Labels

Thursday, November 7, 2013

Usaha yang dilihat dan dinilai


Saya amat tersentuh tentang kisah Maryam dalam Al-Quran.

Kisahnya, dalam kepayahan untuk melahirkan bayinya, Nabi Isa, dalam kesakitan, keletihan dan kelaparan, diperintahkan Allah supaya menggoncang pohon tamar di tempat dia berteduh, untuk mendapatkan buahnya. Walau hampir berputus asa, Maryam diberi petunjuk oleh Allah.

Mari kita lihat dulu terjemahannya:

Maka hamillah Maryam, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika dia hendak bersalin)  maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal pohon tamar, dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" 

Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: "Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai."

"Dan gegarlah ke arahmu batang tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak."

"Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Raahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun di kalangan manusia pada hari ini."

- Al-Quran 16: 22-25 (Surah Maryam Ayat 22-25).


Hakikatnya, pohon kurma bukanlah satu pohon sekecil batang pisang. Ia lebih seperti batang kelapa. Mana mungkin seorang perempuan yang sedang sakit untuk bersalin, dapat meluruhkan buah kurma dari pohon yang tegap itu.





Tetapi di situlah Allah mahu melihat usaha Maryam. Dengan sebab tindakannya menggoncang pohon tamar itu, walau dengan kudrat yang terbatas, gugur juga tamar dan terpancarlah mata air untuknya.

Itulah hikmahnya.

Mari kita belajar dari peristiwa ini, supaya meneruskan ikhtiar, walaupun rasa sudah tak berdaya lagi. Yang penting, teruskan usaha, bertindak untuk mengubah keadaan.

Yakinlah Allah akan memberi jalan keluar dari saluran-saluran yang tidak kita sangka.

Hasbunallah hi wanik mal wakeel....Alhamdulillah!!

Saturday, November 2, 2013

Apa itu GAD?


Setelah mendengar slot Klinik Psikologi di radio ikim.fm, saya terpanggil untuk melihat lebih dekat ciri-ciri GAD ini. Mungkin ada saudara mara kita ataupun kita sendiri, yang mengalami masalah ini. Masalah GAD adalah satu masalah yang nampak biasa-biasa saja, tapi kalau sudah kronik, tentulah susah hendak dirawat. Jadi, kita harus kenalpasti awal, supaya ia tidak berlarutan dan menjadi kronik.

Di sini saya terjemahkan sedikit "overview" dari www.webmd.com tentang topik di atas.



Tanda-tanda

Pernahkah kita merasa begini?

Orang-orang yang mengalami GAD menjadi risau terhadap kebanyakan perkara-perkara harian, walaupun yang kecil-kecil dan tidak penting. Kita tak boleh kawal kerisauan itu. Yang dewasa akan risau pasal duit, keluarga, kesihatan ataupun kerja. Yang kanak-kanak pula risau tentang kebolehannya dalam bersukan dsb.

Antara contoh-contoh fizikal:
  • berasa letih atau menjengkelkan (irritated), atau tak boleh fokus,
  • selalu sakit kepala atau sakit badan,
  • selalu susah untuk menelan,
  • berasa terumbang ambing (goyang), berpeluh atau panas (hot flash),
  • berasa melayang, sakit perut atau semput,
  • selalu ke bilik air,
  • berasa tidak tenang, atau senang terkejut,
  • susah atau tidak boleh tidur langsung.


Apa itu GAD?

GAD terjadi apabila perasaan risau atau tertekan disebabkan oleh "kebanyakan" kejadian/peristiwa yang berlaku seharian. Biasanya, kerisauan itu datang terhadap perkara-perkara yang kecil dan tak penting. Inidividu yang mengalami GAD merasa risau sebegini setiap hari.

Biasanya GAD dapat dikesan dari tanda-tanda fizikal yang biasa-biasa, seperti pening kepala atau merasa letih sepanjang masa.

Sesiapapun boleh meghadapi masalah GAD ini. GAD boleh berlaku pada bila-bila masa dalam kehidupan kita. Biasanya akan mula menunjukkan tanda-tanda semasa kita di zaman kanak-kanak atau remaja lagi. Perempuan didapati lebih ramai sebanyak dua kali ganda mengalaminya berbanding lelaki.

GAD boleh jadi berlarutan sehingga menimbulkan masalah-masalah lain seperti kemurungan ("depression") dan lain-lain masalah kerisauan melampau (contoh "obsessive-complusive disorder", "panic disorder", "post-traumatic stress disorder", "social anxiety disorder"), kaki botol atau "personality disorder".


