Labels

Thursday, August 14, 2014

Ulangtahun ke 15

Sudah 15 tahun usia anak istimewaku ini
Sudah 15 tahun jugalah menjaganya selayaknya
Sudah 15 tahun jugalah mengharung detik-detik kehidupan
Mencuba untuk menyesuaikan diri
Dengan takdirku ini

Tiada lagi menaruh harapan yang menggunung.
Tiada lagi menanti impian yang tidak kunjung tiba
Tiada lagi keluh kesah yang tiada penghujung

Biarlah redho seredho-redhonya
Terimalah dia seadanya
Terima dengan hati yang lapang dan fikiran terbuka

Syukurlah!
Selagi dia sihat dan ceria, itu sudah cukup untukku

Di hari ulangtahun kali ini
Kebetulan ramai kakak dan sepupunya yang datang
Dikelilingi wajah-wajah yang menghias kehidupannya
Happylah dia!!


Friday, May 16, 2014

Berehat dan bercuti




Kami ke Gold Coast Morib bercuti dari rutin harian.
Tempat yang Balqis paling suka adalah kolam mandi air. 
Tak mahu keluar selagi ada masa.





Friday, May 2, 2014

Suasana baru

Balqis akhirnya bertukar tempat jagaan.

Tempat baru ini adalah sebuah pusat jagaan untuk insan istimewa.
Mereka ini tidak upaya untuk turut serta di aliran persekolahan seperti anak-anak lain.
Di sini aktiviti mereka lebih tertumpu kepada pengurusan diri, penjagaan diri dan persekitaran mereka.
Ada sesi separuh hari, ada juga sesi sampai ke petang untuk memudahkan ibubapa yang bekerja.

Antara ciri-ciri pusat jagaan yang ideal adalah:

1. makan dan minum - pusat ini menyediakan sarapan, makan tengah hari dan juga minum petang. 

2. aktiviti seharian - fizikal (trampoline, berjalan ke taman berdekatan), occupational therapy (OT), menulis, melukis, menampal/melekat, urus diri dan bermacam-macam lagi.

3. keselamatan - paling penting ini. Ibubapa sendiri mengambil anak pergi dan balik. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan. Bagi yang menguruskan pengangkutan, dua pembantu akan ikut serta.

Kemudahan seperti ini melegakan hati ibubapa. Tidak perlu risaukan anak istimewa  yang ditinggalkan di sini.

Nampaknya Balqis gembira di sini, walaupun belum kenal mesra dengan kakitangan di sini.
Alhamdulillah!!

Kepada yang berminat, sila rujuk di sini.
https://www.facebook.com/sayangistimewacentre06
http://sayangistimewa.blogspot.com/


Monday, April 28, 2014

Catuan air - bila berakhir?


Hampir dua bulan Selangor mengalami masalah air. Semua orang amat berharap ianya akan berakhir secepat mungkin.

Kita dengar rakyat mengeluh, betapa payahnya tanpa air dalam kehidupan seharian,. Yang paling terkesan sudah tentulah suri rumah, menguruskan anak-anak dan juga ahli keluarga yang OKU. Dua hari tanpa air itu seperti hampir mati kekeringan. Bila air mula masuk semula, terasa datang pula semangat untuk meneruskan kehidupan!

Dalam kes saya, Balqis terutamanya amat perlukan air kerana toileting dia masih tak terurus. Mujur dengan pertolongan diaper dan lampin kain, memudahkan kerja.

Alahai! Apalah yang boleh kita lakukan tanpa air di bandar besar. Jika di kampung, mungkin juga boleh mencari perigi/telaga atau anak sungai. Ini yang kita ada hanyalah hutan batu batan saja.



Bagaimanapun, dengan catuan air ini, saya lebih menghargai nikmat air ini.Marilah kita ambil kebaikan dari apa yang berlaku ini untuk menjadi panduan di masa depan.

Urus air ini seperti mengurus rezeki yang lain juga. Ketika ada, berjimat cermatlah. Jangan terus lupa diri dan membazirkan air itu. Takungan perlu dibuat supaya dapat digunakan ketika hari yang dicatu.

Begitu juga analogi air melimpah ini seperti rezeki kita yang berlebihan. Kita harus menyalurkan kepada mereka yang memerlukan, bukan dibiarkan terbazir begitu saja. Ini juga satu cara Islam mengajar kita supaya banyak memberi, kerana semuanya yang kita ada itu diberi oleh Allah juga.

