Labels

Thursday, April 15, 2010

ADHD: Tambah tumpuan di tempat kerja

Di bawah ini dipaparkan terjemahan dari additudemag.com tentang bagaimana hendak fokus di tempat kerja.

Saya baru perasan kenapa anak saya asyik melompat dan berubah tempat apabila pergi ke speech therapy, mungkin itu caranya dia memberitahu bahawa dia mahu lebih tumpuan.

Enam cara untuk orang dewasa menambah dan mengekalkan fokus di tempat kerja
Oleh Patricia Quinn, M.D.

Adalah persepsi biasa bahawa penghidap ADHD senang kehilangan fokus. Orang dewasa ADHD boleh fokus tetap susah untuk mengekalkan fokus. Ini berlaku terutama aktiviti yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang diminati. Bayangkan ketika mendengar syarahan atau berada dalam mesyuarat yang membosankan.

Sepanjang lebih 30 tahun bekerja dengan penghidap ADD/ADHD, saya dapati ada enam strategi untuk meningkatkan tumpuan dan menambah keupayaan memfokus.

1. Tulis

Jika anda akan ke bilik mesyuarat, syarahan, bengkel atau perhimpuanan yang memerlukan penumpuan, minta salinan agenda atau rangka jadual ceramah itu lebih awal. Bawa bersama anda semasa mesyuarat itu. Gunakan rangka itu untuk mendengar secara aktif dan ambil nota. Tulis apa yang anda dengar supaya anda sentiasa memberi tumpuan kepada penyampai.

2. Dapatkan tempat duduk yang bagus

Tempat duduk amat penting. Anda akan dapati anda mudah menumpukan perhatian jika duduk di depan, menghadap penyampai. Sampai awal ke tempat mesyuarat dan dapatkan tempat yang kurang daripada gangguan, seperti di tepi pintu koridor atau berhampiran dengan kipas yang bising.

Jika majlis itu dijadualkan untuk beberapa jam, tukar tempat duduk anda beberapa kali. Ini akan memberi anda perspektif baru dan membantu untuk fokus. Jika perlu bekerja berseorangan, seperti di makmal atau peperiksaan yang lama, minta izin untuk berehat seketika, mungkin juga berubah tempat duduk. Berdiri dan berjalan membantu anda untuk berasa segar dan fokus semula.

3. Minta diulang kembali

Selepas habis penyampaian, minta pensyarah atau penyampai itu untuk membuat kesimpulan atas apa yang telah diterangkannya. Terangkan apa yang anda faham, dan ini juga masa yang sesuai untuk membantu anda sekiranya tercicir memahami apa yang disampaikan. Disamping itu, jangan lupa menentukan bila tarikh akhir kerjarumah perlu disiapkan.

4. Elakkan kepenatan

Amat susah untuk memberi tumpuan jika anda penat. Di sekolah/kolej, cuba daftar untuk kelas yang bermula seawal pagi atau bila masa fokus anda sangat tinggi. Di tempat kerja pula, anda mungkin tidak berupaya untuk mengawal waktu mesyuarat, tetapi cuba pilih masa yang sesuai dengan anda.

5. Bergerak!

Mula merasa bosan? Selagi tidak mengganggu orang lain, pusing pen, main dengan rambut anda atau apa saja untuk membantu anda menumpukan perhatian. Jika tidak menjadi masalah, anda juga boleh mengulum gam getah, gula-gula atau minum sedikit air. Sekiranya anda risau apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, tanya pada penyampai terlebih dahulu.
Lihat buku bertajuk "Fidger to Focus" oleh Roland Rotz, Ph.D., and Sarah Wright (iUniverse).

6. Berhati-hati memilih pemimpin yang sesuai

Memilih kursus? Cari pensyarah yang teratur, dinamik dan boleh berbincang. Dia juga perlu memberitahu tarikh akhir sesuatu kerjarumah lebih awal dan memberi banyak input kepada pelajarnya.
Di tempat kerja, anda mungkin tidak boleh memilih, tetapi anda boleh meminta kemudahan untuk anda berfungsi lebih berkesan dalam menyiapkan kerja anda. Tuliskan 'deadline' anda di kertas atau papan putih, bekerja di tempat yang sunyi dan jadualkan mesyuarat yang singkat.

Wednesday, April 7, 2010

Jangan bezakan anak kelainan upaya

Selasa April 6, 2010
Tokoh OKU Minta Ibu Bapa Jangan Bezakan Anak Kelainan Upaya

MELAKA: Tuah Atan, seorang peguam yang hari ini dinamakan Tokoh OKU Melaka 2009, meminta ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya supaya jangan sekali-kali membezakan mereka dengan anak-anak yang lain. Katanya walaupun beliau dilahirkan dengan kecacatan namun kejayaannya adalah kerana ibu bapanya yang tidak kecewa atau berputus asa dengan keadaan dirinya.

"Saya rasa kanak-kanak OKU macam saya, kalau tak ada ibu bapa yang beri sokongan dan kasih sayang serta kefahaman, agak sukar untuk kita maju dan keluar dari kepompong kecacatan," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu daripada isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Asmah Abdul Rahman pada sambutan Hari OKU di sini hari ini.

Tuah, 49, dilahirkan di Tanjung Kling dekat sini dengan hanya tangan kanan yang sempurna, tanpa kedua-dua kaki dari paras lutut manakala tangan kirinya hanya pada paras siku.

Beliau adalah pemegang ijazah sarjana muda (kepujian) undang-undang dan kini mempunyai dua pejabat firma peguam iaitu satu di Kuala Lumpur dan satu di Melaka. Anak keempat dari sembilan beradik ini pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Tokoh Maal Hijrah (Profesional) pada tahun 1997 dan 2008.

Tuah berkata bahawa sejak bapanya, Atan Semilang, seorang pesara polis meninggal dunia lima tahun lepas, ibunya Mariam Karim, 72, adalah segala-galanya bagi dirinya.

