Labels

Tuesday, September 1, 2009

Bila dalam kesusahan...

Apa yang kita lakukan apabila melalui saat sukar dalam hidup kita?

Saya ingin memetik artikel dari Brian Tracy tentang apa yang dilakukannya dalam keadaan begitu.

Ada tiga perkara yang dapat membantu bila saya dalam keadaan yang mendesak itu.

Pertama, saya akan membaca buku-buku spiritual untuk 30 hingga 60 minit. Ini akan menurunkan "flashpoint" kita, di mana kita menjadi kurang emosional. Ini akan memberi ketenangan dan ini juga merupakan makanan untuk minda kita.

Kedua, saya akan berjalan. Dengan berjalan dan bergerak, minda kita akan "berlari" untuk menjelaskan/melapangkan sesuatu perkara.

Ketiga, saya akan buat "solitude", iaitu duduk sendirian dan biarkan minda menjadi tenang. Kata orang, berdoa adalah bercakap dengan tuhan, dan bila anda duduk sendirian, minda anda akan menjadi terang dan tuhan akan memberi jawapan kepada persoalan yang paling menyesakkan dada anda.

Begitulah apa yang dilakukan oleh Brian Tracy. Ini bermakna sesiapa saja akan melalui pengalaman susah dan menyesakkan, akhirnya pasti bertemu dengan kecerdikan spiritual untuk menanganinya.



Dalam Islam, kita sudah diberi pelbagai garis panduan tentang menyelesaikan kesusahan. Kita digalakkan melakukan perkara-perkara berikut:

1. solat - selain berwuduk itu sendiri sudah dapat menghilangkan marah, solat pula untuk mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah. Solat juga adalah satu cari merehatkan fizikal, emosi dan spiritual kita dan terus berserah pada Allah.

2. baca Quran - salah satu mukjizatnya ialah untuk melapangkan fikiran dan menghilangkan resah gelisah. Bersyukurlah dengan kurniaan Allah ini.

Alangkah indahnya Islam!

Wednesday, July 1, 2009

Menyemai sifat empati

Kali ini saya mahu memperkatakan tentang bagaimana hendak menyemai dan menyuburkan sifat empati terhadap orang lain, terutamanya OKU.

Bagaimana cara kita melayan seseorang OKU dapat mencerminkan sifat empati kita.
Pernahkah kita melihat seseorang menjebikkan bibirnya bila memandang anak istimewa kita yang kurang upaya fizikalnya?
Pernahkah kita ditanya tentang apa yang pelik kita lakukan semasa mengandung sehingga anak kita jadi begitu?
Kebanyakan orang pula pasti akan berkata "Kasihan..." Ini hanyalah melahirkan simpati, bukan empati.

Amatlah menyedihkan!! Semua luahan itu tidak memberangsangkan, malah mengguris hati pihak yang terlibat.

Cuba kita fahami kenapa orang berkata begitu. Mungkin keras hatinya, kurang iman atau merasakan dirinya lebih baik dan sempurna.

Hakikatnya,

1. Setiap yang dijadikan Allah ada sebabnya - Kita harus faham bahawa setiap yang dijadikan Allah itu, ada sebabnya.

2. Hanya Allah yang sempurna - Ini bermakna, setiap kejadian Allah itu tidak ada yang sempurna. Pasti akan ada kelebihan dan kekurangannya. Setiap manusia dilahirkan dengan kecederaan otak yang berbeza. Mungkin lebih pandai (dikatakan otak cair), tetapi kurang di tempat lain.




Apa itu empati?

Menurut Dr Tony Alessandra (www.alessandra.com), perkataan empati ini berasal dari PATHOS, satu perkataan Greek yang bermaksud perasaan. Simpati (SYMpathy) bermaksud mengakui tentang apa yang dirasakan oleh seseorang, yang mana melahirkan rasa kasihan.

Sementara empati (EMpathy) mempunyai makna yang lebih dalam, dapat menyatakan bahawa "Saya rasa apa yang awak rasa, seperti saya sendiri mengalaminya." Seperti simpati melahirkan rasa simpati, empati pula akan melahirkan perasaan yang lebih dekat dengan orang itu seperti rasa seronok, tenang, sakit dan sedih. Ia seolah-olah kita merasakan sendiri apa yang dirasakan oleh orang itu.

Kebanyakan orang, apa lagi OKU, tidak suka atau tidak tahu memaparkan emosinya.
Jika kita berkebolehan mengesan emosi orang lain, kita boleh mendorong diri kita untuk melakukan tindakan yang lebih bertanggungjawab dan berkeprihatinan terhadap orang itu. Di situlah terlahirnya empati, iaitu simpati peringkat tertinggi.

Cara-cara untuk kita menunjukkan empati terhadap OKU adalah seperti berikut:

1. Raikan diri dengan penuh belas kasihan - mulakan dengan diri sendiri. Kita hendaklah berlaku adil terhadap diri kita, kita harus belajar mengesan setiap emosi kita. Emosi ini adalah apa yang kita rasa.

2. Namakan rasa hati itu - sedih, marah, geram, seronok, aman tenteram, cemas, dahaga, lapar dan apa-apa lagi.

3. Bayangkan anda di dalam keadaannya - cuba rasakan apa yang OKU itu rasa.

4. Berikan respons/gerak balas mengikut keperluan OKU itu - jika terasa lapar, carilah makanan untuknya.

5. Cari jalan untuk menggembirakan - sentiasa cuba menggembirakan OKU itu, beri dia pengalaman indah kerana OKU lebih senang belajar dari pengalaman, bukan tuturkata kita.

6. Maafkan jika OKU buat silap - kita perlu faham, bukan dia sengaja buat silap, biasanya dia sendiri tidak tahu apa yang dilakukannya itu satu kesilapan. Janganlah kita meninggi suara atau menyakitkan hatinya.