Pada masa yang sama, saya merasakan catuan air ini hanyalah ujian kecil saja berbanding dengan kemarau akhir zaman nanti. Dikatakan tatkala Dajjal hampir muncul, dunia akan mengalami kemarau selama tiga tahun. Bekalan air dunia akan berkurangan teramat sangat.  Sehingga kemunculan Dajjal itu nanti, dia mempunyai beberapa kuasa "special", antaranya boleh menurunkan hujan. Begitulah fitnah Dajjal terhadap manusia pada masa itu, siapa mahu air, ikut aku, katanya. Nauzubillah hi minzalik.

Cuba bayangkan catuan dua hari berselang inipun kita dah resah gelisah.
Bagaimana kemarau tiga tahun itu?
Terlaratkah kita?
Mampukah kita menahan kemahuan untuk menyertai Dajjal yang sudah tentu memberikan hujan dan air?
Sanggupkah kita?

Sama-samalah kita meningkatkan amal ibadah kita.

Friday, April 11, 2014

Otak bisnes masih bergerak


Pencarian baru

Pendapatan baru
Tawaran menyediakan "lunch pack" pada hari bekerja
Mengikut menu yang tersedia di laman web
Abang delivery akan pickup makanan yang sudah dibungkus
Terus hantar ke rumah pelanggan

Amat mengujakan
Sesuatu yang baru
Sesuatu yang belum pernah terfikir untuk dibuat
Bolehkah aku melakukannya?
Mampukah aku melakukannya?
Apakah cabaran-cabarannya?
Apakah risikonya?
Bagaimana pulangannya?

Lalu aku mencari maklumat tentang bisnes ini
Secara keseluruhan
Khidmat diberi oleh pemilik restoran & warung
Yang memang masak tiap hari

Namun ini masih dalam perancangan
Entah menjadi entahkan tidak

Thursday, November 7, 2013

Usaha yang dilihat dan dinilai


Saya amat tersentuh tentang kisah Maryam dalam Al-Quran.

Kisahnya, dalam kepayahan untuk melahirkan bayinya, Nabi Isa, dalam kesakitan, keletihan dan kelaparan, diperintahkan Allah supaya menggoncang pohon tamar di tempat dia berteduh, untuk mendapatkan buahnya. Walau hampir berputus asa, Maryam diberi petunjuk oleh Allah.

Mari kita lihat dulu terjemahannya:

Maka hamillah Maryam, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika dia hendak bersalin)  maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal pohon tamar, dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" 

Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: "Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai."

"Dan gegarlah ke arahmu batang tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak."

"Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Raahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun di kalangan manusia pada hari ini."

- Al-Quran 16: 22-25 (Surah Maryam Ayat 22-25).


Hakikatnya, pohon kurma bukanlah satu pohon sekecil batang pisang. Ia lebih seperti batang kelapa. Mana mungkin seorang perempuan yang sedang sakit untuk bersalin, dapat meluruhkan buah kurma dari pohon yang tegap itu.





Tetapi di situlah Allah mahu melihat usaha Maryam. Dengan sebab tindakannya menggoncang pohon tamar itu, walau dengan kudrat yang terbatas, gugur juga tamar dan terpancarlah mata air untuknya.

Itulah hikmahnya.

Mari kita belajar dari peristiwa ini, supaya meneruskan ikhtiar, walaupun rasa sudah tak berdaya lagi. Yang penting, teruskan usaha, bertindak untuk mengubah keadaan.

Yakinlah Allah akan memberi jalan keluar dari saluran-saluran yang tidak kita sangka.

Hasbunallah hi wanik mal wakeel....Alhamdulillah!!

Saturday, November 2, 2013

Apa itu GAD?


Setelah mendengar slot Klinik Psikologi di radio ikim.fm, saya terpanggil untuk melihat lebih dekat ciri-ciri GAD ini. Mungkin ada saudara mara kita ataupun kita sendiri, yang mengalami masalah ini. Masalah GAD adalah satu masalah yang nampak biasa-biasa saja, tapi kalau sudah kronik, tentulah susah hendak dirawat. Jadi, kita harus kenalpasti awal, supaya ia tidak berlarutan dan menjadi kronik.

Di sini saya terjemahkan sedikit "overview" dari www.webmd.com tentang topik di atas.



Tanda-tanda

Pernahkah kita merasa begini?

Orang-orang yang mengalami GAD menjadi risau terhadap kebanyakan perkara-perkara harian, walaupun yang kecil-kecil dan tidak penting. Kita tak boleh kawal kerisauan itu. Yang dewasa akan risau pasal duit, keluarga, kesihatan ataupun kerja. Yang kanak-kanak pula risau tentang kebolehannya dalam bersukan dsb.

Antara contoh-contoh fizikal:
  • berasa letih atau menjengkelkan (irritated), atau tak boleh fokus,
  • selalu sakit kepala atau sakit badan,
  • selalu susah untuk menelan,
  • berasa terumbang ambing (goyang), berpeluh atau panas (hot flash),
  • berasa melayang, sakit perut atau semput,
  • selalu ke bilik air,
  • berasa tidak tenang, atau senang terkejut,
  • susah atau tidak boleh tidur langsung.


