Labels

Friday, February 26, 2016

Pandangan Islam tentang Kemurungan


Berikut saya terjemahkan sebuah artikel yang saya rasakan amat relevan tentang topik KEMURUNGAN ini. Teruskan membaca untuk mendalami tentang penyakit ini.


Apa pandangan Islam terhadap KEMURUNGAN?

Salah seorang pembaca saya, seorang penuntut di bidang Psikologi menghantar beberapa perkara yang membelenggu dia:

"Apakah pandangan Islam tentang benci diri atau memudaratkan diri sendiri? Adakah Islam mengkritik "situational depresssion"? Bagaimana dengan "clinical depression"? Bagaimana pula murung kerana akal manusia ini terhad - kekurangan kita untuk memahami segala perkara- adakah itu satu isu keyakinan kepada Allah?




Amat menarik isu ini, kerana dalam bidang psikologi, dalam dunia hari ini, satu peratusan yang besar dari manusia yang hidup dalam keadaan murung termasuk anak kecil.

Rujuk di sini: Statistik di USA
Statistik di USA (in the US)

Jadi amat penting untuk memahami isu ini dalam konteks seorang Islam untuk memperbaiki dirinya.

Sistem yang Islamik mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan seseorang Muslim, meletakkan keutamaan dalam kehidupan, mengatur keutamaan dan mengharmonikan hubungan antara seseorang individu, dengan dunia luaran dan dalamannya.

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".
(Quran, 28:77).

Manusia menjadi murung apabila keseimbangan emosi dan hormonnya terganggu, di mana Islam memberikan penyelesaian, bukan "marah/mengutuk" kepada rasa itu, tetapi memberi penyelesaian untuk kembali mencapai keseimbangan psikologi dan mental.

Apa itu kemurungan?

Terdapat perbezaan di antara "situational depression" berbanding dengan "clinical depresssion".

"Situational depression" merupakan kesedihan atau kesusahan yang amat sangat yang tercetus mengikut keadaan. Ia bersifat sementara dan terjadi ketika seseorang itu mengalami atau melalui peristiwa yang pahit atau krisis dalam hidupnya.

"Clinical depression" adalah gangguan kesihatan mental yang boleh mengganggu cara seseorang itu bekerja, belajar, tidur, makan, dan aktiviti-aktiviti yang menggembirakan.

Rujuk di sini:
Depression Statistics in the US

"Depressive disorder" pula lebih menjurus kepada mood yang tidak stabil. Ia bukanlah kelemahan peribadi, ia tidak boleh dipaksa berlalu atau diharap berlaku, kerana ada perubahan kimia di dalam otak "neurochemistry" yang melahirkan sesuatu "mood" itu. Ia memerlukan bantuan pakar profesional untuk merawatnya.

Apa yang menyebabkan kemurungan?

Penyebab kemurungan ini banyak: genetik, psikologi, and faktor-faktor suasana luaran biasanya. Pada masa yang sama, hubungan di antara bahan kimia di dalam otak manusia, dan pengalaman-pengalaman hidup adalah jalan dua-hala.

Bermakna, otak memproses dan menangani setiap situasi yang dialami dalam kehidupan, namun cara kita menangani masalah dan cabaran hidup juga mempengaruhi "mood-chemistry" otak.

Jadi orang yang mudah dihinggapi kemurungan adalah...

* orang yang mempunyai harga diri yang rendah,
* orang yang sentiasa pesimistik (berfikiran negatif),
* orang yang mudah gelisah dan keluh kesah oleh stres,
atau
* orang yang berpenyakit kritikal.

Bolehkah seorang Muslim menjadi murung?

Sebagai seorang Muslim, anda haruslah berserah sepenuh hati kepada Allah, dalam apa jua keadaan pun. Anda juga percaya dan yakin bahawa Allah akan melindungi anda dalam apa juga keadaan selagi anda dekat denganNya.

Anda mengaku segala kelemahan sebagai hambaNya. Jadi anda melalui kehidupan secara positif, risau hanya pada perkara-perkara yang di dalam pengetahuan anda dan keupayaan sebagai seorang insan, dan serahkan kepada Allah tentang hal-hal lain.

Kewujudan anda sebagai manusia boleh menyebabkan stres yang serius apabila anda cuba memahaminya: kenapa aku di sini? ke manakah tujuan aku? apa gunanya hidup kalau akhirnya mati juga?

Sebagai seorang Muslim, pasti anda terpengaruh dengan masalah kehidupan dan kerisauan macam orang lain juga. Namun anda lebih bersedia menanganinya kerana anda mempunyai "roadmap" dari mana anda datang, ke mana tujuan destinasi anda dan kenapa, jadi anda sudah dilengkapi dengan ilmu dasar dari Yang Maha Mengetahui. Dalam kata lain, anda mampu bertahan bila hadir rasa "kekosongan" itu, fokuskan diri untuk menerajui kehidupan anda mengikut tujuan yang diberikan kepada anda, dan anda membuat keputusan yang tidak disesali walaupun dalam keadaan terdesak.

