PETIKAN DARI ARTIKEL USTAZ ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
- DOKTOR FALSAFAH ( PhD. Syariah & Islamic Finance, University of Wales, UK).
Jika nak memilih perniagaan Network Marketing:
1. Produk Network Marketing itu mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, terbukti berkesan oleh semua pakar, unik dan lainnya). Justeru, produk Network Marketing yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengaburi dalam undang-undang dan hukum syariah, ia tiadalah halal di sisi syariah. Justeru, kekuatan Network Marketing itu ialah kepada produknya yang sangat bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal), bermain dengan sistem plan pemasaran dan tawaran dividen bulanan atau naik turun 'e-share' yang tidak diaudit auditor bertauliah/ suruhanjaya sekuriti.
2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh (ETA, gold/silver share, simpan dapat hibah/dividen bulanan dan sebagainya). Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.
3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.
4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).
5. Tidak diwajibkan bagi si ahli membuat belian sendiri dalam jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya. Ini kerana dibimbangi ia mirip paksaan belian. Namun jika syarikat meletakkan syarat JUALAN MINIMA untuk memperolehi komisyen kumpulan dan sebagainya, ia mungkin dibenarkan dengan syarat ia dibuat atas asas ju'alah. Untuk itu, syarat dan rukun jua'alah mestilah dipastikan sempurna.
6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut syariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.
7. Tidak menggunakan skim piramid (binari/pairing/hybrid) iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya dan tidak berjangka masa panjang. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan dan berkemungkinan besar hilang. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah dengan sistem plan pemasaran yang adil itu orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.
~sumber asal: www[dot]zaharuddin[dot]net~
P/s: Jangan salah pilih sebab kuasa pilihan ditangan anda. Nak masuk syurga atau neraka juga adalah pilihan anda. Jangan biarkan orang lain yang membuatkan pilihan untuk anda. Keputusan anda sekarang bakal menentukan siapa anda 5 tahun dari sekarang. Jika sudah tersalah buat pilihan dalam perniagaan Network Marketing, belajarlah dari kesilapan dan lakukan semula dengan syarikat, sistem, cara & kaedah yang betul dengan ilmu. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.