Labels

Monday, February 1, 2010

Ada saja yang kita hajati

Sebagai insan biasa, kita sentiasa berhajatkan sesuatu.
Lepas satu, satu. Tidak ada penghujungnya. Penghujungnya hanya kematian.

Selagi makhluk yang bernama manusia ini hidup, pasti ada saja yang dimahukannya. Adakalanya Sang Pencipta sudahpun menunaikan segala hajat kita, tetapi ada lagi hajat baru yang dimahukan.

Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.

- Al-Quran 35:15, 16, 17 (Surah Al-Fathiir Ayat 15, 16, 17)


Begitulah diakui oleh Allah, kita sentiasa berhajat kepadaNya. Allah yang mencipta manusia sebegini rupa kerana Dia tahu apa yang diciptaNya. Renunglah ke dalam diri, dan lihatlah apa yang boleh kita lakukan sendiri tanpa sentuhan Allah. Tanpa kita sedari, setiap inci tubuh badan kita tidak akan bergerak tanpa kasih sayang Allah. Setiap detik hati dan sel badan kita tidak akan berfungsi tanpa kasih sayang Allah. Allah yang Maha Kaya, yang tidak memerlukan apa-apa.





Sungguh lemah kita ini! Sedarkah kita bahawa apa saja yang kita hajatkan perlu mendapat bantuan Allah? Tidak ada gunanya kita meminta sesama manusia atau yang selain dari Allah.

Kemahuan manusia pula ada pelbagai bentuk. Cuma kemahuan itu haruslah dikawal supaya tidak terkeluar dari ketentuan Penciptanya. Biarlah apa yang kita minta itu bertepatan dengan Allah. Hajatkanlah sesuatu yang memberi makna untuk kesejahteraan dunia dan akhirat, bukanlah untuk dunia semata-mata.

Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita. Kita hanya dicipta sebagai khalifah di muka bumi ini. Dari sekecil-kecil makhluk hingga sebesar-besar alam semesta, tidak ada apa yang tidak boleh diciptaNya. Siapalah kita untuk merasa bongkak dan sempurna dengan apa yang Allah beri. Malulah kepada Allah, kerana sering terlupa padaNya, kerana selalu merasakan kita sendiri yang berkemampuan melakukan sesuatu, padahal semuanya datang dari Allah juga.

Dan ingatlah, kerana kasih sayang Allah jugalah kita masih di sini. Allah boleh gantikan kita dengan makhluk yang lain sekiranya Dia mahu, kerana amat mudah untuk Allah lakukan. Jadi, gunakanlah masa yang masih berbaki ini untuk menyampaikan ajaran Allah dengan cara tersendiri. Inilah hajat besar kita selain hajat-hajat kecil yang ada, sebagai membuktikan kita makhluk ciptaan Allah yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.