"Emak tinggal di Seremban dan adalah orang pertama yang saya akan telefon setiap hari sebaik memasuki pejabat untuk bertanya khabar sama ada beliau sihat. "Emak tak pernah membenci saya, ketepikan dan abaikan saya kerana kecacatan saya sebaliknya mengajar saya tentang kasih sayang ketika mendidik dan membimbing saya," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun bersama isterinya yang juga seorang peguam.

Tuah berkata OKU yang ingin mencipta kejayaan perlu berpegang kepada kepada pepatah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Pada majlis hari ini juga, Latib Md Isa diumumkan sebagai Tokoh Usahawan OKU manakala anugerah Tokoh Pekerja OKU dimenangi Hashim Ishak, seorang pegawai khidmat pelanggan di Jabatan Penerangan Melaka. - BERNAMA

Dipetik dari: mstar.com.my

Sunday, March 21, 2010

Potensi anak Sindrom Down

Oleh Lailetaty A Rahman
bminggu @bharian.com.my
2010/03/21

Sokongan, pendidikan awal mampu serlah kebolehan si kecil istimewa

TANGGAL 21 Mac amat bermakna kepada masyarakat istimewa sindrom down (SD). Pada hari ini, seluruh dunia meraikan Hari Sindrom Down yang diadakan bagi meraikan golongan ini selain meningkatkan kesedaran orang ramai agar memahami mereka.

Ini kerana, selain mempunyai hati dan perasaan, penghidap SD ini juga sebenarnya mampu dibantu untuk pulih ke tahap paling maksimum dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain. Syaratnya, mereka haruslah diberi pendedahan dan pendidikan awal pada usia seawal mungkin. Apakah yang dimaksudkan dengan sindrom down ini? Berbanding individu normal yang memiliki 23 pasang kromosom, kanak-kanak SD ini pula memiliki tiga kromosom pada pasangan kromosom yang ke 21 dan ini yang membuatkan mereka dilahirkan sebagai anak istimewa. Dan tarikh 21 Mac itu dipilih sebagai melambangkan keistimewaan 21 kromosom penghidap sindrom ini. Di Malaysia saja, dianggarkan satu kes bagi setiap 600 kelahiran. Perlu diingat, sindrom ini bukannya bertumpu kepada satu-satu bangsa tertentu sebaliknya berlaku kepada semua bangsa di seluruh dunia. Dan, biarpun berbeza bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.

Ini berkait rapat dengan ciri fizikal yang ketara seperti bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung kecil dan agak leper. Tahap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak SD juga agak lambat berbanding kanak-kanak biasa.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga berisiko mempunyai masalah kesihatan seperti jantung berlubang, mudah dijangkiti selesema, kurang pendengaran, masalah pertuturan dan penglihatan kurang jelas.

Biarpun dunia menyaksikan perkembangan teknologi kesihatan yang memberangsangkan, sayangnya, masalah SD ini memang tidak boleh diubati. Namun itu tidak bererti mereka tidak layak menikmati kehidupan, sebaliknya apa yang lebih penting bagi penghidap SD adalah perangsang dan sokongan bagi membantu mereka menempuh kehidupan. "Masih ada ibu bapa yang enggan membawa anak mereka keluar dari rumah. Perkara berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini"

Malah ‘penawar’ sebenar golongan ini adalah pendedahan awal bagi meningkatkan perkembangan mereka. Malangnya, tidak ramai ibu bapa yang mahu tampil mendapatkan bantuan, sebaliknya lebih suka memerapkan anak di rumah. Jika ada pun, ia membabitkan mereka di usia remaja yang sukar dibentuk.

Menyedari kepentingan ini, pertubuhan seperti Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KSDF) menjadi tempat rujukan ibu bapa memastikan anak kesayangan mendapat pendidikan khas seawal mungkin.

Pengarah Pentadbirannya, Angie Heng, berkata dalam apa keadaan pun, apa yang lebih penting adalah sikap ibu bapa itu sendiri.

“Masih ada ibu bapa yang enggan membawa nak mereka keluar dari rumah. Perkara ini tak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini.

“Mereka sepatutnya dibenarkan untuk bercampur dengan orang lain selain adik beradik dan melayan mereka seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Menurut Heng, di pusat itu misalnya, mereka menerima kanak-kanak berusia seawal dua bulan.

“Bagi Program Simulasi Bayi terbuka kepada usia baru lahir hingga 18 bulan, manakala Program Kanak-Kanak pula bermula usia 18 bulan hingga dua tahun.

“Program biasa membabitkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang melatih kanak-kanak SD meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial mereka.

“Kita menetapkan yuran Program Simulasi Bayi berjumlah RM130 sebulan dan Program Biasa pula RM160. Namun ibu bapa boleh membuat rayuan dan berbincang dengan pihak Kiwanis bagi mengurangkan yuran berkenaan," katanya.

Heng berkata, pendidikan awal sehingga mencapai usia enam tahun ini amat penting kerana ia sebenarnya melatih kanak-kanak SD ini agar lebih berdikari dan bercampur gaul dengan rakan lain bagi meningkatkan kemahiran sosial mereka.

Masyarakat juga, katanya, perlu mengubah persepsi negatif mereka yang beranggapan golongan SD ini tidak berguna.

“Ramai kanak-kanak SD yang berjaya memasuki sekolah biasa dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain. Ada juga yang berjaya memasuki sekolah kerajaan dan menduduki peperiksaan ujian awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia. Malah ada yang bekerja di sektor swasta,” katanya.

Setakat ini, Kiwanis mempunyai tujuh cawangan dengan bilangan 300 pelajar sekolah di seluruh negara. Yayasan yang ditubuhkan lebih 21 tahun lalu bermatlamat membantu kanak-kanak istimewa ini mengoptimumkan potensi mereka.

Sempena sambutan Hari Sindrom Down Sedunia, Heng berkata, pusat itu mengadakan pelbagai acara termasuk pertunjukan peragaan, persembahan nyanyian dan kebudayaan. Sebelum ini sambutan diadakan di pusat perubatan bagi menyedarkan warga hospital dan orang ramai mengenai SD.