Apa sebabnya?

Tidak dapat dikenalpasti. Ada juga yang mengatakan terdapat faktor genetik.

Ada juga yang berkait dengan "hyperthyroidism".Ada juga sesetengah ubat-ubatan yang menyebabkan tanda-tanda GAD.



Rujukan:
Overview - Generalised Anxiety Disorder

Sunday, August 25, 2013

Menyambil



Sambil makan main youtube.
Sudah jadi satu kemestian pulak, mesti nak pegang handphone bila ke kedai makan.
Nasib baik kedai-kedai sekarang dah ada WIFI.
Zaman sudah berubah...

Friday, June 14, 2013

Mengharungi kepayahan


Sungguh "inspiring" melihat Nadeera ini.
Nadeera yang mengalami masalah tulang rapuh (osteogenesis imperfecta), sedang melanjutkan pelajaran di University of Nottingham, kampus Malaysia, dalam bidang Psikologi.

Masalah yang dialami tidak menghalangnya untuk meneruskan cita-citanya. Nadeera sangat beruntung kerana ibubapanya sentiasa menyokong apa saja minatnya.

Semoga berjaya!




Rujukan:

Betulkah tindakan ini?

Di sini saya ingin mencatitkan beberapa poin selepas membaca buku "Aku bersyukur anakku autisme".

Rujuk disini :  Buku - Aku bersyukur anakku autisme

Penulis buku ini juga mempunyai anak istimewa dengan masalah "autisme". Cara penyampaiannya amat objektif membuatkan saya merasa semangat saya kembali pulih untuk meneruskan perjuangan ini.


  • Apa yang saya lakukan setakat ini sudah berada di landasan yang betul.


  • Amanah yang besar - saya terima amanah ini dengan lapang hati. Sudah tentulah tanggungjawab juga besar terutama dalam perkara berikut. Harta benda/waris, jagaan harian/kebersihan, kesihatan dan pendidikan.


  • Redho dengan anugerah Allah - apabila sudah terima dengan lapang hati, saya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang. Saya menjadi seorang yang lebih memahami setiap satu masalah yang datang. 

  • Hanya insan terpilih - saya juga merasa berbesar hati menjadi insan terpilih. Sungguh tidak disangka, begini ketentuan untuk saya. Dengan cara inilah, saya beribadah kepada Allah. Apa saja yang Allah beri itu, tentulah ada kebaikannya. 



  • Tugas utama adalah menjaga anak istimewa - saya akan cuba menjaganya semampu mungkin. Memang ada ketakutan dan kerisauan yang tidak terungkap, tetapi saya cuba serahkan kepada Allah dan berdoa untuk diberi kekuatan untuk melaluinya, sekiranya perkara itu terjadi.



  • Jangan putus asa walaupun harapan nampaknya kelam. Resipinya, sediakan diri dengan kekuatan dalaman. Sabar dan tabah. Saya terapkan dalam diri, biar susah di sini, senang di sana. Harga sebuah syurga itu mahal, sudah tentulah di sini banyak cabarannya.


Benar, kehadiran Balqis telah banyak mengubah persepsi saya terhadap kehidupan.
Walaupun hadirnya bersama kepayahan dan cabaran yang tidak pernah dijangka, namun pertolongan datang mencurah-curah.

Kebahagiaan itu hanya dari Allah.


Wednesday, May 8, 2013

Barney ku sayang!!


"I love you, You love me,
We're a happy family..."

Salah satu aktiviti yang sangat digemari Balqis adalah menonton Barney. Boleh dikatakan setiap hari dia tak jemu-jemu mengulang video yang sama. Barney menjadi hiburannya seharian.




Semasa Balqis melalui rawatan "applied kinesiology" satu masa dulu, doktor yang bertugas terpaksa menggunakan Barney untuk menarik perhatiannya.

Kalau dah menonton Barney, dia boleh duduk berjam-jam. Makan pun boleh lupa, buang air ke bilik air, apatah lagi!!


Tuesday, March 26, 2013

Kisah anak istimewa dalam Dilema Wanita

Kenali ciri-ciri Down Syndrome
Hari ini saya tertengok (secara tidak sengaja) kisah yang dipaparkan dalam rancangan "Dilema Wanita" di Astro Oasis. Sudah tentu topik itu amat dekat dengan diri saya. Kisah tentang seorang ibu yang tidak mahu menerima kehadiran anak istimewanya.