7. Elak membanding-banding - kita juga perlu sedar bahawa setiap manusia yang dilahirkan adalah unik. Tidak ada yang serupa walaupun lahir dari ibubapa yang sama. Subhanallah! Begitulah besar kuasa Allah. Tidak perlulah kita membanding keadaan seorang OKU dengan yang lain.

Kesimpulannya, perasaan empati ini adalah kurniaan Allah. Kita hendaklah belajar untuk menyemai dan menyuburkan sifat ini di dalam diri kita. Hatta, dengan itu akan terhasillah satu masyarakat yang lebih prihatin, penuh kasih sayang dan harmoni.

Tuesday, June 30, 2009

Bantu perkembangan OKU

RATU Bantu perkembangan OKU
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
16/06/2009

Aktiviti luar mampu didik anak istimewa bergaul dengan masyarakat

MEMILIKI anak di kalangan orang kurang upaya (OKU) bukan sesuatu yang memalukan, sebaliknya ibu bapa perlu bersedia menerima kehadiran mereka dalam apa juga keadaan sekalipun. Zuriat yang diperoleh walaupun tidak sempurna, adalah amanah perlu dijaga, dididik dan diasuh dengan penuh kasih sayang tanpa sebarang prejudis.

Kemudahan dunia moden dengan ledakan sistem telekomunikasi memberi kita peluang memperoleh sumber maklumat untuk dikongsi bersama dalam usaha menangani permasalahan kalangan OKU di kala mereka masih bayi, kanak-kanak dan membesar menjadi dewasa.

Tidak dinafikan, kanak-kanak istimewa seperti lembam, sindrom down, autisme dan penghidap cerebral palsy tidak berupaya berinteraksi secara normal dengan masyarakat sekeliling, sebaliknya mereka sering 'terkongkong' dan `dikongkong' dengan perlakuan sendiri, malah ada yang enggan bercampur dengan ahli keluarga dan melakukan sesuatu tanpa 'perasaan'.

Bukan mudah seseorang itu mendekati insan istimewa ini kecuali mereka yang benar-benar bersedia mengorbankan sebahagian besar kehidupan untuk memberi sinar kebahagiaan kepada golongan ini.

Menyelami permasalahan ini, Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tampin, Negeri Sembilan, Jarinah Mohamad, 39, mengambil pendekatan unik dengan mendedahkan golongan OKU kepada dunia luar menerusi program kembara 'Ceritaku Perjalananku' di Bukit Fraser, Raub, Pahang, baru-baru ini.

Jarinah tidak pernah jemu mengasuh, membelai dan mendidik puluhan anak istimewa yang dianggap sebagai anak sendiri selama hampir 18 tahun bertugas di PDK berkenaan.

"Saya sayangkan kerjaya ini dan inilah sumbangan saya kepada mereka yang kurang berupaya. Bukan mudah seorang wanita sejak remaja kekal bekerja di PDK sehingga mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, tetapi saya berjaya merentasi waktu itu kerana ikatan kasih sayang dengan golongan OKU terlalu kuat," ujar ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 9 hingga 15 tahun ini.

Jarinah berkata, anak OKU tidak wajar dilayan seperti anak istimewa, sebaliknya mereka perlu diberi layanan sama seperti anak lain bagi menyesuaikan diri dengan dunia luar.

Beliau berkata, aktiviti luar perlu untuk membiasakan mereka berinteraksi dengan masyarakat sekeliling, sekali gus membantu mereka memiliki jati diri seimbang peningkatan usia mereka.

"Saya yakin mereka mampu melakukannya dan ia terbukti menerusi program kembara ke Bukit Fraser kali ini. Lihat saja bagaimana mereka menyahut cabaran berjalan dengan menutup mata, merentas hutan, bersukan dan menari walaupun ada ketikanya mereka sendiri tidak tahu apa yang dilakukan.

"Sebagai guru, kita harus berfikiran terbuka mengasuh dan mendidik anak istimewa ini kerana itu adalah amanah diberikan kepada kita yang perlu dijaga dan diasuh sebaiknya,” katanya yang menyelia 23 kanak-kanak istimewa di situ.

Sementara itu, Jururawat Klinik Kesihatan Tampin, Halimah Ahmad, 50, berkata kanak-kanak OKU boleh dipulihkan pada peringkat paling maksimum sehingga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat normal.

"Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tidak perlu berasa malu, sebaliknya bersikap terbuka kerana terdapat pelbagai kemudahan untuk membantu golongan itu,” katanya.

Menceritakan cabaran bergelar Jururawat Kesihatan Kanak-kanak Keperluan Khas, Tampin sejak tujuh tahun lalu, Halimah reda dengan cabaran dan dugaan diterima, walaupun pernah dilempar tohmahan masyarakat.

"Sebagai jururawat, kita perlu berfikiran terbuka dalam memberi nasihat, motivasi, mengasuh dan mendidik anak istimewa ini.

“Ibu bapa kepada anak OKU pula perlu meluangkan masa membawa anak mereka ke pusat PDK berhampiran untuk meningkatkan taraf perkembangan minda, selain membawa anak melakukan fisioterapi dengan kerjasama pihak hospital.

"Ia penting kerana anak adalah sebahagian daripada komuniti yang memerlukan pembelaan dan kita tidak sepatutnya menyisihkan mereka daripada semua keistimewaan yang disalurkan kepada golongan normal," katanya.

Sementara itu, ibu kepada enam anak dengan empat daripadanya adalah OKU, Mariam Abdul Kadir, 63, berkata mengasuh dan mendidik mereka cukup mencabar dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

"Sebagai ibu, saya sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk anak walaupun menyedari kekurangan yang ada pada diri mereka. Saya tidak pernah membezakan mereka dengan dua anak yang normal, malah tidak pernah berasa malu membawa mereka bersiar-siar di luar rumah dan membeli-belah di pasar raya," katanya yang menetap di Perumahan Rakyat Repah, Tampin.

