TIADA siapa mahu anak yang dilahirkan cacat, namun sekiranya sudah ditakdirkan, tiada siapa mampu menghalangnya...
Apa yang penting, setiap pasangan perlu menerima ketentuan Ilahi dengan hati terbuka...dan tabah menempuhnya. Kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Menjaga anak istimewa bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai suka duka dilalui ibu bapa dalam memberi pendidikan kepada anak.
Ada antara mereka bukan saja terpaksa mengorbankan wang ringgit, malah masa, tenaga dan pekerjaan semata-mata untuk memberikan perhatian lebih khusus bagi memastikan anak istimewa mendapat pendidikan sempurna seperti insan normal lain.
Untuk menjadikan kanak-kanak istimewa ini cemerlang, ada caranya.
Menurut Pengurus Latihan, Promosi Program, Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Dzurinah Mohd Din Nury, ibu bapa tidak seharusnya berputus asa apabila anak tidak menunjukkan perubahan positif terutama apabila hanya selepas sekali dua membuat latihan.
"Komitmen ibu bapa amat penting dalam proses ini kerana sebahagian besar masa perlu ditumpukan kepada anak dan kerja pemulihan perlu dilakukan secara berterusan.
"Paling penting sepanjang tiga tahun pertama usia kanak-kanak. Pada tahap ini, otak kanak-kanak berkembang dengan cepat. "Setiap kanak-kanak istimewa yang dihantar ke Nury akan menunjukkan perkembangan positif selepas empat bulan pertama.
"Selepas itu, ibu bapa harus meneruskan latihan dari semasa ke semasa tanpa jemu. Sentiasa rangsang minda kanak-kanak kerana daripada mindalah mereka boleh bercakap, berjalan atau melakukan aktiviti lain," katanya. Antara latihan yang dijalankan di Nury ialah teknik merangkak, menjulur, berjalan, guling balak, bergayut, berlari dan berkawad.
Latihan fizikal ini bertujuan untuk menggerakkan minda supaya kanak-kanak ini cepat belajar dan aktif semula. Rangsangan kepada otak ini boleh membantu kanak-kanak ini berjalan dan bertutur sekiranya mereka mengalami masalah lembap dalam pertuturan dan berjalan. Program disediakan institut terbabit adalah usaha sama secara langsung dengan Institut Pencapaian Potensi Manusia, Philadelphia, yang membantu ibu bapa menyediakan program khas untuk anak mereka.
Menerusi program ini, mereka memberi garis panduan pelbagai kaedah bagi mendidik anak istimewa supaya menjadi lebih berkeyakinan dalam menghadapi kehidupan seharian. Kursus untuk ibu bapa yang berminat itu disediakan bagi mempelajari teknik meningkatkan pembangunan otak anak peringkat awal (sifar bulan) terutama untuk mereka yang mempunyai anak istimewa.
Ini termasuk anak yang mempunyai masalah lembap dalam pelajaran, autisme, hiperaktif, disleksia hinggalah anak sindrom Down dan cerebral palsy. Ibu bapa akan diberi tunjuk ajar dari segi teori, sosioemosi dan praktikal.
"Di Nury, kami percaya setiap anak istimewa itu boleh menjadi cemerlang sekiranya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ibu bapa. Kami juga sudah membantu ramai kanak-kanak agar mereka kembali normal menerusi latihan yang dijalankan di sini," katanya.
Dalam program ini, ia tidak menyerahkan kepada tenaga pengajar Nury semata-mata tetapi kerjasama serta komitmen berterusan daripada ibu bapa sangat penting. Ibu bapa perlu mengikuti kursus dua hari di Nury dan mereka akan diterangkan bagaimana menjaga anak istimewa dan apa yang Nury lakukan supaya ibu bapa tidak terkejut melihat latihan yang dijalankan. Program berkenaan turut memberi perhatian kepada amalan pemakanan berzat yang menjadi faktor pembantu kepada kejayaan pemulihan di institut terbabit.
Ibu bapa harus memberikan makanan yang berzat kepada anak untuk perkembangan otak mereka. Banyak makanan tidak seharusnya diberikan kepada bayi sejak mereka berusia enam bulan sehinggalah memasuki alam persekolahan. Antaranya makanan segera, makanan manis, coklat, gula-gula, minuman bergas dan makanan mengandungi asid seperti jeruk dan makanan masam. Ini kerana semua jenis makanan ini akan melembapkan minda kanak-kanak. Bayi juga harus dibiarkan melalui proses secara alami misalnya pada usia satu hingga lima bulan, mereka boleh menjulur, merangkak pada tiga hingga 14 bulan dan berjalan jatuh pada enam hingga 24 bulan.
Mereka seharusnya boleh berjalan dengan menghayun tangan pada 18 hingga 72 bulan manakala melakukan gerak-geri sepenuhnya pada 36 hingga 144 bulan. "Proses pergerakan bayi ini harus dibiarkan secara alami. Tetapi sekarang ibu bapa mahu anak mereka melalui proses yang cepat misalnya berjalan, lalu memberikan walker, secara tidak langsung akan merencatkan pertumbuhan kanak-kanak. "Proses menimang anak (dengan melambung-lambung) beberapa kali sangat baik supaya anak cepat bercakap," katanya.
Dzurinah menasihati ibu bapa supaya menunjukkan perangai yang baik kepada anak. Ini kerana anak akan membentuk perangainya berasaskan apa yang diperoleh daripada ibu bapa, adik-beradik, datuk, nenek, pengasuh dan persekitarannya. Mereka yang berdamping rapat dengan anak khususnya ibu bapa (pengasuhnya) perlu memahami dan menghayati beberapa perkara antaranya konsep kasih sayang, penerimaan, emosi dan bahasa emosi, kebenaran, bercakap, rangsangan, harapan serta disiplin membabitkan anak.
"Antara amalan yang dapat meningkatkan sosioemosi anak menerusi konsep kasih sayang. Kasih sayang itu akan dirasai melalui suara, nada bercakap, perkataan yang digunakan dan cara memegang anak. "Justeru, ibu bapa disarankan supaya selalu memeluk dan mencium anak supaya mereka berasa selamat di sisi ibu bapa," katanya. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Nury atau ingin menyertai kursus menjadikan anak cemerlang bagi kanak-kanak istimewa dan anak normal, boleh menghubungi talian 03-41075487.
Sumber : myMetro, 6 Januari 2010
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.