Apa itu GAD?

GAD terjadi apabila perasaan risau atau tertekan disebabkan oleh "kebanyakan" kejadian/peristiwa yang berlaku seharian. Biasanya, kerisauan itu datang terhadap perkara-perkara yang kecil dan tak penting. Inidividu yang mengalami GAD merasa risau sebegini setiap hari.

Biasanya GAD dapat dikesan dari tanda-tanda fizikal yang biasa-biasa, seperti pening kepala atau merasa letih sepanjang masa.

Sesiapapun boleh meghadapi masalah GAD ini. GAD boleh berlaku pada bila-bila masa dalam kehidupan kita. Biasanya akan mula menunjukkan tanda-tanda semasa kita di zaman kanak-kanak atau remaja lagi. Perempuan didapati lebih ramai sebanyak dua kali ganda mengalaminya berbanding lelaki.

GAD boleh jadi berlarutan sehingga menimbulkan masalah-masalah lain seperti kemurungan ("depression") dan lain-lain masalah kerisauan melampau (contoh "obsessive-complusive disorder", "panic disorder", "post-traumatic stress disorder", "social anxiety disorder"), kaki botol atau "personality disorder".


Apa sebabnya?

Tidak dapat dikenalpasti. Ada juga yang mengatakan terdapat faktor genetik.

Ada juga yang berkait dengan "hyperthyroidism".Ada juga sesetengah ubat-ubatan yang menyebabkan tanda-tanda GAD.



Rujukan:
Overview - Generalised Anxiety Disorder

Sunday, August 25, 2013

Menyambil



Sambil makan main youtube.
Sudah jadi satu kemestian pulak, mesti nak pegang handphone bila ke kedai makan.
Nasib baik kedai-kedai sekarang dah ada WIFI.
Zaman sudah berubah...

Friday, June 14, 2013

Mengharungi kepayahan


Sungguh "inspiring" melihat Nadeera ini.
Nadeera yang mengalami masalah tulang rapuh (osteogenesis imperfecta), sedang melanjutkan pelajaran di University of Nottingham, kampus Malaysia, dalam bidang Psikologi.

Masalah yang dialami tidak menghalangnya untuk meneruskan cita-citanya. Nadeera sangat beruntung kerana ibubapanya sentiasa menyokong apa saja minatnya.

Semoga berjaya!




Rujukan:

Betulkah tindakan ini?

Di sini saya ingin mencatitkan beberapa poin selepas membaca buku "Aku bersyukur anakku autisme".

Rujuk disini :  Buku - Aku bersyukur anakku autisme

Penulis buku ini juga mempunyai anak istimewa dengan masalah "autisme". Cara penyampaiannya amat objektif membuatkan saya merasa semangat saya kembali pulih untuk meneruskan perjuangan ini.


  • Apa yang saya lakukan setakat ini sudah berada di landasan yang betul.


  • Amanah yang besar - saya terima amanah ini dengan lapang hati. Sudah tentulah tanggungjawab juga besar terutama dalam perkara berikut. Harta benda/waris, jagaan harian/kebersihan, kesihatan dan pendidikan.


  • Redho dengan anugerah Allah - apabila sudah terima dengan lapang hati, saya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang. Saya menjadi seorang yang lebih memahami setiap satu masalah yang datang. 

  • Hanya insan terpilih - saya juga merasa berbesar hati menjadi insan terpilih. Sungguh tidak disangka, begini ketentuan untuk saya. Dengan cara inilah, saya beribadah kepada Allah. Apa saja yang Allah beri itu, tentulah ada kebaikannya. 



  • Tugas utama adalah menjaga anak istimewa - saya akan cuba menjaganya semampu mungkin. Memang ada ketakutan dan kerisauan yang tidak terungkap, tetapi saya cuba serahkan kepada Allah dan berdoa untuk diberi kekuatan untuk melaluinya, sekiranya perkara itu terjadi.



  • Jangan putus asa walaupun harapan nampaknya kelam. Resipinya, sediakan diri dengan kekuatan dalaman. Sabar dan tabah. Saya terapkan dalam diri, biar susah di sini, senang di sana. Harga sebuah syurga itu mahal, sudah tentulah di sini banyak cabarannya.


Benar, kehadiran Balqis telah banyak mengubah persepsi saya terhadap kehidupan.
Walaupun hadirnya bersama kepayahan dan cabaran yang tidak pernah dijangka, namun pertolongan datang mencurah-curah.

Kebahagiaan itu hanya dari Allah.