FAKTA: Sindrom Down

o Sindrom ini mengambil nama Dr Langdon Down, orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866
o Masalah ini disebabkan kelainan kromosom menyebabkan seseorang kanak-kanak itu menunjukkan sifat fizikal khusus yang boleh dikenali sewaktu bayi lagi.
o Berlaku dalam satu kelahiran bayi bagi setiap 700 hingga 1,000 kelahiran.
o Ramai pakar menyatakan usia lanjut ibu iaitu berumur 35 tahun ke atas sebagai risiko tinggi melahirkan anak Sindrom Down. Namun, ibu ibu muda juga tidak terkecuali daripada risiko itu.
o Sindrom ini ada pada semua bangsa di seluruh dunia. Biar apa bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.
o Ciri fizikalnya termasuk bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung pendek dan leper.
o Pertumbuhan yang lambat.


Dipetik dari:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PotensianakSindromDown/Article/

Friday, March 19, 2010

Membantu Anak Sindrom Down "Ikhlas Dari Hati"

Oleh ZULKIPLE IBRAHIM

MENGAJAR anak yang mengalami masalah genetik Sindrom Down cara bagaimana mengembangkan kebolehan serta kepandaian sosial mereka bukanlah sesuatu yang mudah.

Tetapi bagi pakar terapi dan jurupulih anggota di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat
Nasional (KDSF-NC)di Petaling Jaya, semuanya dilakukan secara 'ikhlas dari jiwa'.
KDSF-NC mempunyai empat juruterapi yang bertugas untuk mengajar dan mengembangkan kebolehan sosial anak-anak Sindrom Down serta perkembangan pertuturan mereka.
Dua daripada juruterapi ini adalah warga Filipina manakala dua lagi dari Malaysia.

Apa yang mendorong mereka memilih untuk bertugas bersama anak-anak istimewa?

MULA DENGAN INGIN AMBIL TAHU

"Ianya bermula dari sikap ingin ambil tahu. Saya mahu belajar bagaimana badan manusia berfungsi luar dan dalam", menurut juruterapi Hazel Joy D. Sablay, 26 tahun. Beliau, yang lebih selesa dikenali sebagai Joy, berasal dari Manila, Filipina.

"Kanak-kanak adalah cantik dan comel. Saya menyayangi kesucian yang ada dalam diri mereka yang membuat mereka jujur dalam segala perbuatan yang dipamerkan dan pada apa perkataan yang mereka tuturkan.

"Tetapi apa yang membuatkan saya amat menyayangi anak keperluan istimewa ialah kekuatan mereka yang memberikan inspirasi kepada kita walaupun mereka berada dalam keadaan yang sukar.

"Sebagai juruterapi, adalah satu hadiah buat saya melihat anak-anak ini membesar dan dapat membantu mereka mengembangkan kebolehan yang mereka ada walaupun dengan keadaan mereka yang sukar dan terhad".

Bagi Joy, bertugas bersama anak-anak istimewa merupakan satu proses mengajar dan diajar.

"Mereka belajar daripada saya dan saya juga belajar daripada mereka. Mereka memberi
inspirasi kepada saya dan saya percaya dalam sebahagian daripada hidup mereka, saya juga merupakan inspirasi bagi mereka", kata beliau.

DARI JIWA

Menurut Joy, adalah penting untuk mengetahui bahawa mengajar anak Sindrom Down bukan sahaja berlandaskan pengalaman dan kepandaian tetapi ianya harus dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.

"Jika kita mempunyai semangat untuk membantu mereka, semuanya akan turut tercatur dengan baik. Mempunyai hati dan perasaan yang jujur adalah kunci untuk menjadi pengajar, penjaga atau juruterapi anak istimewa secara efektif".

Joy percaya terapi fizikal atau fisioterapi adalah pilihan baik bagi pesakit yang mempunyai kekurangan upaya dalam sistem badan seperti otot, tulang, sensori, neurologi, peredaran darah serta pernafasan.

"Saya bersyukur kerana dapat bekerja bersama dengan anak keperluan khas walaupun ada mereka yang bertugas sebagai penjaga kesihatan profesional yang enggan dan turut menjauhi anak-anak ini", kata beliau.

Walaupun dilahirkan di Manila, Joy membesar di Isabela, kawasan utara Filipina. Pada tahun 2005, beliau menerima ijazah Sarjana Muda Terapi Fizikal dan mendapat lesen profesional di bidang tersebut pada tahun yang sama.

Sebelum beliau mula bertugas di KDSF-NC pada Mei 2008, Joy bekerja di sebuah hospital di Filipina selama tiga tahun dan telah melibatkan diri dengan ramai pesakit yang terdiri daripada golongan pediatrik dan geriatrik.

"Pada masa yang sama saya juga merawat pesakit di rumah seperti mereka yang mengalami masalah saraf dan otot serta anak istimewa antaranya Sindrom Down", tambah beliau.

TERAPI CARA KERJA

Kenapa pilih juruterapi sebagai kerjaya? Itulah soalan yang diajukan terhadap Junaleth 'June' Dalupang Chiong.

"Ianya bukanlah pilihan pertama saya. Tetapi ketika saya belajar, saya rasa terpanggil membantu mereka yang memerlukan dan ketika itulah saya mula memperkembangkan kebolehan saya dalam aspek ini", kata June yang berasal dari Makati, Filipina.

"Sebelum datang ke Malaysia, saya mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun sebagai juruterapi cara kerja di Filipina. Saya biasa dengan anak-anak istimewa bukan sahaja Sindrom Down tetapi juga autisme, cerebral palsy, masalah pembelajaran dan cacat akal", kata June yang mempunyai ijazah Sarjana Muda Sains Terapi Cara Kerja.

Beliau juga merupakan juruterapi berlesen.

Bagi anak-anak Sindrom Down, June mempunyai pandangan sebegini:
"Membantu mereka merupakan satu cabaran kerana bukan semua yang dapat menyesuaikan diri bersama anak-anak ini. Anak-anak ini dianggap istimewa bukan kerana masalah yang mereka hadapi tetapi mereka boleh beri kelainan terhadap hidup anda dalam keadaan yang amat
istimewa".