Mariam sekeluarga pernah mengalami detik mencemaskan apabila seorang daripada anak OKUnya, Muzahir, 29, hilang dua bulan.

"Entah di mana silapnya, saya sendiri tidak tahu dan kami tidak bertanya ke mana dia pergi kerana Muzahir sukar menceritakan kejadian sebenar," katanya.


Sumber: bharian.com.my

Tuesday, April 21, 2009

Bagaimana di sekolah lain?

Saya sangat menghargai usaha pihak sekolah yang berusaha untuk meningkatkan komunikasi diantara guru dan ibubapa kepada anak istimewa. Ini menunjukkan peningkatan dalam kualiti pentadbiran dan perikemanusiaan dari pihak kerajaan sendiri. Terima kasih yang tidak terhingga dari saya. Tahniah atas usaha murni ini!!

Antara usaha terbaru yang dilakukan oleh guru di sekolah anak saya ialah:

1. buku mesej ("message book")

Buku ini menjadi satu alat untuk komunikasi antara guru dan ibubapa. Kita sedia maklum yang sianak tidak boleh berkomunikasi dengan berkesan, jadi cara ini melancarkan pertukaran maklumat dari guru mengenai anak murid dengan ibubapanya.

Buat masa ini, saya dapati buku ini digunakan lebih untuk membuat pengumuman tentang aktiviti sekolah, tetapi saya harap penggunaannya akan dikembangkan lagi bagi memberi munafaat secara spesifik untuk anak istimewa itu sendiri. Kedua-dua belah pihak (guru dan ibubapa) mesti menggunakannya untuk menyampaikan pesanan atau maklumat mengenai anak istimewa itu.

Ada pula masanya, apabila ibubapa terlupa memasukkan buku mesej ke dalam beg sekolah anak, tertinggallah buku itu di rumah tanpa mendapat maklumat baru.

Seorang ibu kepada anak istimewa yang tinggal di US memberikan pendapatnya bahawa di sana "message book" ini digunakan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak. Contohnya, jika anak itu makan banyak untuk sarapan pagi pun, akan dicatitkan di dalam buku itu.

Saya suka idea itu, harap-harapnya ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

2. jawatan baru : Pembantu guru

Tujuan diwujudkan jawatan ini ialah untuk membantu guru pendidikan khas untuk fokus dalam soal pembelajaran anak istimewa. Masalah sampingan seperti nak membuang air, memegang pensil atau kertas itu akan dibantu oleh ahli jawatan baru ini.

Saya tidak pasti apakah latihan yang mereka perolehi untuk memenuhi jawatan ini. Nampaknya banyak juga yang mereka perlu tahu, seperti menjaga kanak-kanak yang diserang sawan, memberi makan dan juga membawa ke tandas. Bukan satu tugas yang mudah, kerana mereka bukan jururawat dan bukan juga guru sepenuh masa.

Sebagai ibubapa pula, tunjukkanlah penghargaan kepada pembantu guru ini. Berikan hadiah atau cenderahati pada waktu-waktu yang sesuai. Kerja mereka jangan diperkecilkan, tanpa mereka ramai ibubapa yang terpaksa berhenti kerja atau menggaji pembantu sendiri untuk menunggu anak istimewa mereka di sekolah.

Sanggupkah kita?

Wednesday, April 15, 2009

Mencari rawatan alternatif

Ketika umur Balqis genap 3 tahun, saya tahu saya perlu mencari rawatan untuknya. Harapan saya pada masa itu sangat tinggi untuk mencari jalan bagi membetulkan keadaannya supaya dia berpeluang hidup seperti kanak-kanak lain. Rupanya, tidak semudah yang disangka. Tidak ada ahli keluarga lain yang pernah mengalami masalah seperti ini sebelum ini. Pencarian menjadi amat payah dan saya banyak bergantung pada kawan-kawan and internet untuk mendapatkan maklumat.

Kami membuka minda untuk mencuba rawatan alternatif selain rawatan medikal.

Menggunakan kaedah menilik dari nama penuh saja, Pak Mat (bukan nama sebenar) dapat mengagak yang anak saya ditemani oleh sejenis makhluk sejak di dalam kandungan lagi. Pak Mat memberi beberapa botol air yang telah dijampinya untuk minum dan mandi. Oleh kerana Pak Mat tinggal di Ipoh, kami tak mampu nak buat "follow-up" seterusnya.

Kemudian kami mendapat maklumat tentang seorang tabib di kawasan elit di Kuala Lumpur. Oleh kerana beberapa ahli keluarga sebelah suami saya pernah mendapatkan rawatan darinya, kamipun mencuba. Dalam pemandangan tabib ini, anak saya memang diganggu. Di sinilah baru saya faham tentang alam mistik yang kita tak nampak dengan mata kasar. Rupanya dunia ini bukan kepunyaan manusia saja. Ada makhluk lain yang berkongsi hidup di sini. Patutlah kita kena menjaga adab dan tingkah laku walau di mana saja. Rawatan menjadi payah apabila kami disuruh oleh tabib itu mencari air dari tujuh masjid. Ada beberapa lagi syaratnya yang kami rasakan sangat pelik, lalu kami berhenti di situ saja.

