Selasa April 6, 2010
Tokoh OKU Minta Ibu Bapa Jangan Bezakan Anak Kelainan Upaya
MELAKA: Tuah Atan, seorang peguam yang hari ini dinamakan Tokoh OKU Melaka 2009, meminta ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya supaya jangan sekali-kali membezakan mereka dengan anak-anak yang lain. Katanya walaupun beliau dilahirkan dengan kecacatan namun kejayaannya adalah kerana ibu bapanya yang tidak kecewa atau berputus asa dengan keadaan dirinya.
"Saya rasa kanak-kanak OKU macam saya, kalau tak ada ibu bapa yang beri sokongan dan kasih sayang serta kefahaman, agak sukar untuk kita maju dan keluar dari kepompong kecacatan," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu daripada isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Asmah Abdul Rahman pada sambutan Hari OKU di sini hari ini.
Tuah, 49, dilahirkan di Tanjung Kling dekat sini dengan hanya tangan kanan yang sempurna, tanpa kedua-dua kaki dari paras lutut manakala tangan kirinya hanya pada paras siku.
Beliau adalah pemegang ijazah sarjana muda (kepujian) undang-undang dan kini mempunyai dua pejabat firma peguam iaitu satu di Kuala Lumpur dan satu di Melaka. Anak keempat dari sembilan beradik ini pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Tokoh Maal Hijrah (Profesional) pada tahun 1997 dan 2008.
Tuah berkata bahawa sejak bapanya, Atan Semilang, seorang pesara polis meninggal dunia lima tahun lepas, ibunya Mariam Karim, 72, adalah segala-galanya bagi dirinya.
"Emak tinggal di Seremban dan adalah orang pertama yang saya akan telefon setiap hari sebaik memasuki pejabat untuk bertanya khabar sama ada beliau sihat. "Emak tak pernah membenci saya, ketepikan dan abaikan saya kerana kecacatan saya sebaliknya mengajar saya tentang kasih sayang ketika mendidik dan membimbing saya," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun bersama isterinya yang juga seorang peguam.
Tuah berkata OKU yang ingin mencipta kejayaan perlu berpegang kepada kepada pepatah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Pada majlis hari ini juga, Latib Md Isa diumumkan sebagai Tokoh Usahawan OKU manakala anugerah Tokoh Pekerja OKU dimenangi Hashim Ishak, seorang pegawai khidmat pelanggan di Jabatan Penerangan Melaka. - BERNAMA
Dipetik dari: mstar.com.my
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.