Bagi June, anak-anak istimewa membantu membina sifar pengajar mereka kerana ianya bukan sesuatu yang mudah mengajar anak-anak sebegini dengan penuh kasih sayang, kesabaran serta kefahaman.

"Saya tidak pernah menyesal berkhidmat untuk anak-anak istimewa kerana ianya memberi satu kepuasan bila melihat mereka berupaya mencapai kemajuan", tambah beliau.

ANAK ISTIMEWA JUGA MEMPUNYAI HAK

Bagi Ida Yasmine Ahmad, 27, yang dilahirkan di Kuching, Sarawak, anak-anak istimewa
mempunyai hak sama seperti anak yang lain. Mereka juga mempunyai persamaan dari segi
imaginasi, pemikiran, emosi serta reaksi dan tindakan.

"Disebabkan ciri-ciri istimewa mereka, anak-anak ini telah mencipta dengan sendiri daya mereka yang unik dalam menyatakan sesuatu dan ini memang sesuatu yang amat dan tidak pernah gagal menakjubkan saya.

"Apa yang kita anggap hanya sebagai kebolehan yang agak remeh, tetapi bagi anak istimewa di mana sesuatu itu kelihatan begitu sukar pada mulanya dan bila mereka berjaya melakukannya, ia seperti satu perkara yang amat besar telah dicapai.

"Dan situasi sebegini memang menakjubkan. Walaupun saya mungkin dianggap cuba membesarkan senario ini, tetapi itulah satu fakta dan perkara yang sebenarnya", kata Ida Yasmine yang merupakan graduan Kolej Universiti MAHSA pada tahun 2009.

Bagi beliau, anak-anak istimewa mungkin lain dari anak normal tetapi tetap mempunyai hak yang sama untuk bermain, belajar serta disayangi oleh semua.


"Selamat Hari Sindrom Down Dunia," kata beliau. - BERNAMA

Dipetik dari: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=483310

Sunday, March 14, 2010

Kongsi pengalaman anak istimewa

Ahad, 14 Mac 2010 10:44


CHERANG RUKU - Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU) tidak perlu kecewa dengan ketentuan Allah SWT itu, malah mereka perlu bersyukur kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan golongan terbabit. Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, ibu bapa kepada anak-anak terbabit beruntung kerana dipilih Allah untuk hidup bersama OKU.

Menurutnya, keadaan itu membolehkan ibu bapa menyedari kesusahan yang dilalui golongan kurang bernasib baik itu. “Dari sini kita dapat menyelami suka duka mereka yang terpaksa menjalani kehidupan lebih sukar berbanding insan biasa. “Jika kita tidak bersama mereka, kita tidak tahu sejauh mana kesusahan yang terpaksa dilalui mereka lebih-lebih lagi apabila mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan OKU dan Elaun Khas Pelatih PDK di Dewan Penggawa, di sini kelmarin yang turut dihadiri Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Nur Ashiqin Junoh. Dalam majlis tersebut, 27 OKU menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri dan 18 pelatih PDK Semerak menerima elaun khas bulanan. Wan Hassan berkata, sikap positif masyarakat terhadap OKU merupakan ‘ubat’ yang mampu memulihkan golongan berkenaan atau setidak-tidaknya ia membantu mereka tampil lebih berkeyakinan. “Kita perlu ingat segala itu ketentuan Allah, tidak perlu dipertikaikan dan kita harus melaluinya dengan penuh keimanan serta ketakwaan kepada Allah. “Allah mencipta manusia dan sudah semestinya Dia mengetahui apa yang diperlukan manusia, oleh itu segala permasalahan yang timbul mesti dirujuk kepada kitab suci Al Quran dan hadis,” katanya.

Katanya, tidak wajar golongan seperti itu dipinggirkan, mereka juga perlu menikmati keindahan alam sepeti melihat deruan ombak sebagai terapi minda. “Cari masa yang sesuai untuk bawa mereka berjalan-jalan kerana ia mencetuskan ketenangan sekali gus mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.

-"Sinar Harian"-

Monday, March 1, 2010

Punya anak istimewa 2

Punya anak istimewa, bagaimana rasanya?

Topik ini pernah saya paparkan sedikit masa dulu, tetapi kebelakangan ini, semakin ramai kes-kes ibu muda yang dikurniakan anak istimewa membuatkan saya terpanggil untuk menyelami cetusan hati ibubapa yang mempunyai anak istimewa. Saya telah membaca beberapa paparan forum dan laman web berkenaaan isu tersebut. Berikut adalah beberapa pandangan yang dipaparkan.

1. hubungan ahli keluarga yang punya anak istimewa atau OKU

Bagi pasangan hidup, hendaklah saling bantu membantu dalam menjaga anak istimewa ini. Seharusnya kedua-dua ibubapa dapat menerima anak istimewa, dan banyakkan bersabar melayan kerenah anak.

Bagi adik beradik yang punya saudara seorang anak istimewa pula, terimalah dan fahamilah anak istimewa itu. Rasa belas kasihan dan prihatin yang serupa juga perlu disemai terhadap OKU, orang-orang tua dan orang yang sakit.

Tunjukkan layanan yang baik terhadap OKU lain, lebihkan senyuman dan bantu mana yang perlu. Janganlah diajar menghina atau mengaibkan orang lain ('mulut laser').

2. pandangan masyarakat terhadap anak istimewa atau OKU

Bagi anggota masyarakat, sedarlah bahawa anak istimewa atau OKU sudah tentu ahli syurga, kita belum tentu lagi. Tuhan pun tidak memandang jijik, kenapa kita sesama manusia ini yang berbuat begitu?

Saya juga tidak bersetuju penggunaan perkataan yang bersifat negatif. Sekadar memberi contoh, perkataan dalam bahasa Melayu seperti 'cacat', 'terencat', 'kudung' haruslah dielakkan. Kenapa saya berkata negatif? Kerana makna perkataan itu tidak membantu apa-apa untuk perkembangan orang sedemikian. Kadangkala ada rasa menghina dalam perkataan-perkataan itu. Gunakanlah perkataan yang lebih mesra seperti 'istimewa', 'ahli syurga', 'tercabar akal' (mentally challenged), 'kelainan upaya' dan lain-lain.