Sayapun langsung mencari tafsiran Surah Al Jinn di mana Allah menceritakan tentang sekumpulan jin yang telah memeluk Islam selepas mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Keseluruhan 28 ayat dalam surah ini menunjukkan betapa jin yang beriman ini telah termakan hasutan jin-jin kafir terdahulu. Mereka juga diberi kelebihan oleh Allah untuk mendengar-dengar rahsia di langit, tetapi langit itu dijaga oleh sesuatu yang kuat. Mereka akan dipanah oleh api sekiranya cuba mencungkil rahsia langit. Ada pula yang bersahabat dengan manusia untuk mendapatkan keuntungan. Jadi kita kenalah berhati-hati apabila berjumpa dukun atau bomoh.

Katakanlah (hai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya: sekumpulan jin telah mendengarkan (Al Qur'an), lalu mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Qur'an yang menakjubkan, (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Tuhan kami, dan bahwasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, Dia tidak beristri dan tidak (pula) beranak.
Dan bahwasanya: orang yang kurang akal daripada kami dahulu selalu mengatakan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah, dan sesungguhnya kami mengira, bahwa manusia dan jin sekali-kali tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah.
Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.
- Al Quran 72.1-6 (Surah Al Jinn Ayat 1 hingga 6).


Mereka juga makhluk Allah, cuma kejadiannya berasal dari api.

Dia menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar,
dan Dia menciptakan jin dari nyala api.
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
- Al Quran 55.14-16 (Surah Ar-Rahman Ayat 14 hingga 16)


Kemudian seorang kenalan telah memperkenalkan saya kepada Pak Din (bukan nama sebenar) yang memberikan gambaran lebih tepat tentang masalah anak saya. Katanya Balqis telah diganggu oleh satu makhluk halus (satu saja) dan menyebabkan otaknya terbantut perkembangannya. Badan fizikalnya tiada cacat cela. Dia juga tidak mempunyai masalah kesihatan lain. Cuma perlu membangunkan kecerdasan otaknya. Saya sempat juga mengimbas, di manakah silapnya semasa tempoh kehamilan hinggalah kelahirannya. Tiada apa yang pelik-pelik berlaku sepanjang mengandungkan dia, sama seperti mengandungkan anak-anak yang lain. Mungkin terasa lebih letihnya kerana umur dah meningkat ditambah pula kerja pejabat yang "demanding".

Tetapi kata-kata Pak Din mengingatkan saya bahawa ini semua sudah termaktub di Lohmahfuz. Pak Din menekankan bahawa ini semua ia kuasa Tuhan. Kalau Tuhan tidak izinkan, ia takkan berlaku. Adalah hikmah di sebalik apa yang terjadi itu. Ubat Pak Din amat "simple", ayat-ayat dari Al-Quran yang dibacakan oleh ibubapa, setiap hari selepas Subuh dan Maghrib. Pendek kata, rumah kami diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

Selain itu, saya juga berkunjung ke Nury di mana Dr Noor Laily dan "team"nya telah menganggarkan umur otak Balqis sebagai 38 bulan lambat dari umur kelahirannya. Kami telah melalui program membangunkan fizikal di "gymnasium" untuk kanak-kanak istimewa di Bukit Antarabangsa untuk beberapa bulan selain mengambil vitamin tambahan yang dicadangkan.

Perkembangan yang saya harapkan tidaklah dicapai mendadak. Setiap perkara baru yang boleh dilakukannya akan menjadi "headline news" untuk kami sekeluarga. Begitulah kehidupan kami seadanya. Tahun demi tahun, saya masih menantikan "development burst" yang bakal dilakukan oleh Balqis, insyaAllah!

Thursday, January 15, 2009

Seminggu dalam kehidupan seorang anak istimewa

Balqis sudah berumur 10 tahun. Begitu cepat masa berlalu. Jadual waktu hariannya pun sudah semakin stabil berbanding dulu.
Sebelah pagi saya tetapkan untuk ke sekolah. Dua hari di sekolah kerajaan, manakala tiga hari di sekolah persendirian. Jadi saya dapat menilai keberkesanan kedua-dua jenis sekolah tersebut.

Sebelah petang pula diisi dengan program membangunkan diri.

Pada hari Isnin, ada temujanji untuk terapi pertuturan, diselangselikan dengan terapi muzik pada minggu berikutnya.
Pada hari Khamis, Balqis pergi melakukan senaman di gym berdekatan. Satu sesi di situ dikhaskan untuk anak-anak istimewa saja.
Hari-hari lain masih dibiarkan kosong untuk mengisi apa-apa "appointment" baru. Buat sementara waktu, itulah masa berehat saya sambil membereskan kerja-kerja rumah.

Hujung minggu pula diisi dengan aktiviti kekeluargaan yang biasa seperti makan di luar, shopping, melawat ke rumah Tok Wan atau saudara mara yang lain.

Berapa harga yang perlu dibayar untuk semua ini?

Lebih kurang RM1,000 sebulan. Untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan sesuai dengan anak istimewa ini memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Yuran sekolah khas persendirian saja sudah mencecah RM500 sebulan.
Yuran untuk segala jenis terapi juga tidak terkecuali mahalnya. Misalnya, terapi pertuturan persendirian memerlukan antara RM60 hingga RM130 untuk sesi satu jam. Begitu juga sesi dengan pakar psikologi, biasanya antara RM80 ke RM150 untuk sesi satu jam. Seorang sahabat saya sanggup menghantar anaknya ke kelas lukisan, piano, berenang, "physio therapy", "occupational therapy" (OT) dan lain-lain. Sahabat saya yang berkemampuan pula telah memanggil pakar dari Australia setiap enam bulan sekali untuk buat "treatment" terhadap anaknya.

Cuba bayangkan jika anak istimewa itu perlu pula mengambil vitamin, ubat-ubatan, lampin pakai-buang dan perkakas sokongan yang lain.

Kenapa tidak ke pusat-pusat yang disediakan oleh kerajaan saja?