Seseorang yang merasa betul-betul kehilangan dan keseorangan dalam menghadapi krisis akan merasa putus asa, tiada harapan dan dilanda kemurungan, tetapi seseorang yang berpegang teguh kepada Yang Maha Esa, akan merasa disokong oleh Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, yang Maha Mendengar segala luahan makhlukNya, dan Maha Pemberi segala bantuan yang dipohon, sudah pasti lebih mudah dan cepat untuk kembali berjuang dalam menghadapi liku-liku kehidupan.

Islam tidak mengutuk kemurungan.
Islam tidak mengharapkan kita menjadi manusia sempurna. Jika seseorang mengalami rasa negatif, anda digalakkan untuk menghindarkan rasa itu dengan berfikir dan bertindak secara positif, ataupun mendapatkan bantuan ahli profesional, sama seperti masalah kesihatan yang lain.

Kita perlu mengambil tanggungjawab terhadap kehidupan kita kerana kita akan dipertanggungjawabkan dalam setiap perbuatan dan keputusan, terhadap diri sendiri dan juga yang membabitkan orang lain. Kita tidak boleh membenci atau merosakkan diri sendiri; malah kita diajar menjaga maruah, menghormati diri dan melindungi diri sendiri; kedua-duanya sebagai hak dan amanah:

"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
 (Quran, 2:195)

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu."
 (Quran, 4:29)

Membenci diri sendiri adalah hasil dari rasa rendah diri sebagai tindakbalas rasa diri tidak berguna, tidak bernilai, tiada harapan dan rasa bersalah. Seorang Muslim sepatutnya berasa bermaruah dan dimuliakan kerana Yang Maha Pencipta telah menciptanya dengan keistimewaan tersendiri.

"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan."
(Quran, 17:70)

Dan walau seseorang itu sudah melakukan dosa-dosa besar, dia sentiasa berharap kepada rahmat Allah:

"Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".
(Quran, 12:87)

Tidak ada ruang untuk putus asa kerana anda yakin dan percaya bahawa Dia, Tuhan sendiri yang bertanggungjawab dan berkuasa terhadap setiap sesuatu, Tuhan Yang Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Bijaksana.

"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
(Quran, 65: 2-3)

Kita percaya bahawa tidak ada satu keadaan di mana tiada penyelesaian.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
(Quran, 94: 5-6)

Anda juga mempunyai penawar yang mudah dan berkesan untuk kefanaan, kesedihan dan kerisauan yang membelenggu.

Doa yang diajarkan Nabi.
Maaf, tidak sempat diterjemahkan. - penulis.


(O Allah, I am Your slave, son of Your slave, son of Your female slave, my forelock is in Your hand, Your command over me is forever executed and Your decree over me is just. I ask You by every Name belonging to You which You named Yourself with, or revealed in Your Book, or You taught to any of Your creation, or You have preserved in the knowledge of the unseen with You, that You make the Qur’an the life of my heart and the light of my breast, and a departure for my sorrow and a release for my anxiety)’

The Prophet Muhammad (peace be upon him) said: “No person suffers any anxiety or grief, and says (this supplication) but Allah will take away his sorrow and grief, and give him in their stead joy.”

--------------

Sahar El-Nadi memegang ijazah Sarjana dalam Sejarah dan Budaya Purba dari Universiti Kaherah. Beliau bekerja dengan mereka yang terlibat dalam acara awam dan program TV, memberi latihan dalam bidang komunikasi, tentang cara berfikir dan isu-isu silang budaya dan komuniti internet global.

Sekarang merupakan seorang penyumbang untuk IslamOnline.net dan ReadingIslam.com, menjawab persoalan tentang budaya Islam dalam bahasa Inggeris.

Kerjanya fokus dalam menggunakan skil interpersonal untuk  mencerminkan budaya setempat yang lebih baik dalam pelbagai saluran media. Pada tahun 2006, beliau telah melancarkan "Dont Hate, Educate!" www.zero-net.net, sebuah projek silang budaya berikutan krisis kartun Denmark.

Hasilnya, beliau telah dipilih antara "the Women Leaders for the World" oleh Business School, the University of Santa Clara, California. Beliau sudah berkahwin dengan seorang warga Denmark dan tinggal di Keherah. Mesir.
 
Oleh: Sahar El-Nadi


Rujukan: Islamic view of depression

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang membina dan berhikmah. Terima kasih didahulukan.