Bila mahu menegur atau bersembang dengan ibubapa anak istimewa ini, tolonglah jangan menyakitkan hati mereka. Antara soalan-soalan yang 'membengangkan' ibubapa ini adalah seperti berikut:
- "kesiannya..." seelok-eloknya katalah "sabar betul akak ni" atau "kuat betul semangat akak ye"
- "macam mana boleh jadi macam tu?" seelok-eloknya katalah "subhanallah...kuasa tuhan ye"
- "sakit apa tu" seelok-eloknya katalah "apa masalahnya, pendengaran ke, otak ke, penglihatan ke"

Walau apapun pandangan masyarakat, kita harus terus mendedahkan anak istimewa atau OKU kepada masyarakat. Jangan dikurung/asingkan mereka. Daftarkan dengan Jab Kebajikan Masyarakat (JKM), hantarlah ke sekolah yang mempunyai kelas khas.

3.Sifat anak istimewa atau OKU

Sebagai ibubapa, kita dapat melihat betapa istimewanya anak-anak istimewa ini. Sifat-sifat mulia mereka adakalanya melebihi kita yang normal ini.

Secara fizikalnya pula, kulit mereka ini amat halus dan mulus. Tak perlu ditepek losyen pun, sudah cantik dan lembut. Cuba usap tangan atau pipinya, kita akan rasa aman dan tenteram. Saya selalunya menggunakan mata sebagai alat komunikasi dengan anak istimewa saya. Matanya jernih dan penuh mengharap. MasyaAllah!

Cara berfikir juga tidak sama dengan kebanyakan orang yang normal. Ada yang dapat menangkap percakapan kita walau dengan sekali sebut, tetapi ada juga yang tidak faham-faham setelah diulang beribu kali. Mereka sangat jujur, punya hati dan perasaan macam manusia lain juga.

Walaupun begitu, anak istimewa ini biasanya tidak suka menunggu. Setiap urusan mesti cepat dan teratur. Jadi semua aktivitinya mesti diatur, diuruskan dan dipantau oleh seorang penjaga sepenuh masa.

Rata-rata ibubapa yang punya anak istimewa merasakan yang anak istimewa ini adalah satu anugerah yang amat berharga dari Tuhan, yang lain dari yang lain.

4. kebolehan dan potensi anak istimewa

Apa yang boleh saya katakan ialah sabar, sabar dan sabar. Setiap aspek pembesaran anak istimewa memerlukan bantuan dari kita yang berupaya. Dari segi pemakanan, kebersihan diri hinggalah kepada pergaulan seharian. Anak istimewa memerlukan banyak masa untuk memahami sesuatu perkara, jadi setiap perkara yang hendak dicapai perlu diulang beribu kali sebelum dia faham dan boleh melakukannya. Beri masa untuk dia mencuba sendiri, agar dia dapat berbangga dengan usahanya itu. Pada masa yang same, jangan terlalu mengharap pencapaian yang terbaik dalam masa yang singkat, belajarlah untuk bersabar.

Kepada anggota masyarakat, apa yang anak istimewa harapkan adalah empati dan rangsangan untuk mereka berjaya dalam apa juga yang dilakukan. Bantuan paling mudah adalah dengan menghormati kemudahan awam yang disediakan untuk OKU. Contohnya, janganlah menggunakan tandas untuk OKU atau tempat parkir kenderaan untuk OKU. Jangan biarkan anak-anak kita membuat kerusi roda OKU seperti permainan.

Sekian untuk kali ini. Sama-samalah kita memberi sokongan terhadap golongan OKU ini.

Sunday, February 21, 2010

Menangani stres

Kebanyakan OKU atau anak istimewa pasti berdepan dengan masalah stres. Begitu juga ibubapa atau penjaga mereka.

Dibawah ini saya memetik beberapa artikel tentang bagaimana untuk menangani stres.

Apa itu stres?

Mengikut definisi Nury, STRES atau tekanan ialah apabila 5 faktor penting untuk otak dan sistem saraf berfungsi dengan baik tidak wujud secara seimbang. Antara sebab yang terpenting sekali ialah tekanan emosi dari makanan serta minuman dan persekitaran.

Apabila kita menghadapi sesuatu masalah, otak kita respon secara otomatik dengan mengeluarkan sejenis kimia yang bernama adrenalin dalam kadar yang berlebihan dari yang kita perlukan. Biasanya jika keadaan seimbang apabila jumlah adrenalin yang berlebihan ini akan diturunkan balik oleh satu hormon yang dikeluarkan oleh glan ADRENAL yang terletak di atas dan belakang buah pinggang kita. Jika keadaan ini tidak wujud atau terlalu banyak adrenalin dikeluarkan, kita akan terus merasa kesannya seperti jantung berdebar, pernafasan cepat dan cetek, rasa seram sejuk, hingga ada yang menangis, menjerit atau meraung, rasa nak buang air besar, terkencing dalam seluar. Ini ialah tanda-tanda untuk tubuh kita cuba melawan paras adrenalin yang tinggi itu.

Untuk mengawal paras adrenalin daripada menjadi terlalu tinggi di dalam tubuh kita, kita memerlukan tenaga.

Jantung yang cepat membolehkan lebih banyak darah mengalir untuk membawa oksigen ke otot dan otak untuk membolehkan kita menghasilkan tenaga itu. Responnya biasanya ialah dengan cara melawan seperti menjerit, memukul, merosakkan barang-barang atau lain – iaitu menangis, termenung atau masuk ke alam sendiri (merajuk). Kita namakan ini respon “survival”, iaitu melawan atau lari dan kita namakan respon binatang mamalia atau reptilia.

Sekiranya kita beriman dan berakal kita akan menghadapi masalah itu dengan cara positif:
- Menarik nafas panjang
- Mengucap
- Menyempurnakan solat dan cepat bertenang
- Menyempurnakan exercise “relaxation dan visualisation” .

Tanda-tanda stres

Stres boleh dipamerkan melalui kelakuan seseorang, iaitu oleh pemberi tekanan dan penerima tekanan.