Sebagai pengguna, saya amat mementingkan kualiti perkhidmatan. Apa yang saya cari adalah seperti berikut:

a) selesa dan sesuai dengan anak saya - apa juga yang disuruh oleh pakar itu hendaklah membuat anak itu selesa melakukan, tidak dipaksa hingga menjadikan dia tertekan. Aktiviti mestilah menyeronokkan.

b) layanan penuh ihsan - saya biasanya melihat sendiri personaliti pakar tersebut samada dia boleh bekerjasama dengan baik dengan ibubapa. Ibubapa bukan dianggap sebagai tukang periksa "homework" anak sebaliknya menunjukajar bagaimana "homework" perlu dilakukan. Bagi anak saya yang memerlukan "one-to-one" attention, perlulah pakar itu sabar dan melayan kerenahnya sehingga dia mahu melakukan.

Selain itu, menepati masa juga satu ciri yang perlu ada dalam mendidik anak istimewa. Menunggu terlalu lama akan membuat anak itu hilang tumpuan dan bosan. Akhirnya bila masuk ke sesi terapi, anak sudah tak ada "mood".

c) bayaran berpatutan dengan apa yang diajar - biasanya saya akan melihat pada pengalaman bekerja pakar itu, di mana dia dilatih untuk menjadi pakar. Memang memerlukan banyak masa untuk menilai seseorang pakar ini. Kita kena bertanya soalan macam temuduga mencari pekerja.

d) frekuensi temujanji - jika persendirian, pakar tersebut haruslah menyatakan komitmennya berapa kali sebulan dia boleh berkhidmat untuk kita. Frekuensi perjumpaan haruslah sesuai dengan keperluan anak istimewa itu. Masalah ini selalu terjadi di hospital kerajaan yang mempunyai pakar yang bagus tetapi terlalu ramai pesakit.

Pada masa yang sama, kita haruslah berterima kasih kerana pihak kerajaan mengambil langkah-langkah mengurangkan cukai pendapatan untuk individu yang mempunyai ahli keluarga yang OKU. Sekurang-kurangnya ringanlah beban ibubapa.

Kesimpulannya, sebagai ibubapa kepada anak istimewa, pelajarilah masalah anak kita sedalam-dalamnya terlebih dahulu. Setelah kita nampak perkhidmatan apa yang diperlukannya, barulah kita mencari mengenainya.

Sunday, December 28, 2008

Terimalah...

Apabila dikurniakan anak yang "tidak sempurna", perkara pertama yang perlu diatasi oleh ibubapa adalah rasa berat untuk menerima ketentuan Tuhan itu. Begitulah juga dengan saya. Saya berada dalam keadaan menafikan ("state of denial") untuk beberapa lama kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa Allah datangkan ujian begini untuk saya.

Di sini saya perturunkan beberapa perkara yang perlu kita renungkan dan ia juga menjadi peringatan untuk saya sendiri.

1. Sudah ditentukan oleh Tuhan

Sebagai seorang yang beragama Islam, amat penting untuk yakin dengan kuasa dan takdir Tuhan. Kurniaan ini adalah ujian yang pastinya mempunyai hikmah tersendiri. Ia satu anugerah, bukannya beban yang menyesakkan dada. Bersyukurlah dengan kurniaanNya walau manis mahupun pahit. Untuk berfikiran positif, carilah sebanyak mungkin kesempurnaan di dalam ketidaksempurnaan yang ada. Pasti kita akan lebih bahagia melihat betapa banyaknya kelebihan yang berlainan dari yang kita harapkan.

Jadi, terimalah ketentuan ini bersama semangat untuk terus maju ke hadapan.

2. Jangan salahkan diri sendiri

Tiada siapa yang bersalah sekiranya terjadi sesuatu di luar jangkaan kita. Jangan merasa bersalah atau menyalahkan diri sendiri. Kurniaan ini adalah satu ketentuan yang sudah tersurat untuk kita lalui. Sudah pasti kita mampu melaluinya kerana Allah turunkan ujian mengikut kemampuan hambaNya. Kita harus redho dengan setiap yang terjadi.

3. Jangan menghukum atau menghina

Kita tidak boleh menilai seseorang kerana keadaan fizikalnya semata-mata. Allah tidak menilai seseorang itu berdasarkan rupa parasnya. Apa yang Allah lihat adalah siapa yang berbuat sebaik-baik amalan kepadaNya. Sebagai makhluk ciptaan Allah, setiap orang dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza. Contohnya, bagi yang cacat penglihatan, hati mereka lebih terang dari orang yang celik. Adakah itu lebih buruk? Sudah tentu tidak kerana terang hati lebih mudah menerima ilmu.

Bagi kita yang merasa sempurna, kita tidak harus berbangga dengan apa yang ada kerana Allah boleh menarik nikmat itu bila-bila masa saja. Seelok-eloknya, lihatlah orang lain yang lebih susah dari kita dan cubalah letakkan diri kita di tempat mereka. Begitu jugalah bila berhadapan dengan anak istimewa, jangan menghukum dia tentang perkara yang dia sendiri tidak faham. Berlaku adillah terhadap dia.

4. Esok masih ada

Setelah kita dapat menerimanya, harapan untuk meningkatkan perkembangan sentiasa ada. Kenalpasti kekuatan dan kelemahan anak itu. Kembangkan kekuatannya. Teruskan usaha bagi meningkatkan pencapaiannya. Kita pasti tertunggu-tunggu bila anak ini akan melalui peringkat "development burst" di mana anak ini menunjukkan peningkatan yang ketara dalam masa yang singkat. Ada masanya saya juga hampir berputus asa, apa yang dapat mengembalikan semangat saya adalah memfokuskan kelebihan-kelebihan yang ada pada anak saya.