Menarik ceritanya, semasa melahirkan, si ibu telah beberapa kali dilanda kemurungan yang teramat. Sehingga menjerit dan meracau tanpa sebab. Ditambah pula dengan ibu kepada si ibu (nenek) yang tidak memberi nasihat yang bernas kepada anak menantunya dalam menghadapi masalah ini.

Anak istimewa itu anak yang kedua, mempunyai seorang kakak yang normal, 3 tahun lebih tua. Walaupun si ibu tidak bekerja, ada pembantu rumah, tapi dalam fikirannya, anak yang istimewa mesti dihantar ke rumah kebajikan saja.

Mujurlah si ayah sangat prihatin, memberi galakan dan menunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap anak istimewanya. Dalam kesibukan kerja, si ayah sempat juga mencarikan guru untuk anak istimewanya belajar di rumah. Guru yang juga seorang doktor telah menunjukkan kesungguhan mengajar tanpa jemu.

Si ibu, yang hampir putus asa dengan keadaan anak istimewanya itu telah mengambil keputusan keluar dari rumah (balik ke rumah ibunya) setelah diberi kata dua oleh suaminya. Suaminya bertegas, walau apapun terjadi, anak istimewanya tetap tinggal di rumah.

Dalam mencari-cari erti sebuah mahligai bahagia, si ibu bersiar-siar di taman permainan. Di situ dia bertemu dengan sepasang suami isteri yang gembira melayan kerenah anak mereka. Pasangan itu sudah 20 tahun berkahwin, namun baru saja  dikurniakan seorang anak. Walaupun anak mereka istimewa, dikategorikan sebagai mengalami Sindrom Down, tetapi mereka masih bersyukur dengan apa yang Tuhan beri.

Barulah si ibu tersedar, betapa dia sudah tersilap langkah. Barulah dia tahu, dia sepatutnya bersyukur dengan dua orang anaknya - tidak kira sama ada normal ataupun istimewa.

Pesanan yg ditinggalkan oleh DMFK di akhir rancangan itu haruslah diberi perhatian oleh semua. Antaranya:
o tidak ada sesiapa pun yang dilahirkan membawa sial,
o jangan malu mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o jangan menghina atau merasa hina mempunyai anak atau adik beradik yang istimewa,
o kepada ibubapa, jangan kesal mempunyai anak istimewa,
o kepada ibubapa, jangan bezakan kasih sayang and perhatian di antara anak2,
o kepada ahli masyarakat, jangan memandang rendah terhadap anak istimewa,
o layan anak istimewa dan ahli keluarganya se 'normal' yang mungkin,
o kepada orang tua/datuk/nenek, jangan keruhkan keadaan, beri sokongan dan nasihat yang membina.

Anak adalah anugerah yang sangat berharga. Walau apa pun keadaannya, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik, memelihara, membentuk dan mencorakkannya.

Thursday, January 10, 2013

Untuk apa ke sekolah menengah?

Ke sekolah menengah
Mungkin inilah kali pertama dan terakhir Balqis memakai seragam sekolah menengah.

Perjumpaan dengan guru supervisor di sekolah menengah ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Serba satu kemungkinan bermain di kepala saya.

Mungkin sebab Balqis tak pandai urus diri sendiri.
Mungkin sebab Balqis tak boleh ikut arahan, walaupun yang "basic-basic".
Sudah tentu juga, Balqis memang tak boleh menulis, membaca dan mewarna.
Balqis juga tak seperti anak istimewa yang lain, yang ada kelebihan di bidang lain, seperti sukan dsb.

Jadi, untuk apa ke sekolah menengah?
Hanya untuk habiskan masa?

Berpatah balik sedikit lagi....untuk apa ke sekolah?

Perlukah ke sekolah, jika begini keadaannya?
Keluar dari sistem persekolahan bermakna tiada lagi bantuan elaun untuknya.
Apakah kerana itu Balqis perlu bersekolah juga?

Kalau tidak ke sekolah, ke mana pulak tempat Balqis nak pergi?
Ke rumah jagaan anak-anak istimewa kah?
Ke Pusat Pemulihan kah?
Ke mana?

Mujur, masih ada mak dan abahnya, jika tidak, macam mana?

Aduhai...
Makin banyak persoalan dari jawapan nampaknya.....

Saya menjadi sayu memikirkan masa depannya.
Namun di sebalik segala kemungkinan ini, saya gembira kerana Allah telah menjanjikan syurga untuknya, begitu juga dengan anak-ana istimewa yang lain.

Tabahlah, sabarlah sehingga tibanya saat itu.