Orang yang menerima tekanan akan respon dengan cara melawan, lari atau merajuk disebabkan juga oleh adrenalin yang berlebihan. Jika orang itu berakal, dia akan respon dengan cara positif dan dengan itu tidak mengalami stres.

Bagi anak kecil mereka belum lagi berakal. Sekiranya anak itu sering mengalami keadaan seperti ini, ia akan menyebabkan anak itu tidak rapat dengan ibu bapanya atau penjaganya dan sekiranya berlarutan anak itu akan menyisihkan diri dan masuk ke alamnya sendiri. Jika tanda-tanda itu wujud sebelum anak berumur 3 tahun bermakna anak itu telah mengalami stress dari dalam rahim ibu lagi dan keadaan itu di beri nama Autisma. Jika tanda itu wujud selepas 3 tahun, kita biasa kenali orang itu sebagai orang gila atau “Schizophrenia”.

Kanak-kanak umpamanya belajar mengatasi stres dan akan memprogramkan perangai marah atau merajuk dalam otaknya, dan akan dengan itu membentuk perangainya, keperibadiannya dan perwatakannya kelak waktu dewasa. Ibu yang sentiasa dalam keadaan stres waktu mengandung akan menyebabkan anak dalam kandungan juga stress, dan boleh menyebabkan keguguran, lahir belum cukup bulan, atau anak menghidap sawan tarik atau dilahirkan anak kurang upaya.

Bukan sahaja orang yang menerima akan mengalami stres, orang yang amarah itu juga akan mengalami stres.

Diantara tanda-tanda stres ialah:
# Otot-otot muka bergerak
# Cakap gagap atau tidak terus (stuttering) atau gagap
# Menggigit kuku atau bibir
# Mengetuk lantai atau meja dengan tangan atau kaki cara berterusan
# Menggoyangkan kaki
# Jantung berdebar
# Pernafasan cepat
# Sakit perut yang tidak ada kaitan dengan makanan
# Muka merah atau pucat
# Tangan sejuk dan berpeluh (basah)
# Rasa loya atau tidak lalu makan
# Mulut kering
# Rasa takut sesuatu akan terjadi
# Kerongkong rasa tersekat
# Sentiasa menelan air liur
# Tidak boleh tidur atau ada masalah tidur
# Tidak boleh memberi tumpuan
# Selalu pening kepala atau sakit
# Lemah lutut
# ‘Fidgetiness’, iaitu mengusik orang, merosakkan barang-barang atau mendera binatang
# Senang panik
# Senang lupa
# Ceret-beret yang tidak ada kena mengena dengan makanan
# Kencing malam
# Mengigau
# “HYSTERIA” atau menjerit-jerit tanpa sebab
# Merajuk
# Tidak sabar
# Hati tidak tenteram
# Terlalu banyak kerisauan

Keadaan ‘STRES’, sekiranya tidak dikawal dikalangan orang dewasa akan menyebabkan tekanan darah naik tinggi (melebihi 120/80) secara berterusan, yang akhirnya boleh menyebabkan jantung lemah, paru-paru lemah dan otak lemah, dan juga sistem ketahanan dalaman atau sistem imuniti lemah dan sistem lain juga menjadi lemah termasuk pengaliran darah. Inilah penyebab penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung, sakit sendi, gastrik, ulser, penyakit-penyakit kronik malah barah/kanser.

Makanan dan stres

Makanan, minuman, udara dan air boleh menyebabkan stres. Kekurangan oksigen atau bertambahnya karbon dioksida dan karbon monoksida atau ketiga-tiganya atau bertambahnya bahan-bahan racun yang akan menyumbatkan saluran darah dan usus. Diantara makanan yang diberi nama "junk food" atau makanan dera diri ialah makanan atau minuman yang terlalu banyak gula pasir, kafein dalam kopi, tannin (dalam teh), xantin (dalam coklat) dan makanan dan minuman yang terlalu banyak perasa, pengawet, pewarna dan monosodium glutamate atau MSG. Minuman dalam tin dan kotak termasuk susu lembu juga termasuk dalam kategori makanan dera diri atau “junk food".

Semua makanan ini menyebabkan stress dan dengan itu kesan-kesan stres seperti penyakit alahan dan kelemahan sistem imuniti yang menyebabkan kita rasa letih dan tidak bermaya, yang menyebabkan pula kita sering marah dan lain-lain yang menambahkan lagi stres itu.

Rokok merupakan satu lagi faktor penting yang bukan sahaja merbahaya kepada penghisapnya tetapi juga kepada orang atau anak-anak yang menyedut asapnya. Asap ini mengandungi karbon monoksida yang merosakkan oksigen dan jika disedut oleh ibu mengandung boleh menyebabkan kecacatan janin dan jika disedut oleh anak kecil, akan mengurangkan potensinya untuk menjadi cemerlang, dan mungkin akan mendapat penyakit-penyakit kronik di usia awal.

Free radical dan stres

‘Free radicals’ atau habuk-habuk api merupakan faktor baru yang dikesan yang boleh menyebabkan sel terbakar dan jika berterusan boleh menyebabkan penyakit-penyakit seperti barah/kanser, arthritis dan penyakit-penyakit lain.

Makanan dan minuman sekarang secara amnya, telah diproses dan tidak ada lagi enzim, vitamin dan bahan galian yang boleh menghadamkan sepenuhnya makanan dan minuman itu. Ini akan menambahkan stress, racun dalam darah dan "yeast" atau ragi yang dikenali sebagai "Candida", yang menjadi punca kepada penyakit-penyakit alahan, asthma, arthritis, sering marah dan lain-lain.

Amalan berpuasa akan membantu mengatasi masalah ini dan di perkuatkan dengan amalan MENU pusingan, cara makan yang betul, cara minum yang tepat dan menambahkan kekuatan itu dengan makan vitamin dan galian tambahan yang sesuai.