5. Anda tidak keseorangan ("you are not alone")

Jangan berasa gundah kerana menyangka hanya anda seorang saja yang ditimpa masalah. Adat dunia, setiap manusia pasti akan diuji untuk meningkatkan keimanannya. Dapatkan bantuan dan sokongan dari ahli keluarga, kawan-kawan dan ibubapa lain yang mempunyai masalah yang hampir sama. Melihat penderitaan anak lain juga banyak membantu membetulkan salah tanggapan tentang hanya kita yang diberi "ketidaksempurnaan". Cubalah luangkan masa untuk melawat hospital (bahagian kanak-kanak) ataupun rumah-rumah amal yang mengendalikan insan OKU, hati pasti tersentuh melihat kepayahan mereka.

6. Ambil peluang berbakti untuk masyarakat

Kita merupakan insan terpilih untuk menabur bakti di bidang ini. Ambillah peluang ini untuk membantu anak-anak istimewa yang lain berbekalkan pengalaman sendiri. Sentiasalah menyokong setiap usaha masyarakat setempat dalam menyediakan kemudahan dan keperluan untuk OKU lain berdikari. Biasanya, ahli masyarakat hanya tahu menghina dan menghindari diri dari insan OKU, sepatutnya kita belajar memahami dan membantu mereka. Tanpa bantuan kita, mereka tidak punya kemampuan untuk memajukan diri.

Demikianlah sedikit sebanyak coretan saya untuk kali ini. Tujuan saya adalah bagi menimbulkan kesedaran dan dapat menerima anak istimewa kita dengan berlapang dada, tanpa rasa bersalah, sedih mahupun menyesal. Akhir sekali, sentiasalah berdoa kepada Tuhan semoga perjalanan membesarkan insan istimewa kita dipermudahkan.

Sunday, December 21, 2008

Memupuk semangat sukarelawan (volunteerism)

Sebelum mengenali dunia orang kelainan upaya (OKU), saya amat jahil tentang keperluan mereka.

Hidup waktu itu hanyalah untuk kerja dan keluarga sahaja. Tidak terfikir untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial membantu mereka yang dalam kesusahan. Usaha saya untuk membantu orang lain hanyalah dengan membayar zakat dan bagi kaum keluarga pula, saya hanya menghulurkan sedekah di hari-hari kebesaran Islam.

Semangat sukarelawan (volunteerism) ini sebenarnya lahir dari sifat penyayang dan belas kasihan. Rasa tanggungjawab untuk melakukan sesuatu yang bermakna untuk orang lain. Rasa belas kasihan melihatkan kesusahan orang lain. Sifat ini tidak datang sendiri tetapi boleh dipupuk sehingga menjadi sebahagian dari hidup kita.

Kelebihannya:
- meningkatkan jati diri,
- meningkatkan keyakinan diri,
- mencambahkan nilai-nilai kemasyarakatan di hati anggota masyarakat,
- mewujudkan hubungan ikhlas sesama manusia.

Di negara kita juga, terdapat banyak pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) yang bergerak atas nama sukarelawan. Adalah diharapkan lebih ramai lagi yang menceburkan diri dalam bidang ini kerana ia satu bidang yang mulia. Ada yang sanggup pergi ke luar negara meninggalkan keluarga tercinta demi membantu orang lain yang kesusahan.




Tangan yang di atas itu lebih baik dari yang di bawah.
Ini membawa maksud bahawa memberi itu lebih baik dari menerima. Memberi juga salah satu cabang menyuburkan sifat sukarewan dalam diri kita.

"Giving is better than receiving because giving starts the receiving process."
Terjemahannya, "Memberi adalah lebih baik dari menerima kerana memberi memulakan proses menerima." -- Jim Rohn

Ada banyak cara untuk memberi. Sekadar mengetengahkan beberapa contoh tindakan yang boleh kita ambil dalam memberi adalah:
- derma pakaian semasa bencana alam,
- derma wang ringgit kepada pusat jagaan , rumah kebajikan, masjid,
- hulurkan bantuan barang makanan, perubatan dan keperluan lain,
- belikan baju baru sebelum mula persekolahan atau perayaan,
- bantu tenaga kerja bergotong royong membersihkan kawasan sekitar.

Akupun tak ada, bagaimana mahu memberi?

Mungkin ada yang berfikir begitu. Apakah yang boleh kita beri jika kitapun tak berkecukupan?
Contoh-contoh di atas hanyalah sekadar pemberian material kepada yang memerlukan. Bagaimana dengan MASA kita? Adakah kita pernah memperuntukkan sekian banyak masa untuk kerja-kerja begitu? Selalunya itulah alasan kita, tak ada masa nak buat, tak sempat nak buat. Sedangkan kita tahu, masa itu juga adalah pemberian Allah untuk kita berbakti kepada dunia. Jadi fikir-fikirkanlah apakah jawapan kita nanti kepada Allah, bagaimanakah kita menggunakan masa kita?

Sebagai latihan memberi, semangat sukarelawan ini boleh diaplikasi untuk melayan ibubapa kita sendiri. Sebagai contoh, berapa jamkah dalam seminggu kita luangkan masa untuk ibubapa kita sendiri? Layanan bukan hanya dengan wang ringgit, tetapi cukuplah sekadar menelefon atau picit dan urut.

Selain itu, disiplin diri juga amat penting. Jika kita boleh membiasakan diri untuk memberi dalam jumlah yang kecil, maka akan lebih mudahlah kita memberi yang lebih besar. Memberi sepuluh sen, bagi seorang anak kecil, tentulah mudah. Yang penting memberilah secara berterusan. Bila berterusan, anak kecil yang kemudiannya menjadi jutawan akan berasa mudah untuk memberi satu juta ringgit.

Marilah kita berazam untuk lebih banyak memberi, dalam apa bentuk sekalipun.

