Kemelut sosial yang makin parah sekarang ini begitu membimbangkan. Setiap hari, ada saja berita yang menyedihkan. Sesetengahnya pula amat mengaibkan.
Beberapa peristiwa yang menarik perhatian adalah:
1. Isteri yang dianiaya suaminya sendiri - disuruh membuat perlakuan seks di depan kamera, ditambah pula perkara yang sama dilakukan terhadap pembantu rumahnya. Kemudiannya ditonton oleh anak2 yang masih kecil.
2. Isteri ditinggal dalam kereta kerana suaminya singgah di kedai membeli barang, pintu kereta yang tidak berkunci telah mengundang seorang perogol melarikan kereta itu, kemudiannya merogol si isteri.
3. Bayi yang baru lahir tidak cukup bulan disorok di bawah katil. Namun selepas beberapa jam menahan sakit, terpaksa memanggil ambulans kerana uri yang tidak keluar. Kelahiran hanya dikesan selepas doktor memeriksa si ibu.
4. Bayi-bayi luar nikah yang ditinggalkan di merata tempat saban hari. Ada yang ditinggal di masjid, di pintu rumah, alhamdulillah mereka ini dapat diselamatkan. Ada yang dibuang begitu saja, seperti sampah. Apakah dosa anak-anak ini?
Kenapa ini semua terjadi?
Dimanakah nilai-nilai kemanusiaan kita?
Dimanakah budi pekerti terhadap orang lain, ahli keluarga dan masyarakat setempat?
Mengapa akhlak yang luhur semakin terhakis?
Apakah yang boleh kita lakukan?
Punca utama adalah hati kita sendiri. Kerana kita tidak mengambil agama sebagai teras kehidupan. Kerana kita tidak membudayakan ajaran Islam yang telah diwarisi zaman berzaman. Agama hanyalah sesuatu yang diwarisi, bukan diyakini lagi. Bila diwarisi, agama itu menjadi ikut-ikutan.
Kita boleh berubah jika hati kita mahu. Di sini, saya sekadar menyampaikan apa yang saya pelajari, memenuhi tanggungjawab saya untuk menyampaikan perkara yang bermunafaat. Mudah-mudahan Allah terangkan hati-hati kita untuk menerimanya.
Islam telah menggariskan panduan hidup bermasyarakat untuk setiap lelaki dan perempuan, menerusi ayat Al Quran berikut:
a) Untuk lelaki - Surah An-Nur, ayat 30
Terjemahannya:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
- Al-Quran 4:30 (Surah An-Nur, Ayat 30)
Intipatinya:
1. Jaga pandangan.
Jangan menenung, jangan pandang lama-lama. Sekat pandangan kita terhadap apa saja yang menarik perhatian. Zina itu bermula dari mata. Cara syaitan sampai ke hati manusia adalah melalui mata dan mulut. Walaupun di rumah sendiri, elakkan memakai pakaian yang terdedah, terutama jika ramai ahli keluarga yang bukan-muhrim.
2. Jaga kehormatan.
Tidak berzina. Jangan galakkan perkara yang menaikkan syahwat, walaupun di rumah. Sedari umur 6 tahun, contohnya, anak-anak patut diberitahu tentang menjaga kehormatan. Anak lelaki dan perempuan patut tidur di bilik berasingan. Tidur sesama jantina pula mestilah berselimut berasingan.
b) Untuk wanita - Surah An-Nur, ayat 31
Terjemahan:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kerhoramtan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leherr bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan terhadap perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supay kamu berjaya.
- Al-Quran 4:30 (Surah An-Nur, Ayat 31)
Intipatinya:
1. Jaga pandangan.
Sebagai wanita, juga amat penting untuk menjaga pandangan mata kita.
2. Jaga kehormatan.
Mesej yang sama dengan lelaki.
3. Jaga perhiasan tubuh (termasuk yang tersembunyi dari pandangan).
Islam sudah menggariskan cara berpakaian untuk wanita. Pakaian hendaklah menutup aurat, tidak berbunyi-bunyi atau berkilau yang menarik perhatian orang, longgar dan labuh menutupi dada.
Hilangnya sifat malu telah menyebabkan merebaknya kemelut sosial ini.
Malukah pada ibu dan bapa?
Malukah pada sanak saudara?
Malukah pada kawan-kawan?
Malukah pada Tuhan?
Kesimpulannya, kedua-dua pihak, lelaki dan perempuan, mestilah faham, hayati dan melaksanakan tuntutan agama ini.
Cara paling mudah ialah mulakan di rumah kita sendiri.
Muhasabah diri sekarang, lihat keadaan ahli keluarga kita, adakah suasana di rumah kita mengundang kemelut sosial? Jika ada, ubahlah untuk menjadi lebih baik dari semalam.
Carilah keredhaan Allah, bukan hanya mengikut kehendak hati kita sendiri.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.