pendek yang terus dirasakan ialah peluang berada di rumah melayani ahli keluarga itu lebih banyak. Anak-anak sangat gembira bila emaknya sentiasa di rumah. Fikiran mereka lebih tenang bila ada tempat untuk mengadu masalah atau menyiapkan "homework" yang tersangkut.
Sekali sekala, dapat pula menyapu sampah di laman rumah dan bertegur sapa dengan jiran-jiran serta pembantu-pembantu rumah di sekeliling.
Saya jadi lebih memahami tentang kerja-kerja rumah yang tidak ada penghujungnya.
Saya mengambil masa hampir setahun untuk membiasakan dengan jadual waktu yang baru itu. Kekuatan fizikal benar-benar teruji apabila pembantu rumah saya "balik kampung" untuk bercuti, langsung terus berhenti. Di masa yang sama, saya pula diserang demam virus yang menyakitkan dan melenguhkan, tiada selera makan dan hanya mahu berbaring saja. Selepas bangun dari demam itu, saya bingkas memikirkan tentang diri saya sendiri. Apa akan jadi kalau suri rumah ini tumbang? Seluruh rumah tangga itu juga akan tumbang. Tanpa pengurusan sang ibu, rumah akan menjadi tunggang langgang. Itulah pengajarannya, saya harus sentiasa sihat - di hati, fikiran dan fizikalnya.
Adakah pengorbanan ini satu ibadah?
Begitulah caranya saya menenangkan hati. Apa yang saya lakukan setiap hari dianggap salah satu saluran saya beribadah kepada Allah. Tuhan juga mengatakan bahawa apa saja yang kita lakukan, lakukanlah sebaik-baiknya. Jadi sementelah saya ditakdirkan menjadi suri rumah, lakukanlah tugas itu sebaik-baiknya.
Sayalah menteri kewangan, menteri pengangkutan, chef di dapur, tukang kemas, mop, proses kain baju dan menteri segala-galanya. Apapun sentiasa berusaha ke arah mengutamakan suasana keislaman di rumah. Alhamdulillah, suami dan anak-anak juga jadi lebih memahami. Terasa lebih berkat rumah kami ini.
Berbaloikah pengorbanan ini?
Masih jauh untuk menentukan dan ia akan terus menjadi satu kemungkinan. Yang pasti, pengorbanan berhenti kerja saya ada hikmahnya untuk keluarga saya keseluruhannya. Bukan dari segi wang ringgit, tetapi kebahagiaan dan ketenangan fikiran.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteseronok dengar keberanian orang berenti kerja...saya dah lama teringin utk berenti kerja
ReplyDelete