Saluran darah tersumbat

Hasil dari emosi yang negatif dan makanan dan pemakanan dera diri yang menyebabkan stres, badan kita banyak mengeluarkan kolesterol berat dan protein atau LDL (Low Density Lipo protein) yang akan menyumbat saluran-saluran darah. Yang penting sekali ialah saluran darah ke otak dan jantung. Tiga puluh peratus dari jumlah oksigen yang dihidu mesti sampai ke otak pada setiap ketika. Jantung juga memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi dengan baik supaya darah yang membawa oksigen dan makanan ke otak cukup untuk otak berfungsi dengan baik. Demikian juga dengan sisa-sisa hasil dari metabolisma dari otak dan tubuh mesti di proses dan di bawa keluar melalui air kencing, najis, peluh dan penafasan.

Dari segi spiritual pula, kita boleh mengatasi stres dengan cara-cara berikut:

1. mengingati Allah.

Setiap yang berlaku itu hanya dari Allah. Banyakkan berzikir dan berselawat untuk mengatasi stress. Selagi kita berpegang kepada Allah, kita sentiasa tenang dan tenteram. Sebutkan Asma-ul-Husna mengikut kesesuaian dengan apa yang kita alami. Banyakkan berzikir dan berselawat.

Adalah disarankan bila mendapat nikmat, kita bersyukur kepada yang memberi (iaitu Allah). Bila kita ditimpa musibah, kita perlu bersabar dengan ujian yang diberi (Allah) dan berikhtiar untuk mengatasinya. Bila sudah melakukan dosa, hendaklah kita minta ampun dengan yang mencipta kita (iaitu Allah).

2. membaca Al-Quran

Hati akan menjadi lembut di samping menambah ilmu tentang agama apabila kita membaca terjemahannya. Secara tidak langsung, kita memperkukuhkan ilmu pengetahuan agama kita.

Friday, February 5, 2010

Neurotransmitter dan ADHD

Artikel ini adalah sambungan dari artikel terdahulu berkaitan dengan fungsi "neurotransmitter" di dalam otak.

Apa hubungannya antara "neurotransmitter" dan ADHD?
Oleh Larry Silver, M.D.

Kekurangan "neurotransmitter"

Pakar otak sudah menemui sebab kekurangan neurotransmitter tertentu y ang menyebabkan masalah kesihatan termasuk kemurungan, kerisauan, tidak sabar dan ketidaktentuan kelakuan seseorang.

ADHD contohnya adalah disebabkan kekurangan "neurotransmitter" jenis "norepinephrine", dan adalah masalah pertama yang respon kepada rawatan ubatan. "norepinephrine" ini dihasilkan dalam otak dari molekul yang bernama "dopa", yang di convert kan ke "dopamine", yang kemudiannya di "convert" kan ke "norepinephrine".





ADHD didapati menyebabkan kekurangan aktiviti "neurotransmitter" dalam empat bahagian otak:

1. Frontal cortex - bahagian otak ini mengawal fungsi tinggi - fungsi tumpuan, pengurusan dan eksekutif. Kurangnya "norepinephrine" akan menyebabkan kurang tumpuan, urus diri, dan / atau fungsi eksekutif.

2. Limbic system - bahagian ini terletak di sebelah dalam otak, mengawal emosi kita. Kurangnya "norepinephrine" akan menyebabkan seseorang itu menjadi tidak sabar, resah gelisah, perasaan tidak tenteram dan kurang tumpuan.

3. Basal ganglia - bahagian otak ini menyelia komunikasi di dalam otak. Maklumat dari setiap bahagian otak pasti melalui "basal ganglia" dan disalurkan ke bahagian otak yang betul. Kekurangan "norepinephrine" di sini akan menyebabkan "litar-pintas", kurang tumpuan dan bertindak agresif.

4. Reticular activating system (RAS) - inilah sistem jaringan pembawa maklumat yang penting di mana maklumat keluar dan masuk ke otak. Kekurangan "norepinephrine" di sini akan menyebabkan kurang tumpuan, bertindak agresif dan hyperaktif.

Keempat-empat bahagian otak ini saling berkait antara satu sama lain, jadi kekurangan di satu bahagian mungkin menyebabkan masalah di bahagian yang lain. ADHD mungkin hasil dari masalah di satu atau lebih bahagian otak.

Kita masih belum tahu secara tepat apa yang punca ADHD. Kita juga tidak tahu samada masalah ADHD disebabkan oleh "norepinephrine" sahaja atau oleh bahan kimia lain, seperti "dopa" dan "dopamine". Jadi doktor masih perlu bergantung kepada pengalaman dan ujian klinikal untuk merawat dengan ubatan atau tidak.

Mungkin satu hari nanti kita lebih faham tentang bagaimana merawat ADHD. Selain dari hanya memberi diagnos sebagai "ADHD" dan memberi ubatan, kita mungkin boleh berkata "ADHD Billy disebabkan oleh kekurangan "dopa" di frontal cortex, jadi dia memerlukan ubat A" atau "Mary mengalami ADHD yang disebabkan oleh kekurangan dopamine di Limbic system nya, jadi dia perlu mengambil ubat C".

Buat masa ini, ubat untuk ADHD hanyalah sekadar meningkat penghasilan "norepinephrine". Apabila ubat dimakan, ia akan menghasilkan "norepinephrine" yang mencukupi dan otak seseorang itu akan berfungsi seperti biasa. Apabila kadar nya menurun, gejala ADHD akan datang kembali.

Kesimpulan, saya harap anda telah dapat menambah ilmu dan memberi penghargaan kepada otak manusia. Saya juga berharap anda juga sudah faham tentang "neurotransmitter" dan hubungannya dengan ADHD.


Dipetik dari : http://www.additudemag.com/adhd/article/1572-2.html

Tuesday, February 2, 2010

Apa itu ADHD?

Apa itu ADHD?

Oleh Larry Silver, MD.

Sepanjang 40 tahun sebagai pakar psikiatri kanak-kanak dan orang dewasa, saya telah merawat ribuan kanak-kanak. sesetengah kes, saya berjaya membuat penilaian singkat tentang Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan memberi rawatan yang sesuai.

Dalam kes yang lain pula, saya mengaku, saya kena memberitahu ibu bapa kanak-kanak itu bahawa masalahnya tidak jelas. Bukan kerana tidak cukup kepakaran atau kemahiran diagnostik, tetapi bidang psikiatri ini berbeza dengan bidang medikal yang lain.

