Saya sekadar mengambil peluang ini untuk merekodkan apa yang Balqis suka dan tidak suka kerana dia sendiri sudah pasti tidak akan dapat memberitahu apa yang dia mahu. Oleh kerana sepanjang masa, dia hanya di rumah dengan saya, kadang-kadang timbul kebimbangan samada Balqis boleh tinggal dengan seorang penjaga selain saya. Saya juga harus memikirkan apa yang perlu saya sediakan sekiranya saya terpaksa berjauhan dengannya, seperti pergi menunaikan fardu haji.
Tujuan saya menulis ini adalah semoga artikel ini menjadi rujukan kepada sesiapa saja yang perlukan maklumat sekiranya saya sudah tiada. Harapan saya juga agar Balqis dapat terus hidup selesa dengan penjagaan yang diperlukannya, sehingga ke akhir hayatnya.
Kemahiran yang sedia ada
1. membuat pilihan - jangan beri lebih dari dua pilihan. Tiga dan lebih banyak akan mengelirukannya.
2. meminta sesuatu - kebiasaannya, dia akan mengetuk, atau menunjuk kepada apa yang dia mahu. Kalau barangan itu di dalam beg plastik, dia akan cuba buka sendiri.
3. menyapu sampah dan mengaut dengan penyodok.
4. kemas diri - masih perlukan bantuan dalam segala serba serbi. Mandi, buang air hinggalah memakai baju masih perlukan pertolongan orang lain.
5. kefahaman - perkataan yang sudah biasa dengannya, dia sudah faham. Cuma dia tidak boleh keluarkan sendiri. Antara perkataan yang dia biasa dengar ialah "no", "tak boleh", "wash hand", "letak", "simpan", "ambil", "tutup", "buka", "mandi", "gosok gigi", "buang".
Minuman kesukaannya
1. susu perisa coklat - terutama yang sejuk. walaupun begitu, terlalu banyak susu mungkin menyebabkan sakit tekak kerana alahan.
2. air berkabonat 100 Plus - terutama yang sejuk.
3. air masak - tuangkan kedalam botol air mineral untuk memudahkan dibawa berjalan. Sudah dibiasakan dengan air masak.
4. ketulan ais - campurkan ke dalam apa jua minuman di atas. Jika ke kedai makan, tempah saja satu gelas ais. Itu sudah cukup membahagiakan dia.
Makanan kesukaannya
1. nasi ayam - berserta supnya. Nasi lain yang berwarna warni tidak menarik perhatiannya. Dia takut mencuba sesuatu yang baru.
2. soto - dengan nasi impit. Biasanya dia boleh makan bermangkuk-mangkuk, suap sendiri.
3. nasi putih - dengan apa saja lauk/protein yang disenaraikan di bawah.
4. lauk / protein - telur goreng mata kerbau, tempe goreng, nuget ayam/ikan, hotdog ayam, keropok.
5. sayur - bayam, carrot putih atau labu air yang ditumis air. Sebarang sup sayur pun boleh tetapi dia tidak makan sayurnya. Kalau kita suap, sayur itu boleh diracik halus, kemudian disuap bersama nasi. Bila dia tidak nampak, dia telan saja.
6. sup - paling diminatinya sup ayam. Sebarang kuah gulai pun boleh, asalkan dari jenis sup. Kalau tidak, nasi menjadi terlalu kering.
7. biskut - paling diminatinya adalah biskut yang bercoklat.
Permainan kesukaannya
1. jigsaw puzzle - mulakan dengan puzzle 3 ke 4 keping dalam satu set. Boleh juga diberi puzzle abjad atau nombor. Biasanya dia bermain satu set sebelum tidur malam. Bagi setiap kepingan kepadanya, jangan biarkan dia mengambil sendiri kerana dia akan keliru dengan terlalu banyak pilihan.
2. permainan - binatang berbunyi, sambil kita membuat bunyi binatang itu. "Doll house" dan alatan memasak juga diminatinya, tetapi kita kena main bersamanya kerana dia mahu melihat contoh.
3. cartoon character - Barney the dinasaur, Clifford the red dog, Thomas the train, Sesame Street, Tarzan, Mr Bean - Live.
4. dari internet site - youtube.com dan search untuknya "kittens" atau apa saja binatang, "Mr Bean", atau "tarzan". Selain dari laman web cartoon character di atas, laman educational seperti "disney-asia.com", "starfall.com" juga selalu dilawatinya.
Diharapkan senarai ini dapat membantu dalam menjaga seorang OKU. Apa yang penting ialah dia sentiasa gembira dan boleh memberi tumpuan dalam apa yang dilakukannya.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.