Sunday, December 7, 2008

Profesionalkah perkhidmatan untuk OKU?

Kali ini saya ingin memperkenalkan "rangkaian kenalan baru" apabila berada di dunia OKU ini. Pada mulanya ia mungkin sedikit sukar, tetapi setelah faham tentang bidang kepakaran mereka, anda akan lebih mudah berinteraksi dengan mereka.

Kebiasaannya seorang OKU memerlukan beberapa perkhidmatan. Adalah penting untuk mendapatkan perkhidmatan yang saling sokong menyokong antara satu sama lain.

Secara amnya, jumlah perkhidmatan profesional untuk OKU di negara ini masih sedikit berbanding dengan negara lain seperti Singapura. Kebelakangan ini kita mula melihat beberapa kolej perubatan diwujudkan. Harap-harapnya, bidang ini akan diceburi lebih ramai lagi kerana ia suatu kerja yang mulia.

Untuk mendapatkan perkhidmatan, kita mungkin juga akan dirujuk oleh doktor atau orang lain yang pernah menggunakan perkhidmatan tersebut. Walaubagaimanapun, untuk anak istimewa, ibubapalah yang membuat keputusan kerana ibubapa lebih tahu apa yang sesuai untuk anak kita. Manakala untuk OKU dewasa, penjaga yang paling rapat perlu membuat keputusan bagi pihak OKU itu.

Saya membahagikan perkhidmatan untuk OKU kepada beberapa jenis berdasarkan di mana mereka boleh ditemui. Senarai ini mungkin sekadar menamakan beberapa jenis kepakaran, tetapi perlu untuk memberi gambaran bagaimana hendak bermula.

1. Perkhidmatan kesihatan/fizikal



Untuk mengenalpasti masalah, kita perlukan pakar-pakar berikut:
a) Pakar kanak-kanak (paediatrician) adalah orang pertama yang kita temui terutama yang melibatkan kesihatan.
b) Pakar psikologi klinikal (clinical psychologist) akan dirujuk, jika didapati OKU itu ada masalah emosi atau fungsi otak.
c) Pakar audio (audiologist), jika terdapat masalah pendengaran.
d) Pakar neurologi (neurologist), jika terdapat masalah berkaitan dengan otak contohnya OKU selalu diserang sawan.
e) Pakar mata (ophtalmologist), jika terdapat masalah penglihatan.

Untuk tujuan pemulihan pula, kita perlukan perkhidmatan berikut:
a) Pakar diet (dietician), jika terdapat masalah pemakanan.
b) Ahli terapi fisio (physiotherapist) jika terdapat masalah fizikal.
c) Ahli terapi carakerja (occupational therapist) untuk masalah pembelajaran.
d) Ahli terapi pertuturan (speech therapist) jika terdapat masalah bertutur dan berkomunikasi.

2. Perkhidmatan pendidikan



a) Guru kelas khas - guru perlu memahami masalah anak dan akan mengatur "rancangan pendidikan individu" (RPI) untuknya.
b) Guru besar - penglibatan dan keprihatinan guru besar sekolah amatlah bermakna kepada guru-guru kelas khas. Ia bagai menyuntik motivasi untuk guru-guru kelas khas melakukan yang terbaik untuk anak muridnya.
c) Ahli terapi pendidikan (educational therapist) - tugasnya lebih banyak tertumpu kepada mencari cara terbaik untuk perkembangan pendidikan anak muridnya. Biasanya dia perlu berkomunikasi dengan pakar psikologi kanak-kanak untuk memahami tahap kefahaman anak murid.

Dalam bidang pendidikan, kita harus juga faham bahawa perkembangan anak-anak ini sudah pasti tidak sama seperti anak-anak yang normal. Jadi matlamat "rancangan pendidikan individu" untuk si anak amatlah penting bagi menggalakkan perkembangan potensi anak itu.

3. Perkhidmatan dari rumah



Selain dari yang di atas, kita juga boleh mendapatkan perkhidmatan perseorangan. Sesi rawatan boleh dilakukan di tempat yang ditetapkan, di rumah pemberi khidmat atau di rumah kita sendiri.

a) Ahli terapi pendidikan - biasanya mereka ini adalah guru yang melakukan 'freelancing'.
b) Ahli terapi pertuturan - cara kerjanya sama seperti yang kita dapati di hospital, mungkin masa kerjanya lebih fleksibel.
c) Ahli terapi fisio
d) Ahli terapi carakerja
e) Ahli terapi muzik - dia menggunakan alat-alat muzik untuk mengembangkan fungsi kognitif otak, pergaulan sosial dan kemahiran motor halus (fine motor).
f) Ahli senilukis - dia menggunakan alat-alat melukis untuk meningkatkan kemahiran motor halus.

Bagi OKU yang tiada masalah fizikal, dia juga perlu melakukan aktiviti luar seperti berenang, bersenam di gim atau pun menunggang kuda.

Selain dari ahli terapi dan pakar-pakar di atas, ibubapa atau penjagalah yang menjadi tonggak utama dalam perkembangan seseorang OKU . Setiap aktiviti di atas juga memerlukan penyertaan ibubapa/penjaga kerana mereka lebih memahami apa yang OKU boleh lakukan. Ibubapa/penjaga juga boleh mereka/cipta aktiviti lain di rumah yang boleh meningkatkan kemahiran OKU. Ada juga ibubapa yang meluangkan masa membantu OKU lain dengan menyertai pertubuhan bukan-kerajaan dan sebagainya. Sekalung terima kasih dan tahniah kepada mereka.

Beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam mencari perkhidmatan profesional untuk OKU ialah:

1. kesesuaian

Pakar yang pandai mengambil hati dan menunjukkan sifat penyayangnya. Jika terlalu profesional, pelanggan tidak nampak perikemanusiaan pakar itu. Kadang-kadang OKU juga mengambil masa untuk kita fahami.
Latihan yang diberi biarlah berpadanan dengan kemampuan OKU. Jika OKU itu boleh bercakap, banyakkan bertanya samada OKU boleh lakukan atau tidak. Jika tidak boleh bercakap, pemerhatian amatlah perlu.

2. keselesaan lokasi

Di sini saya berikan beberapa contoh.
a) Saya sedikit cerewet bila memikirkan terpaksa pergi ke tempat yang susah hendak meletak kereta. Anak saya pula tidak boleh menunggu lama untuk sesuatu temujanji.
b) Tempat yang sesak dan tiada penghawa dingin sudah tentu tidak selesa.
c) Tandas yang sesuai juga amat membantu.

3. kos
Pihak persendirian biasanya mengenakan caj lebih mahal. Ada juga yang mengenakan kos pengangkutan kalau dia perlu datang ke rumah kita.
Badan2 kerajaan lebih murah dan berpatutan, tetapi mungkin mengambil masa yang lama untuk mendapatkan temujanji.

Saya harap tip-tip di atas dapat membantu dalam mencari perkhidmatan yang sesuai.

Saturday, November 1, 2008

Kekuatan dalam kemaafan

Memaafkan orang itu melambangkan kekuatan jiwa si pemaaf.

Satu konsep yang agak baru?
Mengapa begitu?
Benarkah begitu?

Saya terpaku menyaksikan rancangan bual bicara Oprah yang memaparkan kisah seorang pemaaf yang hebat, Kent. Di rancangan itu, Oprah telah menemuduga si pemaaf itu secara langsung di studionya.

Kisahnya bermula apabila isteri dan anak lelaki bongsunya ditembak mati oleh rakan2 anak lelaki sulungnya sendiri selepas pulang dari makan malam sekeluarga. Kent dan anak sulungnya terselamat dari tembakan itu, hanya cedera, kemudiannya telah dirawat di hospital. Setelah terbukti anak sulungnya terlibat, anaknya itu telah dihantar ke penjara.

Setelah mengetahui tentang penglibatan anak sulungnya dalam tragedi maut itu, Kent bukan saja tidak marah, malah sanggup memaafkan anak sulungnya itu semasa dia masih di dalam hospital lagi. Katanya, dengan cara itu sajalah katanya dia boleh meneruskan kehidupannya. Dia berpendapat, hanya dengan memaafkan orang lainlah, dia dapat membantu menyembuh luka dalam dirinya sendiri. Subhanallah!

Secara saintifiknya pula, orang yang tidak memaafkan akan menyimpan dendam, yang menjadi toksin dalam badannya, selagi tidak memberi maaf. Toksin ini pula sudah tentu akan menyebabkan pelbagai penyakit dalam badan kita.

Saya terjumpa beberapa kata-kata hikmah dari orang bijaksana tentang kemaafan. Di bawah ini saya sertakan kata-kata tersebut:

"Saya percaya satu masa dimana kita dipandang hebat di mata seorang kanak-kanak ialah bila kita berjumpa dia untuk memohon maaf dan mengucapkan, 'Saya tersilap. Bolehkah awak maafkan saya?' " -- Kevin Leman

"Tidak pernah seorang manusia tampak gagah, kecuali bila dia mengorbankan dendam dan berani memaafkan satu kelukaan." -- E. H. Chapin

"The weak can never forgive. Forgiveness is the attribute of the strong."
Terjemahannya, "Yang lemah takkan memaafkan. Kemaafan hanyalah ciri orang yang kuat." -- Mahatma Gandhi

Jadi memberi maaf itu amatlah digalakkan.

Kisah Nabi yang sangat pemurah dan pemaaf juga pernah saya dengar. Bagaimana Nabi memberi makan saban hari kepada seorang perempuan Yahudi yang buta di pasar. Perempuan buta itu hanya tahu mengejek dan menghina seorang Nabi, supaya orang lain tidak beriman dengan agama baru yang diajarkannya. Malangnya, perempuan buta itu tidak tahu, orang itulah Nabi yang menyuapkannya makan setiap hari. MasyaAllah, begitu besar sifat pemaaf Rasulullah saw kita.

Jadi, di manakah kita dalam memaafkan? Ada dua bahagian dalam bab kemaafan ini:
1. memaafkan orang lain - belajarlah untuk memaafkan orang lain. Allah sendiri pun sentiasa membuka pintu dan ruang untuk hambaNya memohon maaf, apalah lagi yang ada pada kita sesama manusia ini. Amatlah digalakkan untuk kita muhasabah diri sebelum tidur, kemudian memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap kita sepanjang hari itu.

2. memohon maaf dari orang lain - jangan malu untuk memohon maaf jika benar kita yang bersalah. Melakukan kesalahan itu adalah lumrah manusia, jadi setelah tersedar kita yang bersalah, pohonlah maaf. Tidak ada gunanya meninggikan ego, hanya seperti menegakkan benang yang basah.

Jadi, bagaimana dengan kita?
Mampukah kita memaafkan orang?

Dalam mengharungi hidup bersama seorang OKU, amat penting menerapkan sifat memaafkan ke dalam diri kita. Sudah tentu susah pada mulanya, kerana saya, contohnya, tidak mahu faham keadaan seorang OKU. Perbuatan yang salah pada kita, tidak salah padanya. Perkara yang betul pada kita, tidak betul padanya. Bukan dia sengaja nak buat salah, tetapi akalnya tidak mampu memproses perkara itu sebagai salah. Apa lagi yang harus kita lakukan, marah dan jerit tidak berguna, hanya betulkan mana yang silap.

Satu peringatan untuk saya dan semua yang membaca.