Jika seorang kanak-kanak menghadapi masalah di sekolah, dia mungkin mengalami masalah kurang tumpuan (ADD atau ADHD) tetapi mungkin juga dia mempunyai masalah pembelajaran. Atau tekanan, Atau kerisauan. Ada ketika pula, ADHD mungkin hasil dari tekanan perasaan dalam keluarganya.

Jika ADHD itu sebahagian dari masalah klinikal, saya biasanya merawat dengan ubat-ubatan untuk ADHD. Kalau masalah berakhir di situ, baguslah. Tetapi dalam banyak kes, kaedah lain pula diperlukan untuk merawat masalah akademik, emosi atau masalah keluarga. Hanya selepas beberapa minggu atau bulan ianya bermula, barulah kesan dapat dilihat.

Saya faham kerisauan ibu bapa tentang rawatan medikal terhadap anak mereka. Saya sendiri berasa sedih apabila cucu perempuan saya, yang mengalami ADHD, perlu mengambil ubatan. Akhirnya kami bersetuju untuk dia mengambil ubat. Walaubagaimanapun, saya dapati ibu bapa akan merasa lebih selamat setelah mereka faham serba sedikit tentang "neurotransmitter", bahan kimia yang mengawal fungsi otak kita.

Bagaimana neurotransmitter bekerja?

Sebelum bercerita tentang bahan istimewa ini, biar saya terangkan sedikit mengenai anatomi otak.

Otak kita mengandungi berjuta sel yang dipanggil "neuron" yang dipadatkan dalam setiap bahagian otak. Setiap bahagian otak kita bertanggungjawab untuk sesuatu fungsinya yang tersendiri. Ada yang berfungsi untuk berkomunikasi dengan dunia luar, menterjemah penglihatan, pendengaran dan deria sensori lain bagi membantu kita apa yang perlu disebut dan dibuat. Ada pula bahagian otak yang bertugas berkomunikasi dengan bahagian dalaman badan kita - untuk mengawal fungsi anggota badan.




Untuk setiap bahagian otak melakukan tugasan masing-masing, ia perlukan satu "wiring" yang hebat. Otak kita bukanlah dipenuhi wayar, tetapi saluran atau jaringan ("neural circuits") yang membawa maklumat dari satu bahagian ke bahagian otak yang lain. Maklumat ini dapat dipindahkan dengan wujudnya "neurotransmitter" di mana para saintis sudah mengenalpasti 50 jenis yang berbeza dan ada lebih kurang 200 yang berlainan jenis. Setiap "neuron" menghasilkan "neurotransmitter" dan dilepaskan ke dalam kawasan mikroskopik antara neuron-neuron itu (dinamakan "synapse"), untuk merangsang sel bersebelahan (dan bukan yang sel yang lain) dalam menyebarkan maklumat.

Bagaimana "neurotransmitter" tertentu itu tahu neuron mana yang ia perlu bercantum, sedangkan terlalu banyak neuron yang ada di sekelilingnya? Setiap "neurotransmitter" mempunyai struktur molekul yang unik - seperti kunci, yang boleh "membuka" mangga/selak pada sel penerimanya. Apabila kunci berjumpa dengan selak yang sepadan, "neurotransmitter" itu akan bercantum dan merangsang neuron itu.

Dipetik dari: http://www.additudemag.com/adhd/article/1572.html

Monday, February 1, 2010

Ada saja yang kita hajati

Sebagai insan biasa, kita sentiasa berhajatkan sesuatu.
Lepas satu, satu. Tidak ada penghujungnya. Penghujungnya hanya kematian.

Selagi makhluk yang bernama manusia ini hidup, pasti ada saja yang dimahukannya. Adakalanya Sang Pencipta sudahpun menunaikan segala hajat kita, tetapi ada lagi hajat baru yang dimahukan.

Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.

- Al-Quran 35:15, 16, 17 (Surah Al-Fathiir Ayat 15, 16, 17)


Begitulah diakui oleh Allah, kita sentiasa berhajat kepadaNya. Allah yang mencipta manusia sebegini rupa kerana Dia tahu apa yang diciptaNya. Renunglah ke dalam diri, dan lihatlah apa yang boleh kita lakukan sendiri tanpa sentuhan Allah. Tanpa kita sedari, setiap inci tubuh badan kita tidak akan bergerak tanpa kasih sayang Allah. Setiap detik hati dan sel badan kita tidak akan berfungsi tanpa kasih sayang Allah. Allah yang Maha Kaya, yang tidak memerlukan apa-apa.





Sungguh lemah kita ini! Sedarkah kita bahawa apa saja yang kita hajatkan perlu mendapat bantuan Allah? Tidak ada gunanya kita meminta sesama manusia atau yang selain dari Allah.

Kemahuan manusia pula ada pelbagai bentuk. Cuma kemahuan itu haruslah dikawal supaya tidak terkeluar dari ketentuan Penciptanya. Biarlah apa yang kita minta itu bertepatan dengan Allah. Hajatkanlah sesuatu yang memberi makna untuk kesejahteraan dunia dan akhirat, bukanlah untuk dunia semata-mata.

Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita. Kita hanya dicipta sebagai khalifah di muka bumi ini. Dari sekecil-kecil makhluk hingga sebesar-besar alam semesta, tidak ada apa yang tidak boleh diciptaNya. Siapalah kita untuk merasa bongkak dan sempurna dengan apa yang Allah beri. Malulah kepada Allah, kerana sering terlupa padaNya, kerana selalu merasakan kita sendiri yang berkemampuan melakukan sesuatu, padahal semuanya datang dari Allah juga.

Dan ingatlah, kerana kasih sayang Allah jugalah kita masih di sini. Allah boleh gantikan kita dengan makhluk yang lain sekiranya Dia mahu, kerana amat mudah untuk Allah lakukan. Jadi, gunakanlah masa yang masih berbaki ini untuk menyampaikan ajaran Allah dengan cara tersendiri. Inilah hajat besar kita selain hajat-hajat kecil yang ada, sebagai membuktikan kita makhluk ciptaan Allah